Oleh: Mohd Najib Hashim
LANGKAH MIC memutuskan hubungan dengan Barisan Nasional (BN) bukan sekadar langkah politik biasa. Ia ibarat mengetuk gong di sebuah dewan yang sudah lama sunyi memecahkan keheningan hubungan parti-parti lama yang terbina sejak era kemerdekaan.
Namun persoalan paling besar kini ialah: selepas keluar BN, adakah MIC akan tenggelam sebagai batu yang karam ke dasar atau terapung sebagai sabut yang mencari haluan baharu?
MIC bukan lagi parti yang memiliki rekod kemenangan gemilang dalam dua pilihan raya umum terakhir.
Dari sebuah parti yang pernah menjadi tunjang representasi masyarakat India, kini ia lebih banyak dihujani persoalan tentang relevansi dan arah tuju.
Keputusan meninggalkan BN bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia tertanam daripada rasa tidak puas hati yang membuak, layanan yang semakin mengecil, ruang politik yang makin sempit, serta hakikat bahawa BN hari ini bukan lagi BN yang dahulu.

UMNO sendiri berpecah, komponennya mengecil, dan BN akhirnya seperti tinggal nama dalam buku sejarah.
Kini MIC berdiri di gelanggang baharu, tetapi masih mencari siapa lawannya dan di mana penontonnya.
Ada yang meramalkan MIC akan bergerak solo sebagai suara masyarakat India tanpa terikat kepada kerangka BN.
Ada juga yang percaya MIC sedang menimbang pintu-pintu politik lain yang mungkin terbuka, termasuk Perikatan Nasional (PN).
Namun semua gabungan besar hari ini sudah padat, dan menempah tempat baharu bukan pekerjaan mudah.
Lebih kritikal, keluar BN tidak bermaksud masyarakat India akan kembali memeluk MIC.
Masyarakat India hari ini bukan lagi pengundi automatik seperti dua dekad lalu. Mereka lebih kritikal, lebih menilai isu dan prestasi, dan lebih berani meninggalkan parti tradisional jika merasakan hak serta suara mereka tidak diangkat dengan bermaruah.
Dalam beberapa siri pilihan raya kebelakangan ini, majoriti undi masyarakat India beralih ke PKR, DAP, dan parti-parti kecil lain yang lebih lantang mengangkat isu pekerjaan, pendidikan, serta mobiliti sosial.

Tukar rumah politik
Soalnya, adakah masuk PN seperti yang mula diperkatakan akan mengembalikan keyakinan masyarakat India terhadap MIC? Jawapannya tidak semudah ya atau tidak.
Sokongan masyarakat India tidak boleh dibeli dengan menukar rumah politik. Mereka menuntut tawaran baharu sama ada dasar, idea, atau keberanian.
MIC perlu membuktikan bahawa jika mereka menyertai PN, ia bukan sekadar mahu berteduh di bawah payung besar, tetapi untuk memperjuangkan isu-isu asas komuniti dengan lebih tegas.
MIC perlu membuktikan bahawa mereka bukan sekadar menukar alamat politik, tetapi menukar hati dan pendekatan.
Tanpa ini, masuk PN hanya akan dianggap sebagai langkah mencari tempat duduk bukan mencari arah perjuangan.
Kehadiran MIC juga menimbulkan persoalan dalam kalangan parti-parti kecil India yang sudah lama berada dalam orbit PN.
Kehadiran MIC yang lebih besar dan bersejarah boleh mengubah hierarki mereka. Ada yang melihat peluang, ada yang khuatir tentang ruang mereka yang semakin sempit.
Keputusan sebenar, bagaimanapun, tetap terletak pada Bersatu dan PAS, dua tunggak PN yang menentukan struktur gabungan itu.
Mereka perlu menilai sama ada MIC mampu membawa undi atau sekadar membawa beban sejarah.
MIC juga perlu sedar bahawa imej PN di mata masyarakat India bercampur-baur. Ada yang melihat PN berdisiplin dan stabil, tetapi ada juga yang melihatnya sebagai gabungan dengan naratif majoriti yang sukar menambat hati minoriti.

Jika MIC benar-benar serius mahu masuk PN, mereka perlu bekerja lebih kuat untuk mengubah persepsi pengundi India, bukan sekadar mengubah alamat politik.
Generasi muda India lebih kritikal dan tidak lagi berpaut kepada simbol parti tradisional. Jika MIC gagal menawarkan sesuatu yang baharu, masuk PN atau kekal solo kedua-duanya tidak akan memberi makna.
Akhirnya, persoalan terbesar tetap sama: adakah masyarakat India akan menerima MIC semula? Keluar BN bukan jaminan.
Masuk PN pun bukan jawapan pasti. Sokongan komuniti hanya akan kembali jika MIC tampil dengan pembaharuan sebenar, idea baru, kepimpinan baru, dan keberanian baru.
Jika MIC berjaya berubah, mereka mungkin menjadi sabut yang terapung mencari pantai baharu.
Sabut itu bukan ringan, tetapi tahu mengikut arus untuk mencari tempat yang selamat.
Sebaliknya, jika mereka terus terperangkap dalam politik lama yang telah ditinggalkan rakyat, mereka akan menjadi batu, berat, statik, dan tenggelam perlahan-lahan, hilang daripada ingatan dan harapan komuniti yang pernah mereka wakili.
MIC kini berada di persimpangan paling kritikal dalam sejarahnya. Masa depan mereka bukan lagi ditentukan oleh mana-mana gabungan, tetapi oleh keberanian untuk menafsir semula identiti dan perjuangan mereka.
Adakah MIC mampu menjadi sabut yang mengapung dan menjejak pantai baharu, atau batu yang karam dalam arus sejarah politik Malaysia?
Jawapannya akan terjawab bukan oleh retorik, tetapi oleh tindakan.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








