Ulasan | Ketakutan desentralisasi guru perlu diubah

Oleh: Dr Anuar Ahmad

Saya sekian lama berharap supaya diberi kuasa mengiklan jawatan guru pada pihak sekolah.

Biar bakal guru memohon jawatan guru mengikut iklan yang ditawarkan. Biar mereka tahu sejak awal sekolah mana yang mereka akan berkhidmat jika lulus temuduga. Sama seperti mana syarikat swasta mengiklankan jawatan kosong mereka.

Pihak sekolah hanya perlu iklan jawatan guru mengikut vot perjawatan yang mereka terima dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Proses temuduga dan surat pelantikan kekal oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Jika ada kekosongan guru Bahasa Inggeris, maka iklankan jawatan guru Bahasa Inggeris.

Memang ada pihak yang tidak setuju idea desentralisasi ini. Kononnya ini akan lebih sukar untuk diurus. Hakikatnya, di negara maju telah lama diamalkan pelantikan guru secara desentralisasi ini.

Kita selalu sarankan guru lakukan anjakan. Kita selalu cakap supaya guru kena ubah cara mengajar seperti mana guru di negara maju.

Kita selalu minta guru bersedia untuk guna teknologi dalam pengajaran, seperti guru negara maju

Kita minta guru ganti cara menaksir murid. Tiru macam mana guru negara maju taksiran murid mereka.

Kita selalu nak guru berubah ikut negara maju. Tapi bila ada cadangan yang ‘terkena atas kepala’ kita supaya ikut negara maju lakukan desentralisasi amalan pengurusan pendidikan, mengapa kita tak mahu ikut pula?

Akal fikir kita sudah terlalu taksub dan percaya kepada amalan sentralisasi pendidikan, hingga menyebabkan banyak hal-hal yang sepatutnya mudah telah dipersusahkan.

Kita dimomokkan kononnya amalan sentralisasi akan mempermudahkan urusan birokrasi. Kononnya sentralisasi pendidikan adalah amalan terbaik.

Hakikatnya tidak begitu.

Yang dijajah

Jika sentralisasi terbaik, mengapa bertegas mahukan pentaksiran bilik darjah (PBD)? Mengapa tetap mahu kekalkan ujian akhir sesi akademik (UASA)? Bukankah lebih mudah UPSR dan PT3 yang sentralisasi sahaja? Sebab ada ketikanya desentralisasi itu lebih baik.

Pendidikan yang baik dan bermakna itu sifatnya membangunkan individu, mencirikan pembelajaran nuansa wilayah dan mengikut pengalaman setempat. Itulah proses pendidikan yang realistik. Guru-guru dari lokaliti yang sama adalah pendidik yang paling baik untuk anak-anak belajar.

Amalan sentralisasi pendidikan yang rigid asalnya dari akal birokrat penjajah, dengan kuasa yang mereka dapat dari sentralisasi itu mereka berjaya mengawal dan mengukuh ‘jiwa takut’ rakyat yang dijajah.

Bacalah buku “Colonialism and Its Forms of Knowledge: The British in India karya Profesor Bernard S. Cohn yang mengisahkan bagaimana dengan hanya 600 pegawai British, mereka berjaya mengawal dan mengurus 600 juta rakyat negara India pada akhir abad ke 19.

Sebab sudah terlalu kental amalan sentralisasi ini, itulah sebabnya sampai sekarang jiwa ‘ketakutan’ itu berkekalan pada sebahagian orang.

**Penulis adalah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara dan sentiasa melontarkan pandangan mengenai pendidikan negara

Anda Mungkin Berminat