Oleh: Kamilia Ali
UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah tersendiri dengan Istiadat Konvokesyen ke-100 yang akan berlangsung dari 13 November hingga 12 Disember depan.
Majlis ini merupakan detik yang dinanti-nantikan oleh setiap graduan UiTM seluruh Malaysia yang menjadi simbol kejayaan dan ketabahan mereka.
Lebih mendebarkan, para graduan yang berkenaan sudah menerima surat jemputan untuk menghadiri majlis bersejarah ini.
Konvokesyen ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan akademik para pelajar tetapi juga simbol kepada pengorbanan, ketabahan dan kegigihan setiap individu dalam perjalanan mencapai kejayaan.
Setelah bertahun-tahun menempuh pelbagai cabaran dan usaha yang tidak mengenal lelah, akhirnya tibalah masa untuk meraikan detik-detik gemilang dalam hidup mereka.

Untuk rekod, UiTM telah mengadakan 99 Majlis Konvokesyen sejak pertama kali diadakan pada tahun 1964 dengan nama Dewan Latehan RIDA (sebelum ditukar nama kepada Maktab MARA (1965), Institut Teknologi MARA (ITM)(1967) dan UiTM (1999) telah melangsungkan majlis konvokesyennya yang menyaksikan seramai 50 orang graduan dianugerahkan sijil oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Sesi kali ini mencerminkan graduan yang telah menyaksikan pelbagai fasa menguji kesabaran dan semangat mereka dalam ‘peperangan masa’.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 bukan sekadar majlis, tetapi satu perayaan dan tanda penghargaan kepada usaha keras dan pengorbanan setiap individu.
Pada 20 Ogos 2023, UiTM mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai institusi pendidikan terunggul apabila mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan Penganugerahan Satu Juta Skrol di Istiadat Konvokesyen ke-97.
UiTM terus berkembang dan berjaya mengadakan konvokesyen setiap tahun dengan jumlah graduan yang semakin meningkat.
Selamat maju jaya buat semua graduan dan semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada pencapaian yang lebih gemilang di masa hadapan.