Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru para ulama dari pelbagai latar belakang dan fahaman politik agar terus menasihati beliau dalam hal ehwal pentadbiran dan tata kelola negara.
Perkara itu didedahkan oleh pendakwah bebas, Uwais Al-Qarni menerusi satu hantaran video di TikTok, memaklumkan bahawa mesej berkenaan disampaikan Perdana Menteri dalam satu pertemuan tertutup bersama para ulama dari seluruh negara.
Difahamkan, majlis berkenaan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini.
“Diminta untuk dapat bersama dalam pertemuan khas, di rumah MB Selangor, jadi dalam majlis itu, majlis yang tertutup, memang tidak ada apa yang diperkatakan melainkan Perdana Menteri telah isyaratkan kepada guru-guru pondok ini, tuan-tuan syeikh yang tua ini, untuk beri nasihat pada dia,” katanya.
Menurut Uwais, kehadiran para ulama daripada pelbagai latar belakang politik turut menyerlahkan suasana keterbukaan dalam majlis tersebut, termasuk seorang tokoh agama bernama Syeikh Wazir yang secara terbuka mengakui dirinya ahli PAS.
Namun begitu, beliau tetap menasihati Perdana Menteri agar kerajaan sedia ada dikekalkan demi kestabilan negara.
“Jadi masing-masing ulama ini, walaupun berlatarbelakangkan fahaman yang berbeza, Para ulama yang dijemput daripada seluruh negara.
“Syeikh Wazir mulakan bicara dengan menyatakan bahawa mahu kerajaan ini terus kekal kerana inginkan kestabilan dalam negara, mereka tidak mahu, berlaku kekacauan dalam negara.
“Dia tetap tegaskan ‘ambo ini orang PAS, itu yang dikeluarkan sendiri oleh mulut Sheikh Wazir.” ujarnya.
Tambah Uwais lagi, Syeikh Wazir tidak berganjak daripada pendiriannya untuk terus menasihati Anwar walaupun berlainan fahaman politik.
“Syeikh Wazir tetap tegaskan dalam masa yang sama mengaku bahawa beliau adalah orang PAS,” ujarnya.
Baca juga: