PUTRAJAYA: Satu kunjungan anak-anak muda dari Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC) telah diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Kini mereka sedang menjalani latihan amali di syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia serta luar negara.
Delegasi UKEC yang diketuai oleh Vincent Tang mewakili lebih 16,000 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom dan Republik Ireland.
Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mengemukakan cadangan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara UKEC dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya dalam bidang dasar dan pembangunan belia.
Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada para pelajar mengenai isu lama yang terus membelenggu negara iaitu gejala ‘brain drain’.
“Saya juga mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai bagaimana harus didepani gejala ‘brain drain’ yang telah sekian lama merundung negara,” ujar beliau.
Anwar turut menekankan kepentingan memanfaatkan sepenuhnya dasar dan struktur sedia ada yang telah dirangka oleh Kerajaan Persekutuan agar tidak berlaku pertindihan dan pembaziran sumber.
“Saya juga telah menekankan bahawa semua pihak mesti memanfaat serta mengoptimumkan dasar serta struktur sedia ada yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan pertindihan struktur atau dasar, dan memastikan libaturus dan wacana bergerak secara berterusan bagi memastikan pelbagai isu dapat diselaraskan dengan berkesan dan sistematik,” katanya.