Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | KADANGKALA, dalam politik rantau ini, muncul sosok yang suaranya lantang tetapi langkahnya pincang.
Terkini, nama Rangsi Kitiyanathap kembali disebut, bekas jeneral Thailand yang menamakan dirinya “pemimpin ekonomi baharu”, nyaring di media tetapi kosong apabila berhujah.
Rangsi, yang mengetuai Economic Party Thailand, menyerang Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tuduhan liar kononnya Anwar ialah “musuh dalam selimut ASEAN”.
Namun, tuduhan itu akhirnya lebih mencerminkan kecelaruan fikirannya sendiri.
Beliau gagal di gelanggang politik, hilang deposit pilihan raya, lalu kini cuba menumpang populariti di atas nama seorang pemimpin yang sedang diiktiraf dunia.
Jika tidak disinggung oleh Anwar dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur, ramai mungkin tidak pun mengambil tahu siapa bekas jeneral Thailand itu.
Anwar tidak menyebut nama Rangsi, tetapi setiap patah katanya seperti anak panah yang tepat mengenai sasaran.
“Kita tidak akan terganggu dengan suara-suara kecil yang muncul bukan kerana kebenaran, tetapi kerana kehilangan arah dan modal politik.
“Kadang-kadang mereka ini seperti parti-parti kecil di tanah air kita, bukan sahaja kalah, malah hilang wang pertaruhan,” sindirnya.
Ucapan itu disambut tawa hadirin, namun di sebalik jenakanya terselit satu sindiran tajam, bahawa politikus yang gagal tidak patut mengajar erti kejayaan.
Anwar memilih gaya sindiran berlapis, bukan makian. Itulah kelebihan beliau menggunakan bahasa sebagai senjata, bukan kebencian sebagai alat.
Lucunya, tuduhan Rangsi bahawa Malaysia berpihak kepada kuasa besar dalam isu Thailand–Kemboja disangkal bukan sekali, tetapi dua kali.
Pertama, oleh kerajaan Thailand sendiri melalui jurucakap rasminya, Jirayu Huangsap, yang menegaskan bahawa hubungan Bangkok–Kuala Lumpur kekal utuh dan berteraskan saling percaya.
Kedua, oleh Wisma Putra, yang menegaskan Malaysia tetap berpaksikan prinsip ASEAN centrality bahawa semua konflik mesti diselesaikan melalui meja rundingan, bukan mikrofon fitnah.
Rangsi seolah-olah lupa bahawa dunia hari ini tidak lagi menilai siapa yang paling kuat menjerit, tetapi siapa yang paling konsisten membina damai.
Dalam hal ini, Malaysia di bawah kepimpinan PMX berdiri di sisi sejarah yang betul.
Tenggelam Dalam Politik Lama
Acahan Rangsi untuk mencuri perhatian turut mendapat reaksi daripada penganalisis serantau, yang melihat serangan tersebut sebagai tanda politik lama sedang tenggelam.
Dr Rahul Mishra, Profesor Madya di Center for Indo-Pacific Studies, Universiti Jawaharlal Nehru, menegaskan bahawa pendekatan Malaysia hari ini mencerminkan kebangkitan semula kepimpinan ASEAN yang lebih matang dan bebas.
“Pendekatan Malaysia yang proaktif dan berprinsip di bawah Anwar Ibrahim memulihkan keyakinan rantau ini. ASEAN kini tidak lagi menjadi medan kuasa besar, tetapi medan kepercayaan antara jiran,” katanya seperti dilapor media.
Menariknya, walau diserang dari luar, Anwar tidak pernah hilang tenang.
Beliau tidak menjerit membalas, tidak memanggil sidang khas untuk menegur; cukup dengan sepatah dua kata yang menggoncang seluruh konteks.
Dalam politik, siapa yang kehilangan kompas akan mencari kambing hitam.
Namun, Anwar jelas memilih untuk terus ke depan, bekerja untuk rakyat dan memperkukuh peranan serantau.
Itulah watak seorang pemimpin yang tahu membezakan antara kritikan bernas dengan kebisingan sia-sia.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar membawa satu falsafah baharu bahawa kuasa bukan untuk menunjuk taring, tetapi untuk menumbuhkan kepercayaan.
Diplomasi Malaysia hari ini bukan tentang tunduk, tetapi tentang berdiri dengan bermaruah.
Akhirnya, serangan Rangsi Kitiyanathap tidak meninggalkan kesan selain menelanjangkan kelemahannya sendiri.
Suara nyaring tanpa asas hanya menggema dalam ruang kosong.
Anwar, sebaliknya, terus berdiri di tengah medan geopolitik yang penuh cabaran, tenang, berprinsip dan berani menegakkan martabat Malaysia.
Dalam dunia politik, ada yang berjuang untuk membina, dan ada yang sekadar bersuara.
Dan Rangsi, malangnya, memilih untuk menjadi gema tanpa gema, lantang tapi hampa.
Hakikatnya, bekas jeneral Thailand yang gagal dalam gelanggang politik cuba mencipta nama dengan menyerang Perdana Menteri Malaysia.
Namun, serangan itu akhirnya hanya menelanjangkan kelemahannya sendiri. Lantang, tetapi tidak berpijak pada realiti.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








