Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Melihat kepada keutuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama 26 tahun di persada politik negara, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia merupakan bukti bahawa partinya menggungguli peranan yang besar dalam landskap politik di Malaysia ini.
Sempena ulang tahun ke-26 PKR, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemimpin-pemimpin dan seluruh ahli parti sama ada yang masih kekal atau berada di luar parti.
“Kerana perjuangan ini memerlukan kita semua sehingga kita berjaya pada hari ini dan Alhamdulillah, parti ini terus mekar subur malah menjadi parti utama di pesada politik tanah air pada hari ini,” katanya.
Bercakap kepada Malaysia Bangkit hari ini, Aminuddin menegaskan terdapat beberapa pihak yang meramalkan bahawa partinya tidak akan kekal lama hanya kerana ia ditubuhkan dalam keadaan yang cukup tertekan sehingga perlu menempuh kepelbagaian risiko.
“Namun keteguhan, kesungguhan menyebabkan kami percaya.
“Hakikatnya pejuang-pejuang, kita masih mampu untuk meneruskan agenda memperjuangkan sebuah parti politik untuk rakyat yang akhirnya hari ini menjadi parti politik yang unggul,” tegasnya.
Sepanjang penubuhan PKR katanya, pihaknya banyak menyumbangkan perubahan dalam perjalanan politik negara daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tatakelola negara sehingga pengurusan politik di Malaysia.
“Dulu kita sedia maklum, cuma khuatir dalam keadaan persaingan politik dalam suruhanjaya pilihan raya yang dianggap tidak adil.
“Tetapi akhirnya banyak perubahan-perubahan berlaku dalam sistem pilihan raya yang akhirnya memberikan demokrasi yang sebenar kepada negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, PKR turut menjadi semak dan imbang di saat bergabung bersama rakan daripada parti-parti komponen yang lain sehingga berjaya menafikan 2 per 3 majoriti kerajaan di peringkat persekutuan.
“Ini juga memberikan satu manfaat yang baik, yang mana ia memberi tekanan kepada mereka untuk menjalankan pentadbiran negara dengan lebih telus,” kata Aminuddin.
Ujarnya, segala peranan PKR di dalam blok kerajaan menjadikan negara mempunyai elemen integriti yang lebih baik berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.
“Inilah peranan yang berlaku, yang akhirnya dilihat sebagai satu perkara yang penting dalam pentadbiran kerajaan.
“Di mana hari ini, anggota kerajaan mampu menyatakan bahawa mereka mengikut ‘Government of the day,” dan mereka juga yang menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh bijaksana hari ini,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR menzahirkan harapan bahawa segala perubahan tersebut akan terus berlaku di negara dan berdaya maju serta dihormati oleh rakyat malah di seantero dunia.
“Inilah harapan kita untuk terus memastikan perjuangan ini dapat terus dilaksanakan,” katanya.
Baca juga: