Ulasan | Bila bantuan pun disindir, apa lagi mampu mengubat hati yang sakit?

Oleh: Mohd Najib Hashim

ADA segelintir yang nampaknya sukar tidur malam sejak pelancaran Budi Madani RON95(BUDI95).

Barangkali bukan sebab mereka tidak layak menerima manfaat, tetapi kerana tidak tahan melihat rakyat biasa dibela secara sistematik dan tersusun.

Bila rakyat dapat minyak murah, mereka kata ini “gula-gula politik”.

Bila rakyat dapat tunai, mereka jerit “populis murahan”.

Bila kerajaan tapis ikut data, mereka kata “tak adil”.

Bila semua diberi peluang rayuan, mereka kata “leceh”.

Akhirnya kita sedar, masalahnya bukan pada dasar, tetapi pada hati yang enggan melihat orang lain mendapat manfaat secara berhemah dan berprinsip.

Untuk memahami pendekatan BUDI95, wajar kita singkap gagasan Pierre Bourdieu (1930–2002), ahli sosiologi Perancis yang terkenal dengan analisisnya tentang kelas sosial, budaya dan struktur kuasa.

Bourdieu berpendapat bahawa kekayaan seseorang tidak hanya diukur melalui modal ekonomi (wang), tetapi juga melalui:

Modal sosial – jaringan hubungan dan kepercayaan;

Modal budaya – ilmu, kemahiran dan nilai;

Modal simbolik – maruah dan pengiktirafan masyarakat.

Menyelak sejarah teorinya, beliau turut memperkenalkan konsep habitus, iaitu tabiat dan cara fikir yang dibentuk oleh pengalaman sosial.

Untuk mengubah nasib rakyat, kita mesti mengubah struktur peluang dan cara fikir masyarakat, bukan sekadar hulur bantuan tunai tanpa arah.

Menurut Bourdieu lagi, perubahan sosial hanya berlaku apabila rakyat dibekalkan bukan sekadar modal ekonomi, tetapi juga modal sosial dan budaya — iaitu jaringan sokongan dan pengetahuan untuk mengubah nasib mereka sendiri.

Melalui kaca mata sosiologi yang digagas Bourdieu, bolehlah kita fahami bahawa BUDI95 bukan sekadar agihan tunai, tetapi satu usaha memperbaharui struktur sosial rakyat Malaysia agar lebih inklusif dan berdaya.

Selain itu, BUDI95 memperkukuh modal sosial.

Dengan sistem padu dan pendekatan bersasar, rakyat kini berhubung terus dengan institusi kerajaan.

Ia membina jaringan kepercayaan antara rakyat dan negara, asas penting dalam membentuk modal sosial yang kukuh.

Kerana bantuan tanpa struktur akan lenyap bersama musim, tetapi bantuan yang membina modal sosial akan kekal dalam budaya masyarakat.

Situasi yang dipraktikkan melalui BUDI95 juga meningkatkan modal budaya.

Proses pendaftaran, kemas kini maklumat dan kefahaman tentang subsidi bersasar menjadikan rakyat celik data, faham dasar, dan bijak menilai keperluan sebenar.

Ini menandakan pertumbuhan modal budaya rakyat Malaysia.

Selain itu, ia juga mampu mengubah habitus sosial — di mana BUDI95 mendidik rakyat bahawa keadilan bukan bermakna semua dapat sama banyak, tetapi semua mendapat mengikut keperluan sebenar.

Habitus rakyat akan berubah hanya jika struktur peluangnya diubah.

Itulah tujuan sebenar BUDI95 — bukan sekadar meringankan beban, tetapi mengubah cara rakyat berfikir tentang keadilan dan daya.

Sindiran, Bukti Dasar Ini Tepat

Ironinya, golongan yang menyindir inilah yang selama ini melaungkan slogan “subsidi bersasar”.

Namun bila kerajaan melaksanakannya dengan sistem data menyeluruh, mereka pula mencipta pelbagai naratif negatif bertujuan membunuh reformasi yang diusahakan kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Mereka mahu “fiskal berhemah”, tetapi marah bila subsidi untuk golongan kaya dipotong.

Mereka mahukan “keadilan”, tapi menolak bila rakyat miskin diberi lebih.

Bourdieu pernah menyebut bahawa “cita rasa sosial dibentuk oleh kelas dan pengalaman”.

Maka mereka yang menyindir dasar ini mungkin datang daripada kelas yang tidak memahami realiti hidup golongan rentan.

Kebenarannya, mereka bukan menentang dasar tetapi mereka menentang kejayaan dasar ini.

Golongan yang menyindir BUDI95 juga tidak segan menuduh bantuan kerajaan “memalukan rakyat”.

Tetapi tangan mereka jugalah yang paling pantas menghulur sampul ketika musim pilihan raya.

Bezanya, BUDI95 berasaskan sistem, bukan simpati.

Ia bukan “tabur duit”, tetapi struktur sosial baharu yang menjamin ketelusan, akauntabiliti dan keadilan.

Yakinlah, bantuan yang berasaskan data bukan tanda birokrasi, tetapi tanda keadilan.

Kerana dalam sosiologi Bourdieu, keadilan lahir apabila peluang diagih mengikut keperluan, bukan ikut suara paling kuat.

Akhir kata, mereka boleh terus menyindir.

Tetapi sementara mereka sibuk berdrama di media sosial, rakyat di bawah sudah mula merasai manfaatnya.

Dan bila rakyat sudah celik data, berdaya saing, serta faham makna keadilan sebenar, politik retorik akan hilang kuasa keyakinan rakyat.

Kerana akhirnya, budi yang baik akan kekal dalam ingatan, meskipun disindir oleh yang tak mahu melihat perubahan.

BUDI95 bukan sekadar bantuan, ia satu revolusi sosial berasaskan ilmu, teori dan keinsafan.

*** Penulis merupakan bekas pensyarah bahasa dan tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Anda Mungkin Berminat