Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | PENERIMAAN Anugerah Tokoh Kewangan Islam Global 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar simbol pengiktirafan antarabangsa tetapi hadir dengan mesej yang lebih mendalam: kejayaan kewangan Islam tidak boleh hanya dilihat daripada keuntungan.
Tetapi pada sejauh mana ia mengubah kehidupan rakyat dan menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
Dalam hantaran di Facebook dan ucapan, Anwar menegaskan bahawa instrumen seperti sukuk hijau, platform digital, zakat dan wakaf tidak boleh berfungsi sebagai mekanisme kewangan semata-mata.
Ia perlu digembleng untuk mencipta masa depan yang inklusif dan lestari.
Pernyataan ini mencerminkan satu kritik terhadap amalan kewangan Islam yang adakalanya terperangkap dalam kerangka konvensional meniru model perbankan biasa dengan sekadar menukar label, tanpa membawa transformasi sebenar.
Anwar menekankan bahawa kewangan Islam mesti dipandu oleh Maqasid Syariah: keilmuan, keadilan, dan perikemanusiaan.
Namun, cabaran sebenar adalah bagaimana gagasan itu diterjemah dalam pasaran global yang didominasi oleh logik keuntungan jangka pendek.
Tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna, pernah menegaskan dalam Risalah al-Mu’tamar al-Khamis (1939) bahawa kapitalisme dan sosialisme gagal menyelesaikan masalah kemiskinan kerana hanya menekankan materialisme.
Baginya, jalan Islam ialah mengangkat keadilan sosial berlandaskan syariah, termasuk memastikan kekayaan tidak menumpuk di tangan segelintir golongan.
Dalam Risalah al-Ta‘lim yang terkandung dalam Majmu‘at al-Rasa’il, beliau turut menekankan bahawa riba mesti ditolak, zakat perlu diperkuatkan, dan wakaf digembleng sebagai instrumen pembangunan ummah.
Pandangan ini seiring dengan mesej Anwar bahawa kejayaan kewangan Islam mesti diukur pada kehidupan yang berubah, bukan semata angka keuntungan.
Sementara itu, Sayyid Qutb melalui karyanya al-‘Adalah al-Ijtima‘iyyah fi al-Islam (Keadilan Sosial dalam Islam) pula menegaskan bahawa ekonomi Islam adalah jalan tengah menolak kapitalisme rakus dan sosialisme materialis.
Tujuan utama, menurutnya, ialah menegakkan nilai keadilan dan mengangkat martabat manusia.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan soal kepimpinan. Sistem kewangan Islam, katanya, hanya boleh diperkuat melalui pemimpin beretika yang memikul amanah dengan integriti.
Tanpa barisan pemimpin sedemikian, sebarang inovasi kewangan berisiko menjadi kosmetik semata-mata.
Hassan al-Banna juga pernah menegaskan aspek ini, bahawa ekonomi Islam hanya berfungsi dengan baik jika dipimpin oleh individu yang memahami tanggungjawab moral, bukan sekadar teknokrat yang mengejar pulangan material.
Dasar Madani Dalam Memacu Kewangan Islam
Konsep Malaysia Madani yang dibawa Anwar sebenarnya menyediakan rangka kerja yang jelas untuk memacu kewangan Islam ke hadapan. Ada beberapa aspek penting:
Pertama dimensi nilai dan etika – Madani menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan keadilan sosial.
Kedua pelaburan dalam modal insan – memperkasa bakat dalam teknologi kewangan (fintech) Islam agar Malaysia bukan sahaja pengguna, tetapi juga pencipta instrumen baharu.
Ketiga regulasi (undang-undang) progresif – mengurangkan jurang antara ideal maqasid syariah dengan realiti industri kewangan.
Keempat pengukuhan zakat dan wakaf – menjadikan kedua-duanya sebagai instrumen pembangunan, bukan sekadar amal kebajikan.
Kelima kelestarian dan digitalisasi – memacu sukuk hijau dan instrumen digital Islamik untuk mendukung agenda ekonomi hijau.
Bagi memastikan visi ini tidak tinggal sebagai retorik, beberapa langkah konkrit boleh dipertimbangkan antaranya Platform Zakat Digital Nasional menyelaras kutipan dan agihan zakat menggunakan blockchain bagi meningkatkan ketelusan.
Wajar dipertimbang ialah Sukuk Hijau Komuniti – membiayai projek tenaga boleh diperbaharui, sistem air bersih atau perumahan rakyat.
Satu sisi lagi yang perlu diterokai ialah Integrasi Wakaf dalam Pembangunan Perumahan – menjadikan tanah wakaf sebagai asas pembinaan rumah mampu milik.
Juga menubuhkan Pusat Inovasi Fintech Islam – hab untuk menggabungkan syarikat pemula (start-up) teknologi dengan pakar syariah.
Indeks Kesejahteraan Kewangan Islam – mengukur kejayaan bukan pada pulangan pelaburan semata, tetapi juga impak sosial.
Kritikan Anwar bahawa kejayaan kewangan Islam mesti diukur melalui “kehidupan yang berubah” mengangkat persoalan mendasar: apakah matlamat sistem kewangan untuk memaksimakan keuntungan atau memperbaiki kehidupan masyarakat?
Jika cadangan-cadangan ini diterjemah dalam dasar, Malaysia berpotensi mengubah naratif kewangan Islam daripada sekadar alternatif teknikal kepada model ekonomi beretika dan berkeadilan, selari dengan gagasan Hassan al-Banna tentang keadilan sosial dan Sayyid Qutb tentang ekonomi berpusatkan manusia.
Kesimpulannya kejayaan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam jelas tidak boleh hanya diukur melalui angka keuntungan.
Pesan Anwar Ibrahim ketika menerima Anugerah Tokoh Kewangan Islam Global 2025 menegaskan kembali hakikat bahawa sistem ini mesti menjadi wahana perubahan sosial, seiring aspirasi Maqasid Syariah.
Seperti yang diingatkan tokoh Islam klasik moden seperti Hassan al-Banna dan Syed Qutb, ekonomi Islam adalah soal keadilan, amanah, dan pengagihan kekayaan, bukan sekadar instrumen pasaran.
Justeru, cabaran Malaysia kini ialah membuktikan bahawa inovasi kewangan termasuk teknologi kewangan (fintech), sukuk hijau, zakat digital dan wakaf berasaskan rantaian blok (blockchain) benar-benar mampu memberi impak pada kehidupan rakyat biasa.
Di sinilah letaknya peranan Dasar Madani: memperkukuh undang-undang, melahirkan pemimpin beretika, serta memacu ekosistem syarikat pemula niaga dalam kewangan Islam agar lebih inklusif.
Jika dilaksana dengan konsisten, Malaysia bukan sahaja mengekalkan kedudukan sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, tetapi juga memposisikannya sebagai model global ekonomi beretika yang berpaksikan nilai kemanusiaan.
*** Penulis adalah bekas pensyarah Bahasa dan Tamadun yang juga bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.