Ulasan | Jurang pendapatan, dari naratif 2019 ke PMX – Apa yang berubah?

Oleh: Mohd Najib Hashim 

KETIDAKSEIMBANGAN pendapatan bukan isu baru. Ia seperti kelukaan lama yang tak pernah sembuh, hanya ditampal, dibiarkan bernanah, kemudian dibincang semula apabila politik memerlukan nada simpati. 

Pada 2019, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson pernah berkongsi satu infografik yang menggerunkan: hanya 0.2% rakyat memiliki kekayaan besar, manakala lebih 96% orang dewasa Malaysia hidup jauh di bawah paras kekayaan yang signifikan. 

Sedangkan kekayaan negara melonjak 14% pada waktu itu. Naratifnya mudah: negara makin kaya, tetapi rakyat terbanyak tidak merasa apa-apa. Atau ayat yang popular dilontar Anwar, “yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana”

Itu suara tahun 2019 suara seorang ahli politik yang menegur sistem. Tetapi sejak November 2022, suara itu datang daripada seorang Perdana Menteri. 

Persoalannya kini lebih besar: selepas Anwar menjadi PM, apakah jurang pendapatan itu mengecil, kekal, atau sekadar berubah kosmetik?

Di sinilah wajar kita menelusuri semula infografik 2019 itu, bukan sebagai bahan propaganda lama, tetapi sebagai kayu pengukur kepada perubahan yang sering disebut, namun sukar dibuktikan tanpa data, dasar dan keberanian menerima realiti baharu.

Infografik itu jelas menggambarkan negara yang terbahagi kepada dua dunia. Dunia pertama: segelintir kecil yang menikmati limpahan kekayaan. 

Dunia kedua: majoriti yang bukan sahaja ketinggalan, tetapi “tertinggal jauh” dalam penguasaan aset dan peluang. 

Jurang itu bukan sekadar angka, tetapi cerita tentang keluarga yang bekerja dua syif, graduan yang memegang dua pekerjaan, dan ibu tunggal yang memikirkan antara bayar sewa atau membeli susu anak. 

Anwar menamakan masalah itu sebagai “kegelisahan rakyat”, dan beliau benar,  jurang pendapatan mencipta keresahan sosial yang perlahan tetapi dalam.

Namun apabila tokoh yang mengangkat isu itu sendiri mengambil alih teraju negara, penilaiannya berubah. 

Beban beralih daripada mengkritik kepada membina. Kerajaan Madani yang dipimpin Anwar memilih pendekatan berlapis: menekan kos sara hidup, mengukuhkan pendapatan dasar, dan menstrukturkan semula subsidi. 

Ada yang memuji langkah keberanian, ada yang menganggap ia belum cukup ‘menggigit’.

Selepas Anwar menjadi PM, beberapa dasar utama diperkenalkan. Bantuan tunai STR, SARA, bantuan khas melonjak ke hampir RM15 bilion setahun, termasuk peningkatan alokasi besar kepada B40. 

Upah minimum dinaikkan, gaji penjawat awam ditingkatkan pada kadar tertinggi dalam sejarah, dan beberapa skim perlindungan kos sara hidup diperluas. 

Ini bukan usaha kecil; ia mencerminkan kepercayaan Anwar bahawa jurang pendapatan hanya dapat diredakan, jika pendapatan dasar rakyat ditingkatkan secara meluas, bukan bersifat kelompok.

Tanda awal perubahan terlihat pada data rasmi. Istilah ekonominya dikenali sebagai Pekali Gini negara (Gini coefficient) ini adalah kaedah ukuran statistik untuk melihat tahap ketidaksamarataan pendapatan atau kekayaan dalam sesebuah negara atau kumpulan masyarakat.

Atau dalam bahasa mudah mengukur jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin. Semakin kecil nilai pekali gini, semakin kecil ketidaksamarataan.

Dalam kes ini apabila pekali gini digunakan untuk ukuran ke menunjukkan penurunan sejak 2023 dan 2024. Ia bukan kejatuhan drastik, tetapi cukup untuk menunjukkan bahawa proses ‘penyempitan jurang’ sedang berlaku. 

Bahkan kadar kemiskinan tegar mencatatkan penurunan ketara, menghampiri titik sifar di beberapa negeri. 

Ini bukan kejayaan yang boleh disapu ke tepi. Namun ia juga bukan tiket untuk bersorak terlalu awal.

Kerana hakikatnya, jurang pendapatan bukan hanya berpunca daripada gaji rendah. Ia berpunca daripada penguasaan aset tanah, rumah, saham, teknologi. 

Dan di sinilah cabarannya. Kerajaan Madani meletakkan asas melalui dasar jangka panjang seperti memperkukuh TVET, mengembangkan industri teknologi tinggi, memperkenalkan pelaburan berkualiti, dan menstrukturkan subsidi bersasar. 

Tetapi perubahan aset adalah perubahan generasi, bukan perubahan tiga tahun.

Ubah dasar bukan slogan

Namun, dari sudut naratif politik, apa yang membezakan era Anwar dengan pemerintah terdahulu ialah keberanian menamakan musuh sebenar: ketidaksamarataan. 

Kebanyakan pemimpin lebih selesa berbicara tentang “pertumbuhan”, seolah-olah pertumbuhan ekonomi itu sendiri akan menyelesaikan jurang. 

Tetapi Anwar percaya sebaliknya pertumbuhan tanpa keadilan hanya menambah kesenjangan.

Di sinilah perubahan paling ketara. Fokus kerajaan tidak hanya tertumpu pada angka Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), tetapi kepada “kualiti hidup rakyat”. 

Ini meliputi akses makanan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi yang lebih seimbang. 

Naratif ini selari dengan pendekatan yang pernah beliau suarakan ketika belum menjadi Perdana Menteri, bahawa kemiskinan dan ketidaksamarataan bukan angka, tetapi ketidakadilan struktural.

Namun penilaian objektif harus jujur: perubahan ada, tetapi ia belum cukup mendalam. 

Jurang bandar-luar bandar masih ketara. Rumah mampu milik masih menjadi mimpi bagi ramai anak muda. 

Upah median naik, tetapi kos hidup naik dengan pantas. Tanpa transformasi menyeluruh dalam penguasaan aset, peluang pekerjaan berkualiti, dan pembaharuan fiskal yang berani, jurang kekayaan akan kekal keras seperti biasa.

Tetapi jika ditanya apakah perubahan wujud selepas Anwar menjadi PM? Jawapannya: ya, perubahan sudah bermula, bukan sebagai slogan, tetapi sebagai kesan dasar.

Dan mungkin buat pertama kali dalam beberapa dekad, seorang Perdana Menteri yang pernah menegur jurang pendapatan akhirnya berada di tempat yang membolehkan beliau cuba memperbaikinya. 

Perjalanannya panjang, tetapi sekurang-kurangnya langkah pertama sudah pun bermula.

*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan

Anda Mungkin Berminat