Oleh: Mohd Najib Hashim
DUNIA anak-anak kita hari ini tidak lagi berlari di padang, bermain guli di halaman atau menunggang basikal di lorong kampung.
Mereka kini hidup di dalam skrin dunia tanpa batas, tanpa bunyi cengkerik, tanpa mata yang memerhati.
Di situlah mereka ketawa, marah, dan menangis; di situlah juga mereka belajar mengenal dunia, tanpa kita sedari bahawa dunia itu tidak selalu selamat.
Baru-baru ini, negara tersentak dengan kisah memilukan seorang kanak-kanak cedera dikelar oleh abangnya sendiri selepas pertengkaran kecil tentang permainan dalam talian Roblox.
Ya ini satu tragedi, ini bukan sekadar kes terpencil; ia cermin retak kepada zaman yang kita cipta sendiri, zaman di mana emosi kanak-kanak dipandu oleh avatar, dan kasih sayang digantikan algoritma.
Kita selalu berbangga mengatakan generasi ini “celik digital”, tetapi kita jarang bertanya celik untuk apa, dan ke mana arah celik itu membawa mereka?
Seperti mana apapun yang diciptakan di dunia ini, prinsipnya adalah ada nilai kebaikan.
Begitu juga permainan seperti Roblox pada asalnya dibina untuk mengasah kreativiti dan imaginasi.
Namun, apabila tiada sempadan dan tiada panduan, dunia khayalan itu boleh bertukar menjadi medan konflik yang nyata.
Dalam kes dua beradik itu, pertikaian maya telah berubah menjadi keganasan sebenar.

Pengasuh Senyap
Ini bukan sekadar isu permainan; ini tanda bahawa garis antara dunia maya dan dunia sebenar semakin kabur, sehingga kanak-kanak tidak lagi tahu di mana letaknya batas emosi dan realiti.
Lebih membimbangkan, kejadian ini bukan satu-satunya petanda. Ramai ibu bapa hari ini membiarkan anak-anak mereka membesar di bawah jagaan gajet, menyerahkan telefon pintar sebagai pengganti perhatian dan kasih sayang.
Apa yang dulu kita anggap alat hiburan kini menjadi “pengasuh senyap”, menenangkan anak ketika menangis, tetapi perlahan-lahan memisahkan mereka daripada dunia manusia.
Akibatnya, anak-anak semakin cemerlang menekan butang, tetapi semakin tumpul dalam memahami perasaan.
Kita sedang berdepan generasi yang hidup di antara dua realiti, tubuh mereka di ruang tamu, tetapi minda mereka di dalam talian.
Mereka membina identiti melalui “like”, harga diri melalui “view”, dan makna hidup melalui komen orang asing.
Dunia ini terlalu besar untuk jiwa yang masih lembut. Apabila kecewa dalam permainan, marah dalam chat, atau kalah dalam ruang maya, perasaan itu tidak berhenti di skrin malah ia menular ke hati, dan akhirnya meledak di dunia nyata.
Masalah ini bukan sekadar soal disiplin anak-anak, tetapi cerminan kelemahan sistem kita.
Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus untuk melindungi pengguna bawah umur di media sosial.
Kita hanya bergantung kepada “syarat 13 tahun ke atas” yang ditulis kecil di laman daftar masuk, tanpa mekanisme pengesahan atau penguatkuasaan.
Negara seperti Perancis dan Korea Selatan sudah lama melangkah ke depan, mewajibkan izin ibu bapa, memantau akaun bawah umur dan memperkenalkan mod kanak-kanak secara automatik.
Sementara itu, kita masih menunggu tragedi demi tragedi untuk menyedarkan diri.

Namun, peraturan tanpa pendidikan tidak akan ke mana. Kanak-kanak tidak boleh diasingkan terus daripada dunia digital, kerana di situlah masa depan mereka.
Apa yang kita perlukan ialah kemampuan untuk melangkah dengan selamat — bukan sekadar pandai menggunakan peranti, tetapi tahu mengawal diri dan memahami nilai.
Pendidikan literasi digital perlu dijadikan tunjang kurikulum sejak sekolah rendah, bukan sebagai modul tambahan, tetapi sebagai asas pembentukan watak.
Mereka mesti belajar membezakan benar dan palsu, memahami privasi, serta tahu bahawa harga diri tidak diukur oleh algoritma.
Tragedi Roblox itu harus menjadi titik tolak untuk kita berfikir semula: adakah kita sedang membesarkan generasi yang bijak teknologi tetapi kosong jiwanya?
Kita terlalu asyik membina negara digital, tetapi lupa membina benteng moral yang melindungi manusia di dalamnya.
Malaysia perlu segera merangka satu dasar perlindungan digital nasional yang komprehensif.
Menetapkan umur minimum penggunaan media sosial, mewajibkan mod kanak-kanak, dan memperkenalkan pendidikan digital serta emosi sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan.
Perlindungan terhadap anak-anak dalam dunia maya bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Luka pada tubuh kanak-kanak itu mungkin akan sembuh, tetapi luka pada jiwa generasi ini akan kekal jika kita terus menutup mata.
Dunia digital ini terlalu luas untuk mereka hadapi sendirian.
Tugas kitalah sebagai ibu bapa, pendidik dan pembuat dasar untuk memastikan dunia tanpa sempadan itu tidak menjadi penjara tanpa pintu keluar.
Saya tinggalkan leteran ini dengan satu frasa petikan daripada Mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Seri Dr Khoo Kay Kim bahawa “Manusia mencipta sains, tetapi sains tidak boleh mencipta manusia”.
Sama- sama kita fikir dan cari makna untuk pedoman.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








