Oleh: Mohd Najib Hashim
TULISAN ini hadir bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang menyifatkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai isu 40 peratus hasil bersih Sabah sebagai “bercelaru”.
Hakikatnya, apa yang dianggap celaru oleh sesetengah pihak sebenarnya menunjukkan ketelitian, keberanian dan kejujuran seorang pemimpin negara yang enggan menjual janji mudah dalam isu yang rumit dan bersejarah.
Tatkala Dewan Rakyat kembali bergema dengan persoalan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan, Anwar tampil bukan dengan retorik, tetapi dengan keputusan paling strategik iaitu tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025.
Keputusan ini segera mencetuskan pelbagai tafsiran. Ada yang melihatnya sebagai kelemahan undang-undang dan ada pula yang menilainya sebagai pengiktirafan penuh terhadap hak Sabah.
Namun, di sebalik riuh tafsiran itu, PMX sekali lagi menunjukkan kebijaksanaan seorang negarawan, memilih meja rundingan berbanding gelanggang mahkamah.
“Kita tidak berlawan mahkamah, kita menunaikan hak dengan tertib,” tegas Anwar dalam ucapannya di Parlimen pada 13 November lalu.
Dalam penjelasan panjang lebar di Parlimen, Anwar berkata:
“Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025 yang memutuskan bahawa kewajipan persekutuan terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah merupakan satu hak yang perlu ditunaikan.”
“Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas pada 11 November 2025 telah mendengar nasihat Peguam Negara dan mengambil keputusan bahawa kerajaan persekutuan tidak akan merayu keputusan tersebut.”
Anwar turut menegaskan bahawa keputusan itu bukan tanda tunduk atau kekeliruan dasar, sebaliknya tanda pilihan bijak, melaksanakan hak melalui kerangka dialog dan pelaksanaan bersama, bukan perbicaraan berpanjangan.
“Keputusan ini bukan bermakna kita menolak semangat atau butiran memahami hak Sabah, tetapi ia menandakan pilihan kita untuk melaksanakan hak tersebut melalui kerangka dialog, rundingan dan pelaksanaan bersama — bukan melanjutkan proses mahkamah yang boleh menangguhkan.”
Maka, di manakah letaknya kekeliruan yang didakwa?

Tidak Merayu Bukan Lemah
Hakikatnya, ucapan Anwar menunjukkan hala tuju yang jelas, kerajaan mengiktiraf hak Sabah, tetapi menegaskan perlunya pelaksanaan yang realistik dan berstruktur, agar tidak menjejaskan keadilan fiskal antara negeri.
Langkah tidak merayu ini disalahtafsir oleh sebahagian pihak sebagai tanda menyerah kalah.
Namun, bagi Anwar, inilah tanda kerajaan yang matang dan waras, berfikir dengan kepala dingin, bukan kepala panas.
Dalam isu yang berpaksikan Perlembagaan, emosi bukan asas keputusan.
Anwar tahu, pelaksanaan 40 peratus hasil memerlukan asas data dan mekanisme fiskal yang kukuh.
Kerajaan Madani tidak mahu menjanjikan angka yang tidak berpijak di bumi nyata atau menjejaskan negeri lain semata-mata untuk kepentingan politik sementara.
“Kita telah meminta Setiausaha Kewangan Persekutuan menulis surat kepada Setiausaha Negeri Sabah untuk memulakan perbincangan teknikal segera berkaitan butiran keputusan mahkamah dan mekanisme pelaksanaan,” jelas Anwar.
Pendekatan ini menunjukkan komitmen terhadap keadilan berskala nasional, hak Sabah diraikan, tetapi tanggungjawab kepada seluruh negeri tetap dijaga.
Itulah keseimbangan yang dimaksudkan oleh Anwar sebagai “keadilan untuk semua wilayah”.

Maka keputusan untuk tidak merayu bukan tanda keliru, tetapi tanda yakin, yakin bahawa hak Sabah tidak perlu dipertahankan melalui perbalahan, tetapi ditunaikan melalui perundingan jujur.
Anwar menolak pendekatan politik lama yang menjadikan isu MA63 sebagai bahan kempen.
Sebaliknya, beliau menukarnya menjadi landasan pembaharuan hubungan Persekutuan–Sabah yang lebih matang dan berasaskan kepercayaan.
Untuk memastikan pelaksanaan berlaku secara konkrit, beliau menubuhkan semula Jawatankuasa Khas MA63 yang kini diberi mandat untuk meneliti semula formula perkongsian hasil, memastikan ketelusan pengiraan dan pelaksanaan yang progresif serta mampan.
Langkah ini bukan hanya memenuhi kehendak Sabah, tetapi juga mengangkat kembali semangat Persekutuan yang seimbang di mana tiada negeri merasa terpinggir, dan tiada wilayah merasa dijajah.
Langkah Anwar ini melambangkan wajah politik baharu Malaysia — politik yang tidak berlawan dengan rakyat, tetapi mendengar dan menunaikan.
Setelah berpuluh tahun isu MA63 dijadikan modal politik, kini seorang Perdana Menteri buat pertama kalinya mengisytiharkan secara terbuka bahawa hak Sabah mesti ditunaikan, bukan ditangguhkan.
“Hari ini kita memilih jalan bukan untuk berlawan mahkamah, tetapi untuk berunding; bukan untuk menangguh hak, tetapi untuk memastikan hak itu dilaksanakan secara adil dan lestari.”
Kata-kata itu menggambarkan roh keikhlasan dan keberanian. Ia bukan janji kosong, tetapi cerminan pemimpin yang memilih jalan sukar tetapi benar.
Kerajaan boleh saja merayu untuk menangguh masa, namun Anwar memilih untuk menyegerakan keadilan.
Beliau tidak berpura-pura berjuang di mahkamah, sebaliknya menunaikan tanggungjawab di medan pentadbiran.
Apabila ada event dipabila Hassan menyifatkan kenyataan Anwar sebagai bercelaru, mungkin beliau terlupa bahawa dalam politik, kejelasan tidak semestinya datang dalam bentuk slogan — kadangkala ia datang dalam bentuk tindakan yang tenang, berhati-hati, tetapi berprinsip.
Isu 40 peratus hasil Sabah bukan soal siapa pandai berhujah, tetapi siapa berani menyelesaikannya. Dan dalam hal ini, Anwar memilih menjadi penyelesai, bukan pendebat.
Langkah ini menandakan permulaan Malaysia yang lebih adil — Malaysia yang tidak menilai berdasarkan peta, tetapi berdasarkan hati.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan
Baca juga:








