Ulasan | Beras, Ayam Dan Gaji: Isyarat Awal Keberanian Belanjawan Madani 2026

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | GENAP setahun, kali ini apa yang ditunggu rakyat kembali untuk didengar bagi mencorak kehidupan baharu 2026 nanti.

Tentunya menjelang pembentangan Belanjawan 2026 banyak isu yang diharapkan oleh rakyat.

Tetapi naratif tulisan ini terarah kepada tiga perkara paling dekat di hati rakyat iaitu beras, ayam dan gaji.

Walaupun kelihatan sebagai isu kecil isi rumah, ketiga-tiganya sebenarnya mencerminkan keberanian Kerajaan Madani melaksanakan reformasi struktur yang berasaskan teori ekonomi kukuh.

Inilah wajah baharu Ekonomi Madani: beras sebagai simbol kedaulatan makanan, ayam lambang keadilan subsidi dan gaji cerminan martabat pekerja.

Ketiga-tiganya menjadi asas penting menuju ekonomi HGHV (High Growth, High Value) berasaskan ilmu, nilai dan kecekapan.

Tentunya sebagai antara negara pengimport terbesar dalam sektor pemakanan memberi kesan berantai jika dunia dilanda krisis seperti perang dan perubahan iklim.

Contoh yang jelas ialah krisis bekalan beras global akibat sekatan eksport oleh India menjadi peringatan bahawa Malaysia perlu membina daya tahan makanan sendiri.

Mengambil iktibar daripada Teori Keuntungan Perbandingan (Comparative Advantage) oleh David Ricardo (1772–1823), Malaysia harus memanfaatkan kelebihan sumber dan tenaga kerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Beliau menegaskan bahawa sesebuah negara akan lebih makmur jika menumpukan kepada sektor di mana ia paling efisien dan mempunyai kelebihan relatif berbanding negara lain.

Untuk ini, pujian harus dihulurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kerana memperkukuh pelbagai inisiatif di bawah Pelan Kedaulatan Makanan Negara 2030.

Antaranya, Program Padi Bersepadu Nasional (PBPN) mempertingkatkan hasil padi melalui automasi, teknologi pintar dan benih baharu.

Juga tidak dilupakan apa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan Insentif Harga Lantai Padi bagi menjamin pendapatan minimum petani.

Tentunya usaha berterusan, Datuk Seri Mohamad Sabu selaku menteri bertanggungjawab dengan membuka Jelapang Baharu di Sabah dan Sarawak membuka ruang pengeluaran baharu, mengurangkan tumpuan kepada kawasan tradisi.

Paling menarik program Agropreneur Muda di mana bertujuan memberi latihan dan modal digital bagi membentuk generasi pelapis sektor asas tani.

Berdasarkan kepada langkah-langkah ini bukan sahaja menepati teori Ricardo, malah memperkukuh kedaulatan makanan Malaysia menjadikan Belanjawan 2026 wadah penting menuju kendiri makanan menjelang 2030.

Subsidi Dan Langkah Berani

Langkah menamatkan subsidi pukal ayam merupakan keputusan berani yang selaras dengan teori ekonomi kebajikan (Welfare Economics) dan prinsip Subsidi Bersasar bahawa bantuan harus disalurkan tepat kepada kumpulan yang memerlukan bagi mengelakkan ketirisan.

Kerajaan Madani melalui PADU (Pangkalan Data Utama) kini memastikan hanya isi rumah berpendapatan rendah dan penternak kecil menerima bantuan sewajarnya.

Manakala KPKM turut menggerakkan beberapa inisiatif pelengkap:

Program Kawalan Harga & Bekalan Ayam (PRO-KHA) – memastikan kestabilan bekalan di pasaran.

Dana Pemerkasaan Penternak (DPP) – membantu penternak kecil menanggung kos makanan ternakan.

Pasar Agro Madani – menghubungkan terus pengeluar dan pengguna bagi mengurangkan peranan orang tengah.

Kesan jangka pendek mungkin terasa, tetapi manfaat jangka panjang ialah ketelusan fiskal dan kecekapan subsidi nasional, prinsip utama tadbir urus ekonomi Madani.

Reformasi Kekal Laju

Sementara itu, turut dinantikan ialah pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

Langkah ini pula, berpaksikan teori Upah Keberkesanan dan Modal Insan oleh Gary S. Becker (1930–2014).

Becker, sarjana ekonomi dari Chicago School, menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan, latihan dan kesihatan adalah bentuk pelaburan modal paling berharga.

Baginya, produktiviti dan pendapatan seseorang akan meningkat seiring dengan peningkatan kemahiran dan ilmu. (Human Capital: A Theoretical and Empirical Analysis, 1964)

Tentunya, Kerajaan Madani memandang dasar ini bukan sekadar kenaikan gaji tetapi peningkatan nilai dan produktiviti pekerja.

Diharapkan melalui insentif cukai kepada majikan, latihan kemahiran semula (reskilling) dan kolaborasi dengan industri strategik, Belanjawan 2026 akan memperluas pelaksanaan dasar ini ke sektor pertanian moden, digital dan teknologi hijau.

Matlamatnya jelas iaitu menaik taraf ekonomi rakyat tanpa mengorbankan daya saing industri.

Secara ringkasnya, Belanjawan 2026 yang akan dibentang nanti tidak meminggirkan golongan marhaen yang selama ini menjadi slogan keramat PMX bahawa “Tiada siapa yang tertinggal.”

Diharapkan keramat ungkapan ini menjadi kata kunci pada pembentangan petang Jumaat nanti.

Dan tentunya, gabungan isu beras, ayam dan gaji ini akan membuktikan bahawa Kerajaan Madani tidak gentar melakukan reformasi berasaskan teori ekonomi yang menjaga kepentingan rakyat.

Belanjawan 2026 dijangka menjadi manifestasi keseimbangan antara tanggungjawab fiskal dan keadilan sosial yang berpaksikan data, nilai dan kesejahteraan rakyat.

Tentu juga diharapkan pada Belanjawan 2026 ini nanti perlu diingatkan bahawa rakyat juga tidak boleh bergantung selamanya kepada bantuan (subsidi).

Sebaliknya mesti dibangunkan menjadi masyarakat berdikari, produktif dan bermaruah.

Beras melambangkan kedaulatan, ayam mencerminkan kecekapan dasar dan gaji menggambarkan martabat insan.

Menjelang Belanjawan 2026, tiga perkara ini menjadi isyarat awal keberanian Kerajaan Madani dalam menaratifkan ekonomi rakyat yang kukuh, berasaskan ilmu dan keadilan, demi masa depan Malaysia yang makmur dan sejahtera.

*** Penulis pernah berkhidmat sebagai pensyarah Tamadun dan Bahasa, merupakan bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Anda Mungkin Berminat