Ulasan | Gaji Minimum Maruah Pekerja: Antara Realiti Hidup Dan Tanggungjawab Negara

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | DALAM hiruk-pikuk angka pertumbuhan ekonomi, unjuran pelaburan asing dan naik turun indeks pasaran, sering ada satu suara yang terpinggir, suara mereka yang hidupnya ditentukan oleh hujung bulan.

Di situlah gaji minimum berdiri bukan sebagai angka semata-mata tetapi sebagai garis pemisah antara bertahan dan tersungkur, antara hidup yang bermaruah dan hidup yang sekadar cukup-cukup.

Apabila Kerajaan MADANI mengekalkan komitmen terhadap dasar gaji minimum sebagai satu instrumen keadilan sosial, ia sebenarnya sedang memilih untuk berdiri di sisi manusia biasa, bukan semata-mata di sisi graf ekonomi.

Dalam kerangka pembangunan moden, gaji minimum sering dianggap sebagai dasar ekonomi.

Namun dalam hakikat yang lebih mendalam, ia adalah dasar kemanusiaan. Ia mengiktiraf bahawa tenaga manusia bukan barang dagangan yang boleh dibeli serendah mungkin.

Ia menegaskan bahawa harga keringat manusia mesti cukup untuk membeli kehidupan yang wajar.

Ibnu Khaldun, tokoh agung sosiologi dan ekonomi Islam, sejak abad ke-14 telah mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah tamadun terletak pada keseimbangan antara kekayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

Dalam Muqaddimah, beliau menegaskan bahawa tekanan ekonomi terhadap rakyat akan melemahkan produktiviti, menguncupkan kegiatan ekonomi dan akhirnya menghancurkan negara itu sendiri.

Cukai yang menekan, upah yang tidak adil dan beban hidup yang berlebihan, menurut beliau, adalah benih keruntuhan tamadun.

Dalam bahasa hari ini, gaji minimum yang terlalu rendah adalah satu bentuk kezaliman struktural yang membunuh semangat bekerja dan memiskinkan negara secara senyap.

Di Malaysia, realiti kos sara hidup semakin menghakis nilai gaji. Harga makanan, sewaan rumah, pengangkutan dan pendidikan terus meningkat, sementara sebahagian besar pekerja berada di tangga paling bawah rantaian ekonomi.

Di sinilah peranan gaji minimum menjadi sangat kritikal. Ia bukan bertujuan menjadikan seseorang itu kaya tetapi untuk memastikan seseorang itu tidak terperangkap dalam kitaran kemiskinan meskipun bekerja sepenuh masa.

Majikan Tidak Terbeban

Di Malaysia pada awal cadangan ini dikemukakan, terdapat kebimbangan di kalangan majikan bahawa mereka akan terbeban. Akibatnya akan berlaku pemberhentian pekerja secara besar-besaran dan memberi implikasi negatif terhadap ekonomi terutama sektor IKS/PKS.

Walaupun ada dakwaan bahawa penetapan gaji minimum membebankan majikan, realitinya cabaran ini boleh diurus melalui strategi yang bijak.

Kajian antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat dan Jerman, menunjukkan bahawa kenaikan gaji minimum tidak semestinya menyebabkan pemberhentian pekerja, malah boleh meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja.

Majikan boleh menyesuaikan kos operasi, meningkatkan produktiviti melalui latihan dan teknologi serta menetapkan harga produk secara bijak untuk menyerap kos tambahan.

Selain itu, kerajaan boleh menyokong majikan melalui insentif cukai atau geran PKS. Dengan pendekatan ini, gaji minimum bukan ancaman tetapi pelaburan jangka panjang: pekerja lebih bermotivasi, ekonomi tempatan berkembang, dan majikan akhirnya juga mendapat manfaat daripada pelanggan yang lebih berdaya beli.

Kajian antarabangsa mempunyai kesimpulan yang hampir seragam. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati bahawa pelaksanaan gaji minimum yang munasabah mampu mengurangkan kadar pekerja miskin (working poor) tanpa menyebabkan lonjakan besar pengangguran.

Jika dilaksanakan secara berperingkat dan selari dengan produktiviti. Di negara-negara Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi(OECD) pula, pelbagai kajian menunjukkan bahawa gaji minimum menyumbang kepada pengurangan ketidaksamaan pendapatan dan mengukuhkan kestabilan sosial dalam jangka panjang.

Di Amerika Syarikat, kajian oleh ahli ekonomi seperti David Card dan Alan Krueger mendapati bahawa kenaikan gaji minimum tidak semestinya menyebabkan pemberhentian besar-besaran seperti yang sering dibimbangkan.

Sebaliknya, ia meningkatkan pendapatan pekerja berpendapatan rendah dan merancakkan perbelanjaan domestik.

Di Jerman, pengenalan gaji minimum nasional pada 2015 telah meningkatkan pendapatan jutaan pekerja tanpa menjejaskan daya saing industri secara signifikan.

Polanya hampir sama di Korea Selatan, Australia dan beberapa negara Eropah. Intinya jelas: gaji minimum bukan musuh ekonomi, malah dalam banyak keadaan, ia adalah pemangkin kepada ekonomi yang lebih seimbang.

Apabila pekerja mempunyai sedikit lebihan di hujung bulan, wang itu tidak mengalir ke pasaran saham atau akaun luar negara. Ia kembali kepada ekonomi tempatan, ke kedai runcit, warung makan, gerai pasar malam, pengangkutan awam, perkhidmatan asas.

Ia menggerakkan ekonomi dari bawah, bukan dari menara gading. Inilah yang disebut oleh para ahli ekonomi sebagai ‘kesan gandaan permintaan domestik’. Duit di tangan rakyat adalah bahan api kepada ekonomi negara.

Bukan Angka Tetapi Manusia

Dalam konteks sosial, gaji minimum memberi satu mesej yang sangat kuat: negara ini tidak membiarkan rakyatnya bekerja dalam keadaan terhina.

Ia mengurangkan jurang antara yang terlalu kaya dan yang terlalu miskin. Ia menenangkan keresahan hidup.

Ia juga mengurangkan pelbagai simptom sosial, tekanan keluarga, hutang tidak terkawal, pekerja berganda dan konflik rumah tangga akibat masalah kewangan.

Dari sudut politik pula, dasar seperti gaji minimum adalah ukuran keikhlasan sebuah kerajaan.

Rakyat menilai bukan sekadar retorik tetapi sejauh mana dasar mampu menyentuh periuk nasi mereka.

Kerajaan MADANI yang sering mengangkat konsep keadilan sosial, ihsan dan kesejahteraan perlu memastikan bahawa gaji minimum bukan sekadar simbol tetapi benar-benar mampu menjadi perisai kepada golongan paling rapuh dalam ekonomi.

Namun sejarah juga mengajar kita bahawa dasar yang baik boleh menjadi pisau bermata dua jika tidak diurus dengan hikmah.

Ibnu Khaldun mengingatkan bahawa dasar ekonomi perlu selari dengan kemampuan pasaran dan produktiviti.

Kenaikan gaji yang tidak dirancang boleh membebankan perusahaan kecil, mendorong inflasi dan akhirnya mengembalikan tekanan kepada rakyat dalam bentuk harga yang lebih tinggi.

Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum mesti seiring dengan usaha meningkatkan produktiviti pekerja, bantuan kepada PKS, latihan kemahiran dan insentif teknologi.

Di sinilah keseimbangan MADANI sepatutnya dibina, bukan sekadar menaikkan gaji tetapi membina ekosistem ekonomi yang adil dari akar hingga ke pucuk.

Gaji minimum perlu bergerak seiring dengan dasar seperti gaji progresif, peningkatan kemahiran, automasi yang beretika dan sokongan kepada industri tempatan.

Barulah kenaikan pendapatan itu menjadi mampan, bukan sementara. Apa yang sering dilupakan dalam perbahasan ekonomi ialah hakikat bahawa ekonomi bukan tentang angka semata-mata, tetapi tentang manusia.

Pasaran boleh berkembang tanpa belas tetapi negara tidak boleh memerintah tanpa nurani. Gaji minimum, pada hakikatnya, adalah titik pertemuan antara logik ekonomi dan suara moral.

Ibnu Khaldun menulis bahawa apabila keadilan ditegakkan dalam urusan ekonomi, negara akan makmur tanpa dipaksa.

Apabila kezaliman dibiarkan, kemakmuran akan hilang walau dengan kekuatan sekalipun.

Dalam dunia moden, kezaliman itu bukan lagi hanya dalam bentuk cukai yang menindas, tetapi juga dalam bentuk upah yang tidak mencukupi untuk hidup.

Maka gaji minimum bukanlah hadiah, tetapi hak. Ia bukan sogokan politik, tetapi amanah negara. Ia bukan beban pembangunan tetapi asas kepada pembangunan yang berteraskan manusia.

Jika benar kita mahu membina sebuah negara yang stabil, produktif dan berperikemanusiaan, maka gaji minimum mesti dilihat sebagai pelaburan sosial jangka panjang, bukan sebagai kos jangka pendek.

Kerana akhirnya, tamadun tidak diukur pada tinggi bangunannya tetapi pada bagaimana ia memuliakan manusia yang membinanya.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat