Oleh: Norman Daud
ULASAN | SOALAN yang dilontarkan oleh Isham Jalil baru-baru ini “duit siapa beli Boeing?” Mungkin kedengaran sinis dan populis tetapi dari sudut kewangan dan logik perniagaan, ia sebenarnya tidak relevan dan agak kelakar.
Mari kita luruskan fakta. Pembelian pesawat Boeing bernilai USD19 bilion (kira-kira RM89 bilion) bukan dilakukan oleh kerajaan Malaysia, bukan juga oleh Kementerian Kewangan, Tabung Haji atau hasil jualan sawit FELDA.
Yang membeli pesawat tersebut ialah Malaysia Aviation Group (MAG) syarikat induk kepada Malaysia Airlines, Firefly dan Amal yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional.
Ini adalah urusan korporat komersial, bukan projek kerajaan.
Isham mungkin ‘terlupa’ atau sengaja memilih untuk tidak ingat bahawa pada tahun 2017, ketika beliau masih berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri waktu itu.
Malaysia Airlines turut mengumumkan pembelian pesawat Boeing bernilai USD10 bilion.
Ketika itu, tidak pula timbul soalan “duit siapa?” Tiada rundingan dagang besar, tiada potongan tarif eksport, tiada alasan ekonomi yang kukuh, namun semuanya diterima senyap oleh Isham dan rakan-rakan.
Bezanya kali ini, pembelian ini berlaku selepas kejayaan Malaysia dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat yang menyaksikan tarif eksport ke atas produk kita diturunkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Maka, ia bukan sahaja keputusan perniagaan tetapi satu langkah dalam ekosistem strategik yang membawa pulangan ekonomi kepada negara.
Tapi untuk nampak ini, seseorang perlu melihat dengan cermin mata fakta, bukan kaca mata politik.
Perlu juga difahami bahawa pembelian pesawat ini tidak melibatkan bayaran tunai secara sekali gus.
Ia lazimnya dibuat melalui struktur pembayaran berjadual termasuk ‘leasing’, pembiayaan bank antarabangsa serta modal dalaman syarikat.
Dalam erti kata lain, tiada lori bawa duit keluar dari Bank Negara ke kilang Boeing. Dan tidak, ini bukan duit gaji cikgu atau cukai jalan.
Untuk rekod, MAG mencatat keuntungan bersih RM766 juta pada 2023, hasil daripada pendapatan RM13.85 bilion dan keuntungan operasi RM889 juta.
Keuntungan pertama sejak penstrukturan semula pada 2015.
Walaupun keuntungan bersih 2024 menyusut kepada RM54 juta akibat kos penyelenggaraan pesawat lama, itu menjadi antara sebab logik dan perlu untuk mereka menggantikan pesawat yang lebih cekap dan ekonomi.
Cubaan Kelirukan Rakyat
Kalau hujah Isham diguna pakai secara pukul rata, maka semua syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tenaga Nasional atau Telekom Malaysia pun tidak boleh berbelanja atau melabur kerana setiap sen kononnya “duit rakyat”.
Tapi kita semua tahu bahawa syarikat GLC ditubuhkan bukan untuk duduk diam tetapi untuk menjana pulangan strategik dan komersial kepada negara.
Inilah bezanya antara pelaburan korporat dengan perbelanjaan kerajaan.
Dan seseorang seperti Isham yang pernah duduk dalam jentera pentadbiran, malah di Unit Perancang Ekonomi seharusnya tahu lebih baik daripada melempar persoalan yang mengelirukan rakyat.
Serangan politik itu lumrah tetapi jangan sampai menyesatkan masyarakat dengan retorik palsu.
Jika benar peduli tentang integriti dan fakta, maka wajar kita berlaku jujur dalam menyampaikan kritikan.
Jangan semata-mata mahu ‘skor politik’, kita sanggup gadai rasional dan mencetus kegelisahan palsu.
Akhir kata, ya soalan itu memang kelakar.
Tapi yang lebih kelakar ialah bila fakta dan logik diketepikan hanya kerana dendam politik yang tak berkesudahan.
***Artikel ini disunting daripada Facebook penulis, beliau merupakan Ketua Penerangan PKR Bera.








