UK Akan Iktiraf Palestin Jika Israel Enggan Gencatan Senjata

LONDON: Britain memberi amaran bahawa pengiktirafan rasmi terhadap Palestin mungkin diumumkan seawal September ini, sekiranya Israel terus enggan memeterai gencatan senjata di Gaza.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyatakan bahawa keputusan itu akan dibuat ketika sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai langkah menyokong penyelesaian dua negara dan usaha memulihkan proses damai yang kini terhenti.

“Saya boleh sahkan bahawa UK akan mengiktiraf Negara Palestin oleh Perhimpunan Agung PBB pada bulan September.

“Melainkan kerajaan Israel mengambil langkah substantif untuk menamatkan penderitaan di Gaza, bersetuju dengan gencatan senjata dan komited kepada keamanan jangka panjang,” katanya seperti dilaporkan CNN.

Kenyataan Starmer dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan mengambil kira sentimen awam Britain berhubung penderitaan serta kebuluran yang terus melanda penduduk Palestin di Gaza.

Amaran dari London menyusuli pengumuman Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menyatakan hasrat untuk mengiktiraf Palestin secara rasmi dalam sesi PBB akan datang, mencetuskan gelombang sokongan diplomatik terhadap penyelesaian damai di Timur Tengah.

Dalam negara, Starmer turut berdepan tekanan politik daripada pemimpin tempatan termasuk Datuk Bandar London, Sadiq Khan dan Ketua Liberal Demokrat, Ed Davey yang mendesak kerajaan agar tegas dalam menyatakan pendirian terhadap isu kemanusiaan ini.

Namun, tindakan Britain itu dibidas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyifatkannya sebagai ‘ganjaran kepada keganasan Hamas’.

“Negara jihad di sempadan Israel hari ini akan mengancam Britain esok.

“Memberi pengiktirafan kepada pengganas tidak pernah berhasil,” ciapnya di platform X.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut menyatakan sokongan terhadap kritikan itu dengan menjelaskan bahawa Washington tidak merancang untuk mengikut langkah Britain atau Perancis dalam mengiktiraf Palestin.

Dalam pada itu, Gaza kini berada di ambang krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarahnya apabila sekatan oleh Israel terhadap kemasukan bantuan makanan dan ubat-ubatan diteruskan sejak Mac lalu.

Laporan antarabangsa mendedahkan lebih 134 penduduk Palestin termasuk 88 kanak-kanak telah maut akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak 7 Oktober 2023.

Jumlah korban keseluruhan akibat serangan berterusan rejim Zionis kini melebihi 59,000 orang.

Anda Mungkin Berminat