LONDON: Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer dijangka mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin pada petang Ahad ini, menandakan perubahan besar dalam pendirian dasar luar UK yang selama ini menunggu penyelesaian damai sebelum bertindak.
Langkah itu menyusul selepas kenyataan Starmer pada Julai lalu bahawa UK akan mengubah pendiriannya sekiranya Israel gagal memenuhi syarat termasuk gencatan senjata di Gaza dan komitmen terhadap pelan damai jangka panjang yang menjamin penyelesaian dua negara.
“Saya sentiasa berkata kita akan mengiktiraf negara Palestin sebagai sumbangan kepada proses damai yang sebenar, pada saat yang memberi impak maksimum kepada penyelesaian dua negara.
“Dengan penyelesaian itu kini terancam, inilah masanya untuk bertindak,” kata Starmer memetik laporan antarabangsa BBC News.
Langkah itu telah mencetuskan reaksi bercampur.
Kerajaan Israel menyifatkannya sebagai ‘mengganjari keganasan’, manakala keluarga tebusan Hamas menggesa agar pengiktirafan ditangguhkan sehingga semua tebusan dibebaskan.
“Hamas telah meraikan keputusan UK sebagai kemenangan dan telah mungkir terhadap perjanjian gencatan senjata,” tulis keluarga tebusan dalam surat terbuka kepada Starmer.
Presiden AS Donald Trump turut menyatakan ketidaksetujuan beliau semasa lawatan ke UK minggu ini, manakala pemimpin Konservatif Kemi Badenoch menulis di The Telegraph.
“Adalah jelas dan AS juga telah menyatakan perkara ini, bahawa pengiktirafan negara Palestin pada masa ini dan tanpa pembebasan tebusan, akan menjadi ganjaran kepada keganasan,” katanya.
Namun, menteri-menteri UK mempertahankan keputusan itu sebagai tanggungjawab moral dengan merujuk kepada keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan perluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat.
“Pengiktirafan negara Palestin adalah akibat daripada perluasan serius yang kita lihat di Tebing Barat, keganasan penempatan yang kita lihat di Tebing Barat dan niat serta petunjuk yang kita lihat untuk membina contohnya pembangunan E1 yang akan menghancurkan kemungkinan penyelesaian dua negara,” kata Setiausaha Kehakiman David Lammy.
Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, menyambut baik janji pengiktirafan UK semasa pertemuan dengan Starmer awal bulan ini.
Kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Hamas tidak akan memainkan peranan dalam pemerintahan masa depan Palestin.
Pengiktirafan itu dijangka memberi dorongan kepada usaha damai yang semakin terpinggir, dengan lebih 140 negara kini telah mengiktiraf Palestin secara rasmi.
Namun, Palestin masih belum mempunyai sempadan yang dipersetujui, ibu negara atau tentera, menjadikan pengiktirafan ini bersifat simbolik tetapi signifikan.