ULASAN | BUDI95, Mengakhiri Sumpahan, Mencari Reformis Sebenar

Oleh: Mohd Najib Hashim

PROGRAM subsidi bersasar BUDI95 bukan sekadar bantuan tunai atau skim sementara. Ia adalah manifestasi keberanian politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pertama yang sanggup memutuskan ketagihan negara terhadap subsidi pukal petrol yang membocorkan fiskal berbilion ringgit.

Jika pendahulunya memilih untuk menangguh dan menyorok di sebalik populisme murahan, Anwar tampil sebagai reformis yang menongkah arus, menjadikan keadilan sosial dan disiplin fiskal sebagai mercu tanda pemerintahannya.

Dalam sejarah politik Malaysia, isu petrol sudah terbukti menjadi antara sebab kuburan politik Perdana Menteri.

Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi, si Mr. Clean yang diangkat rakyat pada 2004, tumbang teruk empat tahun kemudian.

Antara punca: keberaniannya menaikkan harga minyak pada pertengahan petadbirannya – langkah yang disambut rakyat dengan marah, dan pembangkang ketika itu menangguk di air keruh.

Sejak itu, harga minyak jadi hantu yang menakutkan setiap PM. Tun Dr Mahathir Mohamad sedar subsidi pukal membocorkan kewangan negara, tapi lebih rela biarkan bom jangka fiskal berdetik daripada kencingkan undi sendiri.

Begitu juga Datuk Seri Najib Razak  penuh slogan transformasi, tapi bila sampai bab petrol, beliau kecut perut untuk melaksanakannya.

Hari ini, Anwar memilih laluan berbeza. Beliau ambil risiko politik yang sama pernah menumbangkan Pak Lah: melaksanakan subsidi bersasar petrol melalui BUDI95.

Bezanya, kali ini langkah itu datang bersama naratif keadilan sosial, dan strategi ekonomi yang lebih tersusun.

Subsidi pukal petrol selama ini menguntungkan orang kaya lebih banyak daripada orang miskin.

Menurut data Belanjawan 2025, subsidi RON95 pada 2023 sahaja menelan kira-kira RM20 bilion, dengan hampir 40 peratus daripadanya dinikmati golongan berpendapatan tinggi serta warga asing, diulangi sekali lagi oleh warga asing.

Dengan subsidi bersasar, wang negara yang bocor ini boleh dipulangkan semula kepada rakyat terbanyak – pendidikan, kesihatan, perumahan rakyat, serta infrastruktur asas.

Langkah ini sejalan dengan pemikiran John Maynard Keynes, pakar ekonomi Inggeris yang terkenal dengan teori fiscal policy.

Keynes menegaskan, setiap suntikan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah akan menghasilkan kesan gandaan atau multiplier effect.

Analoginya begini, setiap satu ringgit yang dibelanjakan oleh orang miskin akan berputar beberapa kali dalam ekonomi, dari kedai runcit ke pasar malam, dari pekebun kecil ke peniaga nasi lemak.

Bandingkan dengan subsidi orang kaya: mereka mungkin simpan duit lebih, atau belanja barang import yang langsung tak membantu ekonomi tempatan.

Inilah beza antara subsidi pukal yang populis dan subsidi bersasar yang produktif.

Khianati Rakyat

Sejarah ditulis bahawa antara faktor Pak Lah tumbang kerana isu minyak. Najib dan Mahathir tak berani sentuh, sekadar buat kenyataan manis tanpa pelaksanaan.

Mereka tahu subsidi itu beban, tapi takut hilang undi.

Anwar pula masuk gelanggang dengan tangan terbuka. Beliau tahu risikonya – pembangkang pasti menjerit “pengkhianatan rakyat” – tapi beliau meletakkan prinsip di hadapan: subsidi bukan hak semua, tetapi hak mereka yang benar-benar memerlukan.

Sedangkan PN, mereka memilih jalan senang – meniup emosi rakyat dengan naratif “kerajaan zalim tarik subsidi”.

Hakikatnya, kalau subsidi pukal diteruskan, siapa yang kenyang? Orang kaya berkereta besar, tauke lori asing, dan penyeludup di sempadan.

Ironinya, blok yang paling lantang menjerit kononnya bela rakyat inilah yang sebenarnya mahu mengekalkan sistem lama yang bocor – sistem yang hanya menguntungkan kelas berada dan bukan warganegara.

Subsidi bersasar bukan sahaja menyelamatkan duit negara, tetapi juga mengembalikan rasa adil dalam masyarakat.

Dalam situasi ini golongan B40, M40 dan T20 tetap dilindungi.

Jadi, dalam erti kata tiada pihak yang terkecuali.

Kaedah ini, menutup kritikan selama ini bahawa kerajaan menyisihkan golongan T20.

Maksud “dilindungi” T20 ialah mereka tidak dikecualikan secara keseluruhan, tetapi mereka bukannya kumpulan fokus dalam pengagihan manfaat subsidi.

Dan yang lebih utama warga asing tak lagi kenyang dengan petrol murah Malaysia.

Sistem baharu ini memastikan subsidi benar-benar milik warganegara, bukan hadiah percuma di stesen minyak sempadan.

Saktinya, inilah garis pemisah antara retorik politik dan keberanian reformasi sebenar.

Langkah Anwar ini bukan luar biasa di rantau ini.

Sebelumnya Presiden Joko Widodo (Jokowi) di Indonesia juga pernah membuat keputusan pahit dengan mengurangkan subsidi bahan bakar minyak (BBM) yang dulunya sangat besar – hampir USD15 bilion setahun.

Hasil rasionalisasi itu, wang yang dulu terbakar di pam minyak dialihkan kepada membina jalan raya, pelabuhan, sekolah, dan hospital.

Jokowi pernah dihentam, dituduh anti-rakyat, malah diserang lawan politik dengan retorik yang sama seperti PN gunakan hari ini.

Tetapi masa membuktikan, langkah Jokowi itu menyelamatkan ekonomi Indonesia.

Hari ini, negara itu menikmati infrastruktur moden, pertumbuhan lebih stabil, dan pelaburan asing yang lebih yakin dengan disiplin fiskalnya.

Malaysia kini berada dipersimpangan sama.

Anwar memilih jalan yang Jokowi sudah lalui – berani menanggung risiko jangka pendek demi manfaat jangka panjang.

Kesimpulannya, Pak Lah dikenang sebagai PM yang tumbang kerana isu minyak.

.Najib dan Mahathir dikenang sebagai pemimpin yang tahu tapi tak berani.

Anwar bakal dikenang sebagai Perdana Menteri yang berani menongkah arus, melaksanakan subsidi bersasar walau pun tahu risikonya besar.

Lebih penting, langkah ini menepati logik Keynes – belanja negara mesti menyasar golongan yang benar-benar akan memacu pertumbuhan ekonomi melalui kesan gandaan (multiplier effect)

Ringkasnya, warga asing kehilangan peluang, rakyat miskin terus dilindungi, dan ekonomi mendapat nafas baru.

Dan PN? Mereka terus selesa menjerit dari luar pagar, mengutip modal politik murah dengan formula lama: takutkan rakyat, pelihara subsidi bocor, sambil menuduh reformasi sebagai pengkhianatan.

Bezanya, rakyat kini lebih sedar,  kalau Indonesia boleh berjaya dengan keberanian Jokowi, kenapa Malaysia perlu terus ditakut-takutkan oleh pembangkang yang hanya pandai berslogan kosong.

***Penulis merupakan bekas pensyarah bahasa dan tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat