Ulang Tahun Perkahwinan Ke-43 Agong, Raja Permaisuri Agong Penuh Kesyukuran

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur sempena ulang tahun perkahwinan baginda bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang ke-43, menyifatkan perjalanan rumah tangga mereka sebagai penuh dengan cabaran dan kegembiraan sepanjang lebih empat dekad.

Dalam satu hantaran rasmi di laman Facebook milik Sultan Ibrahim pada Isnin, Seri Paduka Baginda berkongsi doa dan harapan agar ikatan perkahwinan diraja itu terus diberkati dan dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan.

“Alhamdulillah, sepanjang 43 tahun ini kami menempuh pelbagai suka dan duka bersama.

“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala terus mengurniakan rahmat serta keberkatan dalam rumah tangga kami dan mengurniakan kebahagiaan yang berpanjangan,” titah Seri Paduka Baginda.

Perkahwinan diraja yang berlangsung pada tahun 1982 itu kekal menjadi simbol kasih sayang, kesetiaan dan keteguhan antara pasangan diraja Johor yang kini menaungi negara sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Ulang tahun ke-43 ini bukan sahaja menjadi detik bermakna buat Seri Paduka berdua, malah turut menyentuh hati rakyat yang menyanjungi institusi diraja sebagai lambang perpaduan dan kestabilan negara.

Anda Mungkin Berminat