Ulasan | MCA, MIC Tinggalkan BN: Jalan Keluar Atau Perangkap Baharu?

Oleh: Mohd Najib Hashim

ULASAN | DALAM sejarah politik Malaysia, tiada dua parti lain yang begitu sinonim dengan Perikatan dan kemudian Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.

Selama berdekad, kedua-dua parti ini menjadi suara rasmi kepada masyarakat Cina dan India dalam kerajaan.

Namun hari ini, MCA dan MIC tidak lagi berada dalam posisi dominan baik dari segi kerusi, kuasa, mahupun pengaruh.

Di sebalik sejarah panjang dan pengorbanan terdahulu, mereka kini berdepan realiti pahit: hilang sokongan, hilang peranan, dan yang lebih membimbangkan hilang arah.

Kenyataan terbuka bekas Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker yang menyindir Presiden parti Datuk Seri Wee Ka Siong kerana “berdiam diri”, serta pengumuman Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bahawa partinya kini bersedia membuka perbincangan dengan mana-mana pihak demi masa depan masyarakat India, menandakan tekanan dalaman yang semakin membesar.

Tetapi krisis ini lebih mendalam daripada sekadar isu gabungan politik. Ia berpunca daripada satu persoalan asas yang belum dijawab oleh kedua-dua parti: Siapa sebenarnya MCA dan MIC mahu jadi dalam politik Malaysia hari ini?

Namun dalam landskap politik pasca-2018, kedua-duanya semakin hilang arah, sokongan dan peranan.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), prestasi MCA dan MIC terus menjunam. Pada 2013, MCA menang 7 kerusi dan MIC 4.

Lima tahun kemudian, masing-masing hanya tinggal satu kerusi Parlimen. PRU15 menyaksikan MCA memiliki dua kerusi, sementara MIC kekal satu prestasi paling lemah dalam sejarah parti-parti tersebut.
Lebih memburukkan keadaan, tiada seorang pun wakil mereka menganggotai Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

Baru-baru ini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan parti lain demi masa depan politik MIC dan masyarakat India.

Politik Lama Tidak Laku?

Masa depan kedua-dua parti ini sebenarnya terletak kepada kepimpinan hari ini, sama ada bersedia untuk berubah.

Mencari gabungan baharu dalam senario politik Malaysia hari ini tidak akan mendapat jawapan yang mudah. Masalah utama ialah kedua-dua parti ini masih terperangkap dalam naratif politik lama memperjuangkan etnik masing-masing dalam struktur perkauman BN.

Sedangkan pengundi hari ini, khususnya golongan muda, tidak lagi membeli naratif “parti kaum”.
Mereka tidak lagi bertanya siapa wakil kaum mereka.

Sebaliknya mereka mahu tahu siapa yang benar-benar menyelesaikan masalah rakyat harga barang, peluang pekerjaan, gaji, pendidikan dan integriti pemimpin.

Dalam konteks ini, MCA dan MIC kelihatan masih belum bangun dari lena panjang pasca 2018.
Kenyataan MIC yang terbuka untuk berbincang dengan pihak lain, serta sindiran kepada MCA yang masih pasif, menunjukkan kesedaran bahawa BN bukan lagi pelindung yang berkuasa seperti dulu. Tetapi adakah meninggalkan BN penyelesaiannya?

Tanpa hala tuju, naratif baharu dan reformasi dalaman, keluar dari BN hanya akan dilihat sebagai perpindahan kuasa demi kelangsungan politik, bukan demi prinsip atau rakyat.

Sebarang perubahan hanya akan berjaya jika disusuli dengan tindakan berani untuk membina semula identiti parti bukan sebagai parti kaum, tetapi sebagai parti yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

Lebih membimbangkan daripada kekalahan kerusi, MCA dan MIC juga kelihatan kalah dalam pertarungan naratif perjuangan terutamanya berbanding parti seperti DAP.

DAP, meskipun sering dikecam lawan politik, berjaya menempatkan diri sebagai parti reformasi, anti-rasuah dan bersuara lantang untuk rakyat pelbagai kaum sekali gus mengisi ruang yang ditinggalkan MCA sebagai wakil dominan masyarakat Cina.

MIC pula kelihatan kehilangan pengaruh kepada wakil-wakil India dari PKR dan DAP yang lebih agresif dan aktif membela isu masyarakat daripada pendidikan, peluang pekerjaan hinggalah kebajikan B40.

MCA dan MIC kini bukan sahaja kehilangan kerusi, malah kehilangan peranan sebagai suara sah komuniti yang mereka wakili selama ini.

Siapa mereka mahu jadi? Inilah persoalan paling kritikal yang mesti dijawab secara jujur dan terbuka oleh kepimpinan MCA dan MIC.

Adakah MCA dan MIC mahu terus menjadi parti simbolik dikenang kerana sejarah, tapi tidak disertai dalam masa depan negara?

Atau mereka mahu bangkit dengan wajah baharu lebih terbuka, inklusif, moden dan bersedia bersaing di pentas nasional, bukan sekadar segmen khusus untuk sesuatu kaum?

Kerana jika mereka tidak menjawabnya, rakyat sudah pun menjawab untuk mereka melalui peti undi.

Ironinya MCA dan MIC kini berada di satu titik perubahan antara kebangkitan semula atau menjadi catatan nostalgia dalam sejarah politik Malaysia.

Soalnya bukan lagi siapa musuh mereka, tetapi soalannya adakah rakyat masih perlukan mereka?
Dan sebelum rakyat menjawab, mereka sendiri mesti berani bertanya: Siapa kami hari ini, dan siapa kami mahu jadi esok?

Anda Mungkin Berminat