UK Tidak Akan Longgar Peraturan Visa Untuk India, Kata Starmer

UNITED KINGDOM: Sir Keir Starmer menyatakan bahawa United Kingdom tidak akan melonggarkan peraturan visa untuk India menjelang lawatannya ke negara itu bagi mempromosikan manfaat perjanjian perdagangan yang baru dimeterai.

Perdana Menteri UK itu mengetuai delegasi lebih 100 usahawan, pemimpin budaya dan naib canselor universiti dalam usaha meningkatkan pelaburan UK dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Memetik laporan BBC News, Sir Keir berkata, terdapat ‘peluang besar’ untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan budaya dengan India.

Namun, beliau menegaskan tiada rancangan untuk membuka lebih banyak laluan visa kepada pekerja atau pelajar dari India.

“Isunya bukan tentang visa. Ia mengenai hubungan perniagaan-ke-perniagaan, pelaburan, pekerjaan dan kemakmuran yang dibawa masuk ke United Kingdom,” kata Sir Keir.

Perjanjian perdagangan antara UK dan India telah ditandatangani pada Julai lalu selepas bertahun-tahun rundingan.

Perjanjian itu akan menjadikan eksport kereta dan wiski UK ke India lebih murah, manakala tekstil dan barang kemas India lebih murah untuk dieksport ke UK sebagai sebahagian daripada lonjakan perdagangan bernilai berbilion pound.

Perjanjian tersebut turut merangkumi pengecualian selama tiga tahun terhadap bayaran keselamatan sosial oleh pekerja India yang bekerja di UK dengan visa jangka pendek.

Namun, para menteri menegaskan tiada perubahan lebih luas dalam dasar imigresen.

Kerajaan Parti Buruh kini berusaha mengurangkan kadar imigresen ke UK dan telah mengumumkan dasar ketat berkenaan status penempatan semasa persidangan parti minggu lalu.

Bercakap kepada wartawan dalam penerbangan ke Mumbai, Sir Keir menegaskan bahawa visa ‘tidak memainkan peranan’ dalam perjanjian perdagangan dengan India dan perkara itu tidak berubah.

Apabila ditanya sama ada UK akan mempertimbangkan untuk menarik usahawan teknologi susulan perubahan visa H-1B oleh Presiden AS Donald Trump, Sir Keir berkata, UK mahu menarik ‘bakat terbaik’ dari seluruh dunia untuk membantu pertumbuhan ekonomi, namun tetap menegaskan tiada rancangan untuk membuka laluan visa baharu kepada India.

Antara syarikat yang menyertai lawatan bersama Perdana Menteri ialah British Airways, yang mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan penerbangan ketiga harian antara Delhi dan Heathrow tahun depan.

Lapangan Terbang Manchester turut mendedahkan laluan terus baharu ke Delhi.

Sepanjang lawatan dua hari itu, Perdana Menteri UK dijangka bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang sebelum ketibaan Sir Keir telah menyampaikan ‘ucapan selamat hari lahir’ kepada Presiden Rusia Vladimir Putin di media sosial.

Sir Keir berkata, beliau tidak akan berbuat demikian, sambil memberitahu wartawan:

“Untuk rekod, saya tidak menghantar ucapan selamat hari lahir kepada Putin dan saya tidak akan berbuat demikian. Saya rasa itu tidak mengejutkan,” katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengkritik Modi berkenaan pembelian minyak Rusia oleh India, Sir Keir berkata, fokus UK adalah terhadap armada bayangan kapal tangki minyak Rusia.

Perdana Menteri UK itu berkata negaranya merupakan antara ‘negara utama dalam menangani “armada bayangan”‘ yang merujuk kepada kapal tangki tidak dikawal yang mengangkut minyak dari Rusia.

Anda Mungkin Berminat