ULASAN | Belanjawan 2026, Pembangkang Tolak Dulu, Fikir Kemudian

Oleh: Mohd Najib Hashim

APABILA Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.

Ironinya, angka itu bukan sekadar keputusan di atas kertas; ia mencerminkan pertembungan dua dunia, satu yang mahu memulihkan negara dengan realisme ekonomi, dan satu lagi yang lebih selesa menolak atas nama politik.

Belanjawan yang sepatutnya menjadi medan pemulihan selepas bencana pandemik lima tahun lalu dan penstabilan fiskal negara berubah menjadi gelanggang retorik partisan.

Blok kerajaan tampil dengan agenda jelas, memperkukuh keyakinan pelabur, menambah peluang pekerjaan, menyeimbangkan bantuan sosial, serta mempercepat reformasi struktur.

Sementara blok pembangkang pula memilih untuk menjadikan setiap angka dalam belanjawan sebagai peluru politik.

Selepas undian belah bahagi selesai, episod baharu tercetus.

Dalam sesi soal jawab di Parlimen, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, mencuri perhatian dengan jawapan yang separuh sinis tetapi penuh makna:

“Macam malas saya hendak menjawab… kenapa tak sokong semalam? Lepas itu minta itu ini. Belanjawan tak sokong. Malas saya hendak jawab.”

Kenyataan itu diarahkan kepada Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing) yang menuntut naik taraf jalan raya di kawasannya.

Ahmad menyindir, “Mersing ini pembangkang, minta bukan main banyak lagi… semalam pembangkang tak sokong pun belanjawan.”

Walaupun nadanya berseloroh, kata-kata itu menyentuh hakikat yang lebih besar, paradoks politik Malaysia.

Pembangkang menolak belanjawan atas alasan “tidak percaya kepada kerajaan,” tetapi keesokan harinya mahu menikmati hasil daripada belanjawan yang sama.

Ironinya, mereka menolak dasar yang sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat yang mereka wakili.

Dalam dunia ekonomi, John Maynard Keynes pernah menulis satu kalimat yang kini terasa sangat sinis untuk politik Malaysia:

“Apabila fakta berubah, saya mengubah fikiran saya. Apa yang anda lakukan?”

Sayangnya, kalau Keynes hidup di Malaysia, dia akan cepat kecewa.

Kerana di sini, fakta boleh berubah, rakyat boleh menderita, ekonomi boleh merosot,  tapi pendirian politik tak akan berganjak walau seinci.

Menolak Yang Betul

Prinsipnya mudah: lebih baik menolak yang betul daripada mengakui pihak lawan ada kebenaran.

Ironinya, dasar fiskal dalam Belanjawan 2026 sebenarnya menepati falsafah Keynes sendiri, meningkatkan peranan kerajaan sebagai pemangkin ekonomi ketika sektor swasta masih berhati-hati.

Pendekatan ini, yang digerakkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sekadar strategi politik, tetapi langkah ekonomi berasaskan rasional.

Ia menumpukan pada pelaburan strategik dalam infrastruktur, peralihan tenaga, pendidikan, inovasi dan bantuan bersasar untuk golongan rentan.

Semua ini bukan retorik, tetapi sebahagian daripada dasar fiskal progresif yang diiktiraf oleh pelabur dan penganalisis serantau sebagai konsisten dan berwibawa.

Namun, di Parlimen, fakta-fakta itu tenggelam di bawah gelombang emosi politik.

Mereka yang menolak tidak berhujah tentang angka defisit atau strategi pelaburan, sebaliknya sibuk menuduh kerajaan “gagal.”

Padahal, reformasi fiskal dan tadbir urus yang diperkenalkan kerajaan Madani kini menjadi asas kepada pemulihan jangka panjang negara.

Apabila undian diumumkan keputusannya 120 setuju, 67 tidak setuju, 35 tidak hadir, anehnya blok pembangkang mendakwa mereka “berdiri bersama rakyat.”

Tetapi siapa yang benar-benar berdiri bersama rakyat?

Yang menolak setiap langkah pembaharuan, atau yang berusaha menyusun dasar untuk menjamin masa depan ekonomi negara?

Seperti kata Keynes lagi: “Bahaya sebenar bukan pada idea baru, tetapi pada keengganan melepaskan idea lama yang salah.”

Dan inilah perbezaan paling ketara antara kerajaan Madani dan penentangnya.

Kerajaan hari ini berani memecahkan idea lama yang sudah tidak relevan seperti  subsidi menyeluruh yang tidak efisien, ekonomi berasaskan amalan mendapatkan kekayaan melalui pengaruh politik, monopoli, lesen khas, atau hubungan dengan kuasa, bukan melalui inovasi, produktiviti, atau persaingan yang sihat dan pendekatan pembangunan tanpa arah.

Sebaliknya, pembangkang masih terperangkap dalam nostalgia populisme, menolak tanpa menawarkan alternatif yang nyata.

Berdasarkan kepada tindakan pembangkang ini, bolehlah disimpulkan bahawa, Belanjawan 2026 bukan sekadar soal angka tetapi ia adalah simbol kepada peralihan pemikiran.

Di bawah pimpinan Anwar, kerajaan Madani memilih untuk berfikir sebelum bertindak, menimbang dengan data, bukan dengan dendam.

Ia bukan belanjawan sempurna, tetapi belanjawan berprinsip yang jerihnya dirangka untuk membina semula ekonomi dengan disiplin fiskal dan belas ihsan terhadap rakyat.

Dan di situ letaknya perbezaan, kerajaan Madani berusaha menegakkan apa yang betul, sementara pembangkang masih sibuk menegakkan siapa yang betul.

Di sini ada dua aliran yang perlu diteliti oleh rakyat yang pertama dalam politik lama, prinsipnya ialah tolak dulu, fikir kemudian.

Manakala dalam politik Madani, prinsipnya berubah iaitu fikir dulu, baru bertindak, demi rakyat, bukan segalanya untuk kepentingan parti.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat