Ulasan | Kg Sungai Baru: Polemik Panjang, Titik Noktah Di Era MADANI

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | ISU pembangunan semula Kampung Sungai Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur akhirnya berada di ambang penyelesaian selepas bertahun-tahun tertangguh.

Dari zaman BN, PH hingga PN, isu ini tidak pernah sunyi daripada kontroversi. Namun, kenyataan terkini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zaliha Mustafa dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi isyarat bahawa kerajaan Madani mahu menoktahkan polemik ini “sekali dan untuk selamanya.”

Berikut adalah sorotan sejarah isu dari BN ke PN: –
● BN (2016–2017): Pampasan RM400/kaki, tergendala selepas tewas PRU14.

● PH 1.0 (2018–2019): Pampasan naik hingga RM1000/kaki, tetapi terhenti akibat Langkah Sheraton.

● PN (2020–2022): Rundingan dibatalkan, pampasan kembali ke RM400/kaki. Keputusan dibuat tanpa rundingan, Akta Pengambilan Tanah digunakan secara paksaan.

Ironinya apabila sampai ke hari ini di bawah Kerajaan Perpaduan yang diterajui PMX masalah ini dilonggokkan seolah-oleh perkara ini baru berlaku semalam.

Semua kesalahan dimuncungkan kepada kerajaan hari ini, manakala mereka yang sebelum ini membuat keputusan besar ‘cuci tangan’ dan memerhati dengan segala fitnah diletakkan di bawah kerajaan hari ini.

Tetapi mereka salah dalam menduga, mereka berharap dengan sikap lepas tangan akan menyebabkan rakyat melempiaskan marah kepada PMX.

Dugaan mereka silap, Anwar tampil dengan kenyataan tegas bahawa Kerajaan tidak mahu isu Kg Sungai Baru ini berpanjangan.

“Kita akan selesaikan sekali dan untuk selamanya, dengan memastikan hak penduduk dilindungi serta pembangunan tetap berjalan,”tegasnya.

Beliau turut mengecam pihak yang cuba mengeksploitasi isu ini untuk tujuan politik dan menimbulkan huru-hara.
Merujuk insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi baru-baru ini, PMX berkata, ini bukan cara Malaysia Madani.

“Kita tidak boleh benarkan provokasi atau keganasan menjadi alasan untuk menentang proses undang-undang,” jelasnya.

Benar kata Anwar isu ini menjadi tunggangan politik dan sentimen perkauman dilemparkan untuk kepentingan kuasa masing-masing.

MADANI Semua Ikut Undang-Undang

Amat malang, soal pampasan yang tidak adil dan tanah Rizab Melayu dilantunkan untuk menunjukan kerajaan hari ini bersubahat melucutkan hak Orang Melayu.

Tampil memberi penjelasan segera Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zaliha Mustafa, memberi jaminan bahawa kebajikan penduduk tetap menjadi keutamaan.

Jelasnya soal pampasan akan mengikut saluran undang-undang.

“Sekitar 68 peratus penduduk sudah setuju. Bagi yang tidak puas hati, mereka ada hak penuh untuk bawa ke mahkamah. Kerajaan tidak halang.”

Berkenaan sewa rumah sementara.

“Kos sewa rumah sementara ditanggung pemaju sehingga mereka dapat rumah baharu. Tiada siapa akan dibiarkan terbiar.”

Dan terpenting berkenaan Tanah Rizab Melayu.

“Kita pastikan pembangunan ini tidak mengetepikan status Tanah Rizab Melayu. Malah unit mampu milik untuk orang Melayu tetap diperuntukkan.”

Ternyata jaminan-jaminan ini melenyapkan status-status liar di media sosial ke arah memburukan Kerajaan Perpaduan.

Isu ini turut mendapat perhatian daripada Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dalam satu slot kuliah mingguannya beliau mengecam tindakan menyerang pihak polis ketika operasi pengosongan.

“Polis hanya melaksanakan tugas berdasarkan keputusan mahkamah. Menyerang mereka bukan sahaja salah dari sudut undang-undang, malah bercanggah dengan ajaran Islam,”ujarnya.

Dr Asri juga mengingatkan bahawa isu pampasan tanah perlu dilihat dalam kerangka faraid.

Selepas hak waris difahami, keputusan akhir boleh dibuat berdasarkan suara majoriti:
“Dalam pembahagian harta, prinsip asas ialah faraid. Namun selepas itu, jika majoriti waris setuju untuk menjual atau menerima pampasan, maka keputusan itu boleh diterima. Kita mesti berpegang pada syariat, bukan emosi,”katanya.

Perkara ini timbul apabila ada diantara yang membantah isu ini sebenarnya berdepan dengan masalah dalam keluarga berhubung status pemilikan.

Malangnya masalah keluarga ini ‘dibiak’ menjadi masalah negara yang menimbukan situasi tidak aman dalam negara.

Polemik Kg Sungai Baru mencerminkan perbezaan pendekatan antara kerajaan lalu dan kini.

PN menggunakan kuasa undang-undang tanpa kompromi, manakala kerajaan perpaduan menekankan proses undang-undang dan konsensus.

Pandangan Dr Asri menambah dimensi penting: isu tanah bukan sekadar soal pampasan material, tetapi juga perlu dilihat dari sudut hukum Islam yang menekankan keadilan antara waris.

Dalam konteks ini, penyelesaian berlandaskan undang-undang moden dan prinsip faraid boleh bergerak seiring.

Kesimpulannya, dengan 68–70 peratus penduduk sudah bersetuju, isu Kg Sungai Baru nampaknya menuju penamat.

Bagi kerajaan Madani, kejayaan menyelesaikan kemelut ini bukan sekadar soal pampasan, tetapi bukti bahawa konflik lama boleh diselesaikan melalui undang-undang, dialog dan keadilan sosial bukannya paksaan atau provokasi politik.

Seperti ditegaskan PMX, “Kita mahu pastikan pembangunan tidak mengorbankan rakyat, dan rakyat tidak menjadi mangsa politik.”

*** Penulis adalah bekas pensyarah Bahasa dan Tamadun yang juga bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.

Anda Mungkin Berminat