ULASAN | Berbaloikah Putus Hubungan Diplomatik Dengan AS Kerana Trump?

Oleh: Mohd Najib Hashim

ISU lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, ke Malaysia mencetuskan perdebatan besar di kalangan rakyat, ahli politik, ulama dan pemerhati antarabangsa.

Ada yang melihatnya sebagai peluang diplomatik, tidak kurang juga yang mendesak kerajaan memutuskan hubungan dengan Washington sebagai tanda bantahan terhadap kezaliman dan dasar berat sebelah terhadap Palestin.

Namun, soalnya, adakah memutuskan hubungan diplomatik benar-benar memberi manfaat kepada Malaysia, umat Islam, dan perjuangan Palestin?

Atau sekadar tindakan emosi yang akhirnya merugikan kita sendiri?

Dalam dunia antarabangsa yang penuh kekangan dan persaingan, diplomasi ialah alat untuk menegur dan membetulkan, bukan tanda menyerah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berulang kali menegaskan bahawa Malaysia bersahabat dengan semua, tetapi tidak tunduk kepada sesiapa.

Lawatan Presiden Trump bukan bermakna Malaysia mengiktiraf dasar zalimnya, tetapi peluang untuk menyampaikan pendirian tegas secara bersemuka, satu langkah yang jauh lebih bermakna daripada menutup pintu dialog.

Putus hubungan diplomatik mungkin tampak lantang, tetapi ia menyempitkan saluran teguran dan perjuangan, terutama dalam isu-isu seperti Palestin, Islamofobia, dan hak asasi antarabangsa.

Tegas Dalam Hikmah

Isu ini turut mendapat perhatian tokoh ulama berpengaruh negara.

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil, menjelaskan bahawa menolak kehadiran Trump secara mutlak adalah “bercanggah dengan maqasid syariah”, kerana Islam mengutamakan ḥifẓ al-amn (pemeliharaan keamanan) dan maqasid al-‘umrān (pembangunan tamadun).

 “Emosi dan sentimen tidak boleh dijadikan asas utama dalam menentukan dasar negara. Diplomasi perlu dinilai berdasarkan maslahat dan peluang menegakkan keadilan,”katanya.

Manakala Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin dalam kenyataannya menegaskan:

 “Kerajaan boleh berdiplomasi, tetapi kami tetap membantah tindakan gila Trump.”

Kedua-dua pandangan ini memperlihatkan keseimbangan Islam diplomasi bukan tanda redha dan bantahan tidak bererti perlu memutuskan hubungan.

Penegur Bukan Pengundur

Realitinya, Amerika Syarikat kekal antara rakan dagang utama Malaysia, dengan jumlah perdagangan melebihi RM250 bilion setahun.

Hubungan ini bukan soal ketundukan, tetapi strategi – bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan peluang pelaburan dalam sektor teknologi tinggi, kecerdasan buatan, tenaga boleh baharu dan ekonomi hijau tanpa menggadaikan prinsip.

Putus hubungan diplomatik secara drastik bukan sahaja menjejaskan ekonomi, bahkan melemahkan pengaruh Malaysia di peringkat global, sedangkan Islam menuntut umatnya menjadi penegur, bukan pengundur.

Dalam karya agungnya al-Muqaddimah, Ibnu Khaldun menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kuasa ketenteraan atau emosi rakyat, tetapi kepada ‘aql (akal) dan tadbir (kebijaksanaan pentadbiran).

Beliau menulis:

“Politik yang berpaksikan akal ialah politik yang bergerak atas asas maslahat, bukan kerana marah atau nafsu.” (Muqaddimah, Bab Ketujuh)

Ibnu Khaldun turut mengingatkan bahawa, apabila penguasa bertindak mengikut emosi rakyat tanpa menimbang maslahat, maka keruntuhan akan lebih cepat datang daripada kemenangan.

Hikmah Ibnu Khaldun ini seiring dengan pendekatan Malaysia Madani, berprinsip dalam pendirian, berhikmah dalam tindakan, serta mengelak dari keputusan tergesa-gesa yang mungkin membakar jambatan pengaruh dan diplomasi.

Malaysia kini menjadi contoh kepada dunia Islam, menyokong perjuangan Palestin tanpa ekstremisme, berdiri di atas landasan kemanusiaan, bukan permusuhan buta.

Melalui diplomasi hikmah, negara ini dapat menegaskan maruah Islam di mata dunia, dan membuktikan bahawa umat Islam mampu menegur dengan adab, menentang dengan ilmu, dan berunding dengan wibawa.

Sebagaimana ditegaskan oleh Dr MAZA melalui sokongannya terhadap Misi Sumud Flotilla:

“Kita menyokong misi kemanusiaan yang membawa mesej keteguhan dan kebebasan rakyat Palestin. Ini perjuangan maruah, bukan dendam.”

Kesimpulannya, salam menilai sama ada berbaloi atau tidak memutuskan hubungan diplomatik dengan AS kerana Trump, jawapannya ialah tidak berbaloi jika tindakan itu lahir daripada amarah, bukan hikmah.

Diplomasi bukan tunduk, tetapi ruang berdakwah.

Hubungan bukan pengiktirafan, tetapi saluran menyatakan kebenaran.

Sebagaimana nasihat Ibnu Khaldun, kerajaan mesti berpolitik dengan akal dan maslahat, bukan emosi dan tekanan massa.

Seperti pandangan Mufti Wilayah, hikmah lebih utama daripada kemarahan.

Dan sebagaimana pesan Mufti Perlis, bantahan tetap wajib tetapi mestilah disampaikan dengan kebijaksanaan Islam.

Malaysia Madani harus kekal teguh berhikmah dalam tindakan, berprinsip dalam pendirian, dan berani menyuarakan kebenaran walau kepada kuasa besar.

***Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat