Ulasan | 62 Tahun Malaysia: MADANI Menunai Janji

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | LEBIH enam abad yang lalu, ilmuwan besar Ibnu Khaldun menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kekuasaan politik atau kekayaan ekonomi tetapi berakar pada penyatuan rakyatnya.

Semangat kebersamaan, solidariti dan kerjasama adalah asas yang meneguhkan sebuah tamadun.

Tulis Ibnu Khaldun dalam al- Muqaddimah, Asabiyyah (semangat persaudaraan dan kerjasama) adalah asas terpenting dalam mendirikan sebuah negara. Tanpanya, kuasa tidak akan teguh, dan pemerintahan tidak akan kekal.

Falsafah ini amat bertepatan dengan sejarah Malaysia. Pada 16 September 1963, wilayah Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung membentuk Malaysia.
Ia bukan sekadar pengisytiharan politik, tetapi tekad bahawa bangsa-bangsa berbeza boleh bersama membina sebuah negara berdaulat.

Tarikh 16 September bakal menjelang, maka genap 62 tahun Malaysia berdiri sebagai negara merdeka dan dihormati dunia.

Perjalanan ini penuh cabaran, namun Malaysia tetap teguh kerana rakyatnya memilih untuk bersatu, sekalipun datang daripada latar yang berbeza.

Hari Malaysia adalah simbol janji, janji bahawa Semenanjung, Wilayah Sabah dan Sarawak sama-sama akan maju, makmur dan sejahtera.

Ia adalah ikrar bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia akan dibiarkan ketinggalan.

Namun, harus diakui bahawa selama beberapa dekad, Wilayah Sabah dan Sarawak sering berdepan rasa terpinggir.

Hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ada yang terabai, manakala pembangunan pula lebih tertumpu di Semenanjung.

Perbezaan jurang infrastruktur, kemudahan kesihatan dan pendidikan memperlihatkan kegagalan kerajaan-kerajaan terdahulu untuk benar-benar menzahirkan semangat pembentukan Malaysia yang seimbang.

Janji Diterjemah

Jika dahulu harapan itu sekadar janji di atas kertas, kini ia mula diterjemah menjadi kenyataan.

Projek Pan Borneo yang merentasi bumi wilayah Sabah dan Sarawak, pembangunan institusi pendidikan sekolah dan universiti, hospital dan pusat teknologi, serta pelaburan besar dalam tenaga dan telekomunikasi membuktikan kesungguhan baharu untuk mengangkat dua wilayah besar ini.

Malaysia hari ini tidak mahu sekadar dikenang kerana pembangunan fizikal. Malaysia mahu berdiri di atas asas Madani sebuah konsep yang menekankan keadilan, kemanusiaan, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.

Di bawah kerangka Malaysia Madani, janji yang pernah dititipkan 62 tahun lalu kini diperkukuh dengan tindakan nyata:
● MA63 diperkasakan bukan lagi retorik, tetapi melalui Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pusat yang memacu pelaksanaan secara berfasa.

● Perlindungan sosial diperluas melalui inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Baucar Perlindungan Tenang.

● Pendidikan dan kesihatan ditingkatkan, termasuk penambahan peruntukan khusus untuk Sabah dan Sarawak.

● Ekonomi rakyat diperkasa, dengan sokongan kepada PKS, ekonomi digital, pertanian moden dan industri kreatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia ke-61, 16 September 2024, di Kota Kinabalu menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan sekali-kali mengulangi kesilapan lalu yang mengabaikan Sabah dan Sarawak.

Tegasnya, dengan rasa syukur kerana sejak menyandang jawatan Perdana Menteri, kedua-dua rakan daripada Sabah dan Sarawak telah bekerjasama, berkomunikasi terbuka, dan memberikan kritikan membina sebagai rakan.

“Mereka menyuarakan kebimbangan dan tuntutan tetapi sentiasa dalam semangat kerjasama untuk memajukan Malaysia tercinta,” Anwar dilapor berkata demikian.

Tambah beliau, meskipun masih banyak cabaran perlu dihadapi, Kerajaan Madani bergerak dengan iltizam yang jelas melalui pelantikan jawatankuasa teknikal MA63 dan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, beberapa tuntutan telah pun diselesaikan seperti penyerahan hak regulasi, pentadbiran kehakiman, dan pelantikan wakil negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN).

Dijangka dalam ucapan dan lafaz sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Kerajaan Madani bertekad memastikan Sabah dan Sarawak mendapat hak mereka sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Perkara ini bukan mustahil kerana Anwar dalam segala tindakan sebelum ini akan ditunaikan seperti mana yang digagaskan beliau dalam kerangka Madani.

Kerangka Madani menegaskan keadilan bermakna semua wilayah mendapat layanan yang saksama, dan semua rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, mendapat peluang untuk hidup sejahtera.

Komitmen Anwar dalam perkara ini bukan omong kosong, umum menyakini bahawa penyelesaian isu-isu tertunggak MA63 adalah asas kepada penyatuan negara.

Dan selaku Perdana Menteri, Anwar perlu membuktikan sempena sambutan Hari Malaysia ini bahawa wilayah Sabah dan Sarawak bukan pinggiran, tetapi nadi penting yang menguatkan Malaysia. Kerja kuat Anwar dalam memastikan negara ini bangkit semula bukanlah satu tugas yang mudah.

Seluruh rakyat dan jentera kerajaan perlu disedarkan bahawa bambutan Hari Malaysia ke-62 bukan sahaja mengenang sejarah, tetapi juga mengingatkan kita bahawa pembinaan bangsa tidak pernah selesai.

Ia adalah proses berterusan untuk memastikan Malaysia kekal adil kepada semua rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Cabaran baharu menanti perubahan iklim, persaingan global, ketidaksamaan ekonomi dan cabaran geopolitik.

Namun dengan semangat Madani dan tekad politik yang jelas, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk terus maju sebagai negara berbilang bangsa yang harmoni.

Dari harapan yang pernah diimpikan pada tahun 1963, kini Malaysia berdiri dengan keyakinan baharu.

Hari Malaysia ke-62 adalah peringatan bahawa perpaduan adalah kekuatan kita, dan Madani adalah kenyataan masa depan kita.

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke-62!

*** Penulis adalah bekas pensyarah Bahasa dan Tamadun yang juga bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Anda Mungkin Berminat