UEC: Pengiktirafan Perlu Dilihat Dalam Konteks Pendidikan, Bukan Politik – Nordin Kardi

Oleh: Aliyaa Azmi

PETALING JAYA: Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus menjadi perbincangan hangat, namun pakar menegaskan ia perlu dilihat dalam konteks pendidikan dan perlembagaan, bukan semata-mata politik.

Menurut Tan Sri Dr Nordin Kardi dari Jakarta Business School (JBS), UEC telah lama dibenarkan beroperasi di negara ini sejak 1975, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pelajaran.

“UEC telah dilaksanakan sejak zaman Datuk Seri Najib Razak lagi dan telah diiktiraf oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Hanya pengiktirafan untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) masih belum diberikan sepenuhnya.

“Lebih 3,000 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerima UEC sebagai syarat kemasukan bagi program Foundation, diploma dan ijazah.

“Contohnya, pelajar yang memperoleh lima subjek UEC dengan gred B+ ke atas layak memasuki universiti seperti Taylor, Sunway Universiti dan universiti cawangan luar negara seperti Nottingham University, Monash University serta beberapa universiti di China dan Taiwan.” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Tambahnya, UEC telah dibenarkan beroperasi sejak 1975 dan diberi pengiktirafan bersyarat pada 2012 untuk pengambilan guru Bahasa Cina, jadi tuntutan pengiktirafan penuh perlu dilihat dari segi sejarah dan dasar pendidikan negara.

“Ramai sekolah Cina kini menawarkan tiga laluan peperiksaan serentak iaitu UEC, Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Am Antarabangsa untuk Pendidikan Menengah (IGCSE) untuk memastikan pelajar boleh menembusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

“Selain itu, universiti di China dan Taiwan kini membuka program antarabangsa dengan pengantar Bahasa Inggeris untuk menarik pelajar antarabangsa, termasuk pelajar Malaysia” ujarnya.

Nordin turut menasihatkan agar isu pengiktirafan UEC dibincangkan secara berhemah dan berasaskan perlembagaan bagi memastikan keharmonian antara kaum serta standard pendidikan negara tidak terjejas.

Anda Mungkin Berminat