Oleh: Sim Tze Tzin
ULASAN | Encik Eson, seorang bapa tunggal berusia 55 tahun telah didiagnosis dengan kanser pundi kencing tahap satu pada tahun 2018.
Mujurlah ada skim insurans tempat kerja, rawatan imunoterapi yang menelan kos hampir RM300,000 selama tiga tahun semuanya ditanggung oleh syarikat insurans. Penyakit kanser Eson akhirnya pulih tapi doktor berkata bahawa, Eson masih terdedah kepada risiko kanser semula dan dia perlu sentiasa berwaspada.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Eson telah pun mendapatkan satu polisi insurans untuk diri sendiri 15 tahun lalu dengan bayaran premium sebanyak RM652 sebulan.
Bukan senang nak buat kerja ‘sales’ dan Eson selalu bekerja lebih masa yang menyebabkan dia sentiasa kelesuan dan keletihan terutamanya ketika ancaman wabak Covid-19 melanda dunia.
Dan pada 2021, Eson terpaksa berhenti kerja dan bersara awal atas faktor kesihatan.
Malangnya, Eson mengalami tekanan kewangan ketika itu sehingga dia terpaksa menghabiskan sebahagian besar dana persaraan dalam tempoh dua tahun. Lebih buruk lagi, baru-baru ini syarikat insurans menaikkan premium daripada RM652 kepada RM1,800!
Kenaikan tiga kali ganda preminum insurans ini memang membebankan individu oleh seseorang pesara macam Eson.
Bagai jatuh ditimpa tangga, doktor mengesahkan kanser Eson kembali menyerang tubuhnya. Masa ni simpanan semua dah licin, syarikat insurans pula bertegas untuk tidak menurunkan bayaran premium. Macam mana dia nak ‘survive’?
Eson datang ke pejabat saya dan berkata, “YB, saya nak mati dah. Kanser saya datang balik dan saya tak mampu lagi nak bayar insurans.”
Eson tidak keseorangan, ada ratusan lagi kes yang saya terima melibatkan kenaikan premium insurans secara mendadak. Ada warga emas berusia 70 tahun yang sanggup serah balik polisi dan hilang segala perlindungan.
Pada November 2024, saya bangkitkan isu ini di Parlimen dan bertemu dengan Gabenor Bank Negara. Ekoran daripada itu, BNM telah memperkenalkan satu “langkah interim” dengan menetapkan had siling kenaikan maksimum iaitu sebanyak 10 peratus selama tiga tahun.
Saya sendiri membantu Eson menghantar aduannya kepada BNM dan akhirnya premium beliau diturunkan semula kepada RM652.
Hampir separuh rakyat Malaysia bergantung pada insurans untuk perlindungan kesihatan. Syarikat insurans tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga premium dan mengancam nyawa rakyat.
Ini soal hidup dan mati! Saya berjanji, saya akan berjuang berhabis-habisan mempertahankan hak rakyat. Saya takkan membenarkan perkara ini berlaku lagi.
***Penulis juga merupakan Ahli Parlimen Bayan Baru