Ulasan | Bebal Antara Helang Dan Naga

Oleh: Mohd Najib Hashim

DALAM politik, kebodohan bukan selalu soal kurang ilmu tetapi kadang-kadang ia soal keengganan untuk berfikir.

Itulah wajah sebenar “bebal” dalam wacana politik Malaysia hari ini.

Beberapa hari selepas perjanjian perdagangan Malaysia – Amerika Syarikat dimeterai, ruang awam dipenuhi tuduhan dangkal: kononnya kerajaan “menjual kedaulatan”, “menjadi alat Barat”, dan “mengkhianati perjuangan rakyat Palestin”.

Lebih malang wacana ini turut dibahas secara semberono oleh wakil rakyat dalam Dewan Rakyat yang sepatutnya lebih matang tanpa bersendikan hasad dan dengki yang terlalu jauh menyimpang.

Kita boleh faham, jika sifatnya dalam dewan yang mulia bahawa pertanyaan wajib bagi pencerahan kepada rakyat.

Tetapi agak malang, persoalan yang dilontar bersifat separuh matang tanpa kajian dan lihat ‘bodoh’ oleh rakyat yang sepatutnya mengharapkan kecerdikan kepada ‘Tok Wakil’ mereka.

Namun di sebalik retorik murahan itu, ada sesuatu yang lebih membimbangkan, penolakan terhadap rasional dan fakta, diganti dengan emosi dan slogan.

Perjanjian yang dimeterai bukan satu bentuk tunduk, tetapi hasil diplomasi yang berpaksikan kepentingan nasional.

Malaysia bukan tunduk kepada Amerika, tetapi menuntut kedudukan yang setara sebuah negara kecil yang berani berunding dengan kuasa besar atas nama kedaulatan ekonomi.

Tetapi bagi sesetengah pihak, diplomasi itu dosa.

Mereka lebih gemar melihat dunia dalam kaca mata lama: Barat jahat, Timur suci; rundingan itu pengkhianatan, kerjasama itu penyerahan.

Naratif sebegini mungkin mudah menjentik emosi penyokong, tapi ia menghancurkan rasional politik negara.

Dalam dunia yang saling bergantung, menolak kerjasama atas nama “maruah” hanyalah romantisme kosong.

PMX dan realpolitik Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim(PMX) bukan baru sehari dua bercakap tentang realpolitik.

Beliau sedar bahawa idealisme tanpa strategi hanyalah mimpi.

Dalam dunia pasca-pandemik yang dibentuk oleh perang dagang dan krisis Gaza, Malaysia tidak mampu hidup dalam isolasi.

PMX memilih untuk menimbang di tengah-tengah  antara helang dan naga, antara Washington dan Beijing.

Ini bukan sikap berkecuali yang pasif, tetapi satu bentuk keberanian moden: berani menegakkan prinsip sambil mengatur strategi untuk manfaat ekonomi rakyat.

Namun, bagi golongan yang bebal  mereka tidak membaca sedalam itu.

Mereka melihat gambar jabat tangan lalu menjerit “tunduk!”, tanpa memahami bahawa jabat tangan itu mungkin membuka ribuan peluang pekerjaan, teknologi, dan pelaburan baharu untuk rakyat.

Kebebalan sebagai ancaman baharu, dalam Noli Me Tangere, José Rizal menulis:

“Tiada penindas andai tiada yang rela ditindas.”

Kata-kata itu menggambarkan hakikat yang masih benar hari ini  bahawa penjajahan sebenar bukan lagi datang dari luar, tetapi dari minda yang enggan berubah.

Kita tidak lagi dijajah oleh kuasa asing, tetapi oleh sentimen dan kejahilan sendiri.

Kita menolak kerjasama yang boleh memperkukuh ekonomi, kerana terperangkap dalam romantisme politik lama yang melihat Barat sebagai musuh abadi.

Kejahilan begini bukan sekadar memalukan malah berbahaya.

 Ia menjadikan rakyat mudah dimanipulasi oleh politikus yang hidup daripada naratif ketakutan dan kebencian.

Perbezaan antara PMX dan pengkritiknya kini semakin jelas.

PMX membawa politik matang dan berprinsip  yang menilai setiap keputusan berdasarkan kepentingan rakyat dan daya tahan negara.

Pengkritiknya pula masih berlegar dalam politik bebal, yang lebih gemar menyerang daripada memahami.

Mereka menolak fakta, menafsir dasar luar sebagai pengkhianatan, dan menjadikan isu antarabangsa sebagai alat membakar sentimen tempatan.

Ironinya, dalam keghairahan menuduh “penjajahan baharu”, merekalah sebenarnya yang memenjarakan minda bangsa.

Maruah tidak lahir daripada menjerit di jalanan atau menolak rundingan.

Walaupun dalam sebahagian isu menjerit dijalanan juga sebahagian kaedah mendapatkan kembali maruah yang dihancurkan. Bukan mutlak tetapi ada pertimbangan yang wajar yang perlu diperhalusi.

Maruah datang daripada kemampuan berdiri sama tinggi dengan kuasa lain, dan itu hanya boleh dicapai dengan kekuatan ekonomi serta kebijaksanaan diplomasi.

Inilah yang sedang dibina PMX – perlahan, berhati-hati, tetapi berani.

Beliau tahu bahawa dalam dunia hari ini, maruah tidak dilindungi oleh slogan, tetapi oleh strategi.

Kerana akhirnya, sejarah tidak mengingati siapa yang menjerit paling kuat, tetapi siapa yang membina asas paling kukuh.

Dan apabila dunia berubah, mereka yang bebal akan terus kekal di tempat sama, terperangkap dalam kebisingan yang mereka cipta sendiri.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat