KUALA LUMPUR: Segelintir pihak diminta tidak memaksa Kerajaan untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan akan tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya.
“Sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan mestilah di bina selaras aspirasi nasional dan mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.
“Namun bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, Kerajaan tidak pernah menghalang UEC dilaksanakan. Ia telah di laksanakan oleh Dong Zong semenjak 1975 lagi. Dan ia tidak menghadapi apa jua masalah pelaksanaan.
“Yang menjadi isu ialah pengiktirafan kelayakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata sebagai negara pelbagai kaum, bukan mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional dan satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum.
“Kita lakukannya dengan mengambil kira agar standard kita tidak tersasar dari amalan terbaik antarabangsa.
“Ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak kita, dari pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah.
“Tetapi jika ada rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional itu, maka mereka mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC. Itu tiada siapa akan menghalang,” katanya lagi.

Mohamad turut menambah bahawa bagi tujuan kemasukan ke universiti, ia tidak menjadi masalah keraana ia diterima di kebanyakan universiti di Malaysia dan diluar negara.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta UEC diiktiraf.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.
Baca juga:








