UEC: Syarat kepujian Bahasa Melayu dan Sejarah SPM mesti dikekalkan – Young Syefura

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara majmuk perlu mengekalkan keterbukaan dalam pilihan pendidikan rakyatnya, selaras dengan kepelbagaian budaya dan aspirasi keluarga di seluruh negara.

Menurutnya, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) wajar dibincangkan secara matang tanpa dipengaruhi sentimen politik dan kaum.

“Kita adalah negara pelbagai budaya, jadi perbahasan pendidikan mesti berhemah dan tidak dipolitikkan.

“Setakat ini pelbagai laluan akademik telah lama diiktiraf oleh kerajaan, termasuk SPM, O-Level dan IGCSE, sekali gus menawarkan fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan masa depan anak mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Mengulas mengenai UEC, Syefura menegaskan bahawa keterbukaan itu tidak bermaksud menolak kepentingan asas pendidikan kebangsaan

“Jika UEC dipertimbangkan untuk diiktiraf, syarat kepujian Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat SPM mesti dikekalkan.

“Ramai pelajar UEC mengambil peperiksaan SPM sepenuhnya dan mendapat keputusan cemerlang, menggambarkan kesediaan mereka memenuhi keperluan sistem pendidikan nasional. katanya.

Syefura menambah bahawa UEC ialah salah satu kelayakan yang diterima di banyak universiti antarabangsa, justeru tidak wajar dilihat sebagai ancaman kepada sistem pendidikan negara.

“Fokus kita sepatutnya memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum mendapat akses adil kepada laluan pendidikan berwibawa,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat