Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | MENJELANG Pilihan Raya Negeri Sabah, jalan-jalan kembali dihiasi senyuman politikus yang terpampang megah di poster.
Dari Tamparuli ke Tawau, wajah-wajah yang pernah menghilang lima tahun kini muncul semula dengan tagaran baharu, warna parti baharu, dan semangat yang kononnya “kembali demi rakyat”.
Di sinilah indahnya seni politik Sabah penuh warna, penuh janji, tapi kadangkala kosong di isi.
Namun di sebalik poster yang menawan itu, rakyat Sabah sudah masak dengan permainan lama.
Janji pembangunan luar bandar, bekalan air, jalan raya, peluang pekerjaan, dan terbaharu isu hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Semua itu sudah jadi lagu ulangan setiap kali pilihan raya tiba.
MA63 kini seperti pelakon veteran; tetap dikerah ke pentas setiap musim pilihan raya kerana dialognya masih mampu memancing emosi rakyat.
Politik Sabah memang unik. Ia ibarat lautnya sendiri, tenang di permukaan, tetapi dalamnya penuh arus pusar.
Sejak era Tun Mustapha, Harris Salleh hingga Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, negeri ini sering menjadi pentas percubaan politik baharu.
Di sinilah lahirnya episod jatuh bangun kerajaan negeri dalam tempoh semalaman, di sinilah juga istilah “politik katak” menemui maknanya.
Parti bertukar, prinsip pun turut longgar, semuanya atas nama “demi rakyat”. Ironinya, rakyat masih menunggu air paip yang bersih dan jalan yang tidak berlubang.
Namun kita tidak boleh menafikan bahawa Sabah punya peranan yang sangat besar dalam lanskap politik Malaysia.
Tanpa Sabah dan Sarawak, Putrajaya tidak akan berdiri seperti hari ini.
Negeri di bawah bayu ini bukan sekadar “simpanan tetap” mana-mana gabungan politik, tetapi penentu masa depan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Siapa menguasai Sabah, dia hampir pasti menjejakkan kaki ke koridor kuasa di Semenanjung.
Justeru, politik Sabah bukan pinggiran, tetapi nadi penting yang menentukan arah politik Malaysia keseluruhannya.

Nafas Baru Madani
Dalam kancah inilah Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba membawa satu nafas baharu politik yang lebih jujur dan berpaksikan reformasi sebenar.
PMX tidak datang dengan slogan kosong, tetapi dengan tindakan berperingkat yang menghormati semangat persekutuan.
Dalam hal MA63 misalnya, beliau memilih meja rundingan, bukan mikrofon ceramah.
Beberapa langkah konkrit sudah diambil termasuk pemulangan kuasa kepada kerajaan negeri dalam urusan pelantikan jawatan persekutuan, penyelesaian isu hasil petroleum dan tenaga, serta perbincangan lanjut mengenai hasil bersih 40 peratus yang menjadi tuntutan bersejarah Sabah.
Langkah ini mungkin tidak secepat yang diinginkan sesetengah pihak, tetapi ia jauh lebih bermaruah daripada sekadar janji pilihan raya yang tidak pernah ditunaikan.
Selain itu, pendekatan MADANI turut menekankan pembangunan berasaskan keperluan sebenar rakyat Sabah pendidikan, digitalisasi, ekonomi luar bandar dan kestabilan politik.
Semua ini dilakukan tanpa merendahkan suara parti tempatan atau menghapuskan identiti Sabah yang tersendiri.
PMX faham bahawa menghormati Sabah bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi memberi kuasa untuk menentukan nasib sendiri dalam kerangka Malaysia yang adil dan setara.
Akhirnya, di sebalik poster-poster yang berkilauan itu, persoalannya tetap sama: apakah rakyat Sabah mahu terus diperdaya oleh slogan, atau memilih kepimpinan yang benar-benar bekerja setelah lampu limpah pentas ditutup?
Sabah tidak perlukan lebih banyak poster, tetapi lebih banyak tindakan.
Ia tidak perlukan pemimpin yang pandai berjanji, tetapi yang berani berjuang bersama rakyat.
Dalam gelombang politik yang tidak menentu ini, Kerajaan MADANI hadir bukan untuk menawan hati pengundi dengan janji manis, tetapi untuk mengembalikan keyakinan bahawa Sabah bukan sekadar alat politik, tetapi tonggak penting masa depan Malaysia.
Kerana di sebalik poster yang cantik, rakyat hanya mahu satu perkara kejujuran yang tulen.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








