UIAM Kesal Kenyataan Tular Jejas Imej Akademik

PETALING JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan kenyataan tular seorang pensyarahnya di media sosial adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti.

UIAM dalam kenyataan berkata pihaknya memandang serius tindakan pensyarah tersebut yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan sehingga menjejaskan imej dan kredibiliti institusi.

“UIAM kesal tindakan ahli akademik berkenaan yang menjejaskan integriti akademik serta imej universiti,” kata institusi itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, teguran pernah diberikan kepada pensyarah berkenaan sebelum ini dan universiti menuntut kebertanggungjawaban dalam sebarang pandangan awam berkaitan hal akademik.

“Pandangan itu bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi UIAM.

“Kebebasan akademik perlu disertai tanggungjawab, ketepatan fakta dan selaras dengan kepiawaian bidang,” kata kenyataan itu lagi.

UIAM menegaskan pihaknya menghormati kebebasan akademik namun setiap kenyataan perlu berpaksikan ketepatan dan standard ilmiah.

Dalam pada itu, Universiti itu juga sedang meneliti perkara itu mengikut tatacara sedia ada sebelum tindakan sewajarnya diputuskan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil selepas penelitian selesai,” kata kenyataan itu lagi.

Baru-baru ini video melibatkan pensyarah di UIAM Solehah Yaacob, yang mendakwa bahawa bangsa Rom mempelajari pembinaan kapal daripada orang Melayu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat