Ujian Penilaian Murid Tahun Empat Diperkenal Bermula Tahun Ini – Anwar

PUTRAJAYA: Ujian penilaian atau peperiksaan akan diperkenalkan kepada murid Tahun Empat sekolah rendah bermula tahun ini sebagai langkah awal menilai tahap penguasaan asas murid sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peperiksaan berkenaan akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan merangkumi empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Menurut beliau, mata pelajaran Sejarah pula akan dimasukkan mulai tahun 2027, menjadikan keseluruhan lima subjek yang dinilai dalam peperiksaan tersebut.

“Guru-guru perlu maklum bahawa mulai tahun ini akan ada ujian bagi murid Darjah Empat. Kita tidak mahu hanya menunggu peperiksaan Darjah Enam,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan penilaian awal ini bertujuan memberi ruang kepada murid Darjah Lima dan Enam untuk memperbaiki kelemahan mereka sebelum memasuki Tingkatan Satu.

Anwar berkata, langkah itu juga membolehkan sistem pendidikan mengenal pasti jurang pembelajaran lebih awal dan memastikan intervensi dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang berlangsung hari ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat