Oleh: Dr Zulqarnain Lukman
ULASAN | PORTAL Malaysiakini pada 22 Disember 2025 melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang mempertikaikan keputusan Hakim Alice Loke menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum berkaitan tahanan rumah.
Menurut laporan tersebut, Hassan mempersoalkan mengapa Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2018 boleh memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun baki tempoh hukuman masih berjalan, sedangkan Datuk Seri Najib Razak tidak menerima layanan yang sama.
Persoalan ini, walaupun kelihatan munasabah di mata awam, sebenarnya berasaskan kefahaman yang tidak tepat dari sudut perlembagaan dan undang-undang.
Pengampunan Anwar Ibrahim: Kuasa Sah di Bawah Perlembagaan
Kekeliruan ini telah dijelaskan secara jelas oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v. Mohd Khairul Azam Abdul Aziz & Another Appeal [2023] 3 MLRA 149.
Dalam kes tersebut, pengampunan penuh ke atas Anwar telah dicabar.
Namun, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pengampunan tersebut dibuat secara sah menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Perintah pengampunan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, secara nyata menyatakan bahawa Anwar diberikan pengampunan penuh dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan, selain dibebaskan serta-merta.
Lebih penting, rekod Mahkamah Tinggi dalam kes Mohd Khairul Azam Abdul Aziz v. Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan & Anor [2020] MLRHU 1326 menunjukkan bahawa Lembaga Pengampunan telah bersidang secara teratur dengan kehadiran wakil Peguam Negara dan Perdana Menteri selaku Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, selaras dengan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2018.
Kes Najib Razak: Remisi Hukuman, Bukan Pengampunan Penuh
Sebaliknya, kes Datuk Seri Najib Razak berada dalam kategori yang sama sekali berbeza.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah bersidang dan membuat keputusan secara rasmi untuk meremitkan hukuman beliau dengan mengurangkan tempoh penjara sebanyak 50 peratus serta menurunkan jumlah denda.
Keputusan ini telah pun diuji di Mahkamah melalui kes Badan Peguam Malaysia v. Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan [2024] MLRHU 2413.
Mahkamah menegaskan pendirian konsisten bahawa keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat secara teratur adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.
Titah Adendum: Isu Prosedur, Bukan Kuasa Raja-Raja
Penolakan permohonan Datuk Seri Najib Razak oleh Hakim Alice Loke bukanlah satu penolakan terhadap kuasa Raja-Raja Melayu, sebaliknya berpaksikan kepada isu prosedur perlembagaan.
Mahkamah mendapati bahawa Titah Adendum tersebut: Tidak dibuat dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan, dan oleh itu tidak memenuhi kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan
perintah tahanan rumah tidak mempunyai asas perundangan atau mekanisme pelaksanaan dalam sistem undang-undang Malaysia.
Isu Titah Adendum ini adalah persoalan baharu kerana belum wujud kes terdahulu melibatkan titah tambahan yang dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan sebagai pelengkap kepada keputusan sedia ada.
Sekiranya pengampunan penuh atau perintah tahanan rumah tersebut diputuskan secara rasmi dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, maka keputusan itu hampir pasti tidak boleh dicabar, selaras dengan prinsip yang telah lama dipertahankan oleh Mahkamah.
Mahkamah Konsisten Perlembagaan Dipertahankan
Malaysia adalah sebuah negara yang diasaskan atas keluhuran Perlembagaan.
Mahkamah, di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, mempunyai tanggungjawab untuk menilai sama ada sesuatu tindakan dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk dalam hal pengampunan.
Keputusan Mahkamah dalam kes ini tidak mencabar kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu.
Sebaliknya, ia menegaskan bahawa setiap kuasa perlembagaan mesti dilaksanakan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
Sejarah perundangan Malaysia menunjukkan bahawa Mahkamah sentiasa mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat secara sah dan mematuhi prosedur.
Kesimpulannya, maka jelaslah bahawa perbandingan yang dibuat antara pengampunan Anwar dan kes Najib Razak adalah tidak tepat dari sudut undang-undang.
Perbezaan utama bukan pada individu tetapi pada prosedur dan bentuk keputusan yang dibuat.
Justeru, dapat disimpulkan bahawa Hassan Karim telah terkhilaf dalam pendiriannya dan kekeliruan ini wajar di perbetulkan demi kefahaman awam terhadap prinsip perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.
***Penulis adalah seorang peguam








