Ulasan | Demokrasi Malaysia Perlu Pembangkang Benar-Benar Berfungsi

Oleh: Liew Chin Tong

ULASAN | PERIKATAN Nasional (PN) sebagai gabungan pembangkang dengan hampir satu pertiga kerusi Parlimen sebenarnya mempunyai sedikit-sebanyak peluang untuk menjadi alternatif kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, dengan masalah dalaman kepimpinannya serta tanpa sebarang perancangan untuk Malaysia, ia tidak akan ke mana-mana.

Perhimpunan yang dianjurkannya pada 26 Julai di Dataran Merdeka Kuala Lumpur menyasarkan usaha ‘menurunkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia bertujuan membangkitkan semula semangat penyokong yang semakin tak bermaya berikutan kelemahan kepimpinannya.

Sementara perhimpunan itu yang dipimpin oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat membawa ramai hadirin, hampir kesemuanya merupakan penyokong PAS dan gagal menarik penyertaan rakyat Malaysia yang tidak berparti.

Untuk memahami konteks politik yang lebih luas, mari kita lihat dengan lebih dekat tentang krisis kepimpinan PN.

๐—•๐—ฒ๐—ฟ๐˜€๐—ฎ๐˜๐˜‚

PN memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kerana mendapat kelebihan daripada pecahan undi pertandingan tiga penjuru PN-Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) akibat gelombang sentimen anti-BN.

Ini bermakna penyokong konservatif UMNO telah memberi undi kepada PN manakala PH pula dapat menarik undi daripada pengundi-pengundi moderat BN.

Sebelum itu, pada 23 Februari 2020, Muhyiddin berkomplot dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali untuk melancarkan satu rampasan kuasa politik yang menamatkan hayat kerajaan PH selama 22 bulan.

Muhyiddin berjaya menjadi Perdana Menteri yang dilihat sebagai berwibawa dalam kalangan orang Melayu walaupun dalam masa yang singkat, iaitu mulai Mac 2020 hingga Ogos 2021 dengan sokongan UMNO. Imej beliau itu membolehkan PN mencatatkan kejayaan pada PRU 2022.

Selepas PRU 2022, atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, sebuah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bersama oleh PH, BN dan parti-parti Sarawak dan Sabah.

Sewaktu kempen pilihan raya enam negeri pada Ogos 2023, Azmin berulang kali menyatakan bahawa jika PN menang Selangor, Muhyiddin akan kembali menjadi Perdana Menteri dengan harapan imejnya sebagai Perdana Menteri dahulu akan dapat menarik undi. Namun, Muhyiddin sudah hilang sinarnya.

Selepas selesainya pilihan raya di enam negeri tersebut, saya telah menulis bahawa PN sudah mencapai kemuncaknya dan sementara PAS terus kuat di kubu-kubunya, kepimpinan Bersatu akan terumbang-ambing dan pengaruhnya semakin pudar.

Muhyiddin sendiri tidak banyak melakukan apa-apa yang penting sepanjang dua tahun lalu yang dapat mengembalikannya sebagai Perdana Menteri untuk generasi akan datang.

Malah, sesama PN, dalam kalangan kepimpinan PAS, ada yang mahu Muhyiddin berundur dan dalam Bersatu pula, ada yang inginkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai presiden mereka.

Perlu diingatkan bahawa Bersatu ditubuhkan pada September 2016 oleh Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melawan kleptokrasi Datuk Seri Najib Razak.

Selepas menang bersama PH, kumpulan Hamzah dalam UMNO melompat masuk Bersatu pada 2019 untuk menambah kerusi Parlimen parti itu.

Apabila berlaku rampasan kuasa Sheraton 2020, kumpulan Mahathir ditolak keluar manakala kumpulan Azmin pula melompat masuk Bersatu dengan membawa wakil-wakil rakyat PKR.

Sehingga hari ini, kumpulan-kumpulan yang bersaing kuasa ini belum berjaya mencapai kata sepakat. Jika Muhyiddin memberi jalan, Hamzah yang bakal menggantikannya akan mengetepikan Azmin.

Bersatu menghadapi dilema. Sinaran cahaya kepimpinan Muhyiddin semakin malap di mata pengundi manakala Hamzah tidak cukup karisma untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Ini menjadikan sesetengah pemimpin PAS gelisah kerana PAS merupakan parti yang mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen.

๐—ฃ๐—”๐—ฆ

Sebenarnya, Datuk Seri Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, mempunyai daya tarikan dalam kalangan pengundi moderat di Malaysia.

Masalahnya, adakah kepimpinan PAS hari ini peduli dengan pendirian moderat, walaupun sedar bahawa jalan tengah merupakan elemen penting untuk memenangi dan memegang kuasa Persekutuan?

PAS ditubuhkan pada tahun 1951 oleh kalangan ulama dalam UMNO tetapi kudrat dan jiwanya hari ini dibentuk pada muktamar 1982 yang menyaksikan penyingkiran presidennya Datuk Asri Muda, pemimpin konservatif Melayu.

Sepanjang 1951 hingga 1982, PAS sentiasa bersaing dengan UMNO untuk menjadi wira Melayu. Walaupun berwajah agama, perjuangan ialah untuk orang Melayu. Sehinggakan ada pihak lawan yang menyindirnya sebagai parti kampung atau parti lebai.

Menjelang dekad 1970-an, negara-negara muslim pengeluar minyak mula mencari identiti diri sewaktu gelombang kebangkitan Islam antarabangsa terutamanya dalam kalangan anak muda. Di negara kita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pimpinan Anwar paling menonjol.

Berikutan krisis dalaman, kerajaan negeri PAS Kelantan hilang kuasa selepas darurat diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 1977 dan setahun kemudian kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri pada Julai 1981. Tidak lama kemudian, Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU diadakan pada April 1982.

Anwar Ibrahim ketika itu menerima jemputan Dr Mahathir untuk menyertai UMNO dan menjadi wajah Islam bagi parti itu.

Bagi PAS, kepimpinan Asri dilihat sebagai lapuk dan ketinggalan zaman. Kumpulan suara muda PAS daripada kepimpinan ABIM khususnya Almarhum Datuk Fadzil Noor dan Tan Sri Hadi Awang mengambil alih kepimpinan parti dan membawa perubahan besar.

Walaupun Haji
Yusof Rawa daripada kepimpinan lama dipilih menjadi Presiden, tulang belakang sebenar parti adalah Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi, masing-masing dipilih sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang baharu.

Semangat revolusi Iran 1979 mempengaruhi PAS untuk meletakkan ulama di atas struktur kepimpinan.

Daripada era bersaing dengan UMNO untuk menjadi wira Melayu, ia kemudiannya menjadi pertandingan ‘siapa lebih Islam’ dalam masyarakat Melayu khususnya. Kepimpinan ulama menjadi pilihan PAS.

Apabila Dr Mahathir memecat Anwar daripada UMNO, BN dan kerajaan pada 1998, Ustaz Fadzil yang telah mengambil alih kepimpinan PAS pada 1989, menggunakan kesempatan daripada krisis kepimpinan kerajaan BN untuk menarik ramai golongan muda dan profesional menyertai parti.

Allahyarham Fadzil sedang mempersiapkan PAS untuk memenangi hati golongan moderat Melayu serta mendekati kaum bukan-Melayu.

Beliau sedar PAS perlu mendapat sokongan pengundi jalan tengah jika ia mahu dilihat sebagai parti yang mampu mentadbir negara.

Sayangnya, Ustaz Fadzil telah pergi terlebih dahulu pada Jun 2002, dan tempatnya digantikan oleh Ustaz Hadi. Pada Jun 2015, transformasi PAS sebagai sebuah parti konservatif telah lengkap apabila berjaya menyingkirkan semua elemen progresif daripada parti.

Tanpa golongan progresif, PAS pimpinan Hadi kembali kepada cita-cita lama 1982. Walaupun hampir mustahil, impian para pemimpin dan ahli PAS ialah berharap agar rakyat Malaysia, sama ada Muslim atau bukan-Muslim, dapat melihat cahaya kebenaran versi PAS dan akan mengundinya pada pilihan raya akan datang.

Apabila Hadi yang sedang uzur menyatakan hasratnya untuk kekal sebagai presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan September ini, ia semakin menyukarkan PAS untuk berganjak keluar daripada pegangan 1982. Sekurang-kurangnya itulah hakikatnya setakat ini.

Kepada Samsuri dan pemimpin-pemimpin PAS lain yang mungkin mempunyai daya penarik dalam kalangan pengundi pelbagai kaum dan memahami pentingnya berada di jalan tengah, mereka perlu menunggu. Dan pada masa yang sama, mereka juga perlu berhati-hati agar tidak disingkirkan oleh kalangan konservatif radikal dalam parti.

๐—๐—ฎ๐—น๐—ฎ๐—ป ๐—ธ๐—ฒ ๐—ต๐—ฎ๐—ฑ๐—ฎ๐—ฝ๐—ฎ๐—ป

Sebenarnya PN boleh menjadi pembangkang yang konstruktif jika ia mahu. Ini bermakna ia perlu bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan melalui proses Parlimen untuk sama-sama memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

Kepimpinan PN perlu sedar bahawa menjadi pembangkang yang hanya mampu menimbulkan kemarahan untuk memanipulasi emosi rakyat terutamanya orang Melayu, tidak akan membawa perubahan kepada negara.

Saya masih ingat bahawa seminggu selepas rampasan kuasa Sheraton pada 2020 dan ketika ramai penyokong PH masih belum hilang marah terhadap pengkhianatan tersebut, Anthony Loke (yang ketika itu belum lagi menjadi Setiausaha Agung DAP) telah berjaya meyakinkan Ahli-Ahli Parlimen DAP untuk mencari satu penyelesaian yang meyakinkan.

Idea beliau; menstabilkan keadaan politik terlebih dahulu, bekerjasama dengan kerajaan semasa dalam bentuk ‘confidence and supply agreement’ (yang kemudiannya dicapai dalam bentuk memorandum persefahaman dengan pentadbiran Ismail Sabri) dan hanya selepas semua itu dilaksanakan, barulah berjuang habis-habisan di medan PRU.

Dengan krisis dalaman Bersatu dengan PAS yang kembali kepada dogma 1982 dan dengan PN mengambil pendirian untuk menjadi pembangkang yang hanya membangkang tanpa mesej positif, sukar untuk pengundi jalan tengah memilih pembangkang yang berpecah-belah.

Demokrasi di Malaysia memerlukan pembangkang yang lebih baik.

Penulis ialah Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang juga Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri

Anda Mungkin Berminat