Ulasan | Akar Di Desa, Julang Di Dunia: Aspirasi Pendidikan Awal Negara

Oleh: Dr Ahmad Zahid Hamidi

ULASAN | SEJAK dahulu lagi, saya sentiasa percaya pendidikan bukan sekadar kunci untuk membuka pintu ilmu tetapi jambatan yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan.

Pengalaman hidup saya sendiri mengajarkan saya bahawa pendidikan awal adalah akar kehidupan. Jika akarnya kukuh, insya-Allah batangnya akan berdiri teguh, rantingnya subur dan buahnya memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Dibesarkan di Bagan Datuk, saya melihat sendiri denyut nadi desa yang dahagakan peluang setara dengan kehidupan anak-anak di kota. Dari pengalaman itulah lahir amanah yang kini saya pikul, amanah untuk memastikan pendidikan awal menjadi milik semua.

KEMAS: Nadi Pendidikan Desa

Dalam arus transformasi negara, KEMAS adalah sayap Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang tidak pernah goyah. Sejak penubuhannya, KEMAS bukan sekadar menjadi pusat pendidikan awal yang penting tetapi rumah kedua bagi anak-anak desa.

Di sinilah mereka mula menyebut huruf pertama, mengenal angka, menyanyi lagu patriotik, dan menanam semangat kebangsaan.

Hari ini, KEMAS mengurus lebih 10,567 TABIKA dan 5577 TASKA di seluruh negara, dengan hampir 221,012 kanak-kanak mendapat manfaat setiap tahun.

Namun, peranan KEMAS kini juga jauh melangkaui pendidikan awal semata-mata Ia menjadi ruang pembelajaran sepanjang hayat – dengan kelas kemahiran untuk belia, program komuniti untuk ibu bapa dan sokongan kepada warga emas. KEMAS kini adalah institusi rakyat yang menyeluruh yang menyatukan masyarakat desa.

RMK13: Model Baharu, Harapan Baharu

Kajian membuktikan bahawa 90 peratus perkembangan otak berlaku sebelum usia lima tahun. Atas kesedaran inilah, Rancangan Malaysia Ke-13 meletakkan pendidikan awal sebagai tonggak mobiliti sosial.

Hari ini, kadar liputan prasekolah negara mencecah 93.5 peratus. Namun, sasaran kita lebih tinggi, iaitu 98 peratus menjelang akhir RMK13.

Daripada 466,000 murid prasekolah, KEMAS kini menyumbang hampir hampir tiga perempat daripadanya. Walaupun angka ini kecil berbanding kelas pendidikan awam dan swasta yang lain – nilai tambah KEMAS adalah terletak apada capaian luasnya di luar bandar dan pedalaman, sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh banyak institusi lain.

Menyedari peranan besar KEMAS dalam membina masa depan anak bangsa, Kerajaan MADANI komited dengan menyalurkan lebih RM700 juta khusus untuk KEMAS dalam Belanjawan 2025, di samping RM67 bilion bagi keseluruhan sektor pendidikan.

Antara inisiatif baharu yang terungkil di dalam cadangan pelaksanaan RMK13 termasuklah usaha untuk mewajibkan prasekolah pada usia lima tahun, memulakan pendidikan rendah seawal enam tahun, menjadikan kurikulum prasekolah kebangsaan sebagai mandatori, memperluas penggunaan Bahasa Inggeris, menawarkan bahasa tambahan, serta memberi penekanan lebih awal kepada bidang STEM dan TVET.

Selari dengan visi ini, KEMAS akan memperkenalkan model bangunan kompak yang menggabungkan TABIKA, TASKA, kelas kemahiran dan program komuniti di bawah satu bumbung. Reka bentuk baharu ini lebih lengkap, menjimatkan kos dan mempercepat pembinaan, supaya anak-anak desa tidak lagi ketinggalan.

Transformasi Menyeluruh KEMAS

Transformasi pendidikan desa ini bukan sekadar perubahan kecil tetapi sebuah perubahan menyeluruh yang merangkumi infrastruktur, kurikulum dan kaedah pengajaran.

Hari ini, TABIKA KEMAS tidak lagi bergantung kepada papan hitam semata-mata, sebaliknya sudah mula dilengkapi komputer dan capaian internet. Lebih 2,800 daripada 11,988 guru pula telah menjalani latihan pedagogi digital.

Inilah anjakan baharu anak desa yang dahulunya belajar dengan kapur tulis kini berpeluang mempelajari sains melalui realiti maya, menggunakan tablet pintar dan menjalani simulasi kemahiran teknikal.

Sejak 1971, KEMAS konsisten memperbaharui pendekatannya. Penambahbaikan dan anjakan inovasi diperkenalkan seperti program Thalata Tis’a untuk pra-Huffaz seawal usia dua tahun, TABIKA Pra-Tahfiz untuk anak berusia lima hingga enam tahun, program PELITA@KEMAS untuk murid sekolah rendah dengan sasaran hafazan tiga hingga lima juzuk, serta Smart Classroom@KEMAS bagi melengkapkan desa dengan digitalisasi pembelajaran.

Baru-baru ini, saya telah melancarkan TABIKA Tunas Istimewa@KEMAS, inisiatif pendidikan inklusif untuk kanak-kanak autism.

Bermula dengan tiga kelas rintis di Melaka, ia akan diperluas kepada 176 kelas menjelang 2027. Tambahan itu, menjelang 2026, KEMAS juga menyasarkan 145,000 murid pra-tahfiz dengan penekanan kepada hafazan al-Quran dan pembentukan akhlak mulia. Usaha melahirkan generasi unggul ini mesti bermula sejak kecil, supaya anak-anak desa membesar dengan ilmu, iman dan adab yang kukuh.

Dari Desa Ke Dunia

KEMAS telah melahirkan lebih tiga juta alumni. Daripada desa, lahir doktor, jurutera, guru, usahawan, malah pemimpin negara.

Data membuktikan bahawa sembilan daripada sepuluh kanak-kanak TABIKA KEMAS sudah menguasai literasi asas sebelum melangkah ke Tahun 1.

Selain itu, lebih 5,000 program komuniti dijalankan setiap tahun, daripada kelas jahitan dan kursus memasak hinggalah kepada literasi digital belia desa. Semua ini adalah bukti bahawa apabila kerajaan dan rakyat berganding bahu, pendidikan menjadi jambatan sebenar perubahan sebuah kehidupan.

Desa mungkin jauh dari mercu kota tetapi dari tanah inilah lahir pemimpin, cendekiawan, teknokrat dan pejuang bangsa.

Dari desa yang membumi inilah sinar ilmu memancar, menerangi jalan Malaysia menuju masa depan yang lebih gemilang.

Transformasi pendidikan KEMAS di bawah RMK13 adalah janji dan tekad bersama – bahawa tiada anak desa akan tercicir, tiada keluarga desa akan terpinggir dan tiada masyarakat desa akan terasing daripada arus pembangunan negara.

Saya yakin dengan anjakan baharu pendidikan awal negara, kita bukan sekadar membina sekolah tetapi membina keutuhan sebuah bangsa.

Melalui KEMAS, kita bukan sekadar mengajar huruf dan angka, tetapi menanam harapan dan cita-cita. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dari rebung desa inilah akan tumbuh rimba bangsa yang gagah berdiri di pentas dunia.

Saya amat berbangga melihat perjalanan KEMAS yang bermula pada tahun 1970 hanya dengan projek rintis 10 kelas kecil di desa, kini selepas 55 tahun berkembang megah menjadi lebih 10,000 kelas di seluruh negara.

Bayangkan, generasi pertama yang pernah belajar di KEMAS kini telah menjangkau usia lebih 60 tahun, kini cucu mereka pula meneruskan pembelajaran di bangku KEMAS.

Lebih indah lagi, warga emas yang dahulunya murid KEMAS kini kembali sebagai peserta program komuniti, membuktikan bahawa KEMAS bukan sekadar tempat belajar tetapi sebuah ekosistem kehidupan yang lengkap – membimbing dari usia kanak-kanak, mengiringi ketika dewasa dan tetap bersama hingga ke lewat usia.

Inilah bukti KEMAS sebagai institusi yang mengakar dalam perjalanan hidup rakyat Malaysia, sepanjang hayat, sepanjang zaman.

***Penulis ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

Anda Mungkin Berminat