Ulasan | Menjawab dakwaan Rais Yatim terkait idealogi komunisme

Oleh: Tan Kar Hing

ULASAN | SAYA ingin membantah keras kenyataan Tan Sri Rais Yatim yang dibuat dalam sidang medianya, di mana beliau gagal melakukan semakan fakta sebelum membuat tuduhan terhadap sebuah organisasi yang sah.

Dalam sidang medianya, beliau mendakwa bahawa sebuah organisasi yang disebutnya sebagai ‘Malaysia One-China Peaceful Reunification Promotion Association’ (Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia) telah menyebarkan ideologi komunisme. Namun, nama sebenar pertubuhan yang dimaksudkan adalah Persatuan Pendukung Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang merupakan sebuah organisasi sah dan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak untuk bersikap rasional dalam membincangkan isu ini dan memastikan segala kenyataan adalah berasaskan fakta bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan yang tidak perlu dalam masyarakat.

Menurut maklumat yang saya peroleh, organisasi ini juga menghantar laporan tahunan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. Matlamat utama persatuan ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan dan pertukaran budaya antara masyarakat Malaysia dan China, sejajar dengan dasar ‘Satu China’ yang selama ini menjadi pendirian konsisten kerajaan Malaysia.

Saya berpendapat bahawa tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Rais Yatim adalah berpunca daripada sebuah video yang tidak dapat disahkan kesahihannya. Dalam keadaan tiada bukti kukuh, melemparkan tuduhan berat terhadap sebuah organisasi yang sah bukan sahaja boleh menimbulkan kebimbangan dalam masyarakat, tetapi juga berpotensi untuk merosakkan reputasi dan operasi persatuan tersebut.

Tuduhan tanpa bukti seperti ini mengingatkan saya kepada era ‘McCarthyism’ di Amerika Syarikat semasa Perang Dingin, di mana individu dan kumpulan tertentu ditekan serta ditindas hanya kerana dilabel dengan ideologi tertentu. Tindakan sebegini bercanggah dengan semangat demokrasi, kebebasan bersuara dan prinsip kedaulatan undang-undang yang sepatutnya kita junjung.

Sejak sekian lama, hubungan Malaysia dan China telah terjalin dalam pelbagai aspek, termasuk perdagangan, pendidikan, teknologi, perubatan serta pertukaran budaya. Malah, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan banyak universiti serta institusi penyelidikan di Malaysia telah membina kerjasama jangka panjang dengan institusi di China, menghasilkan banyak manfaat kepada negara.

Justeru, saya ingin menegaskan bahawa sebagai pemimpin masyarakat, kita mesti berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, agar tidak menimbulkan ketegangan dan kegusaran dalam masyarakat. Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu ini, kita harus lebih menghargai keamanan dan keharmonian negara.

Maka, saya menyeru semua pihak untuk mengamalkan sikap yang inklusif dan rasional serta memastikan perbincangan awam berlangsung dalam ruang yang sihat dan berasaskan fakta. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk harus terus berkembang ke arah masyarakat yang lebih matang dan positif dalam mendepani isu-isu sebegini.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa kematangan demokrasi bergantung kepada sikap saling menghormati, kepatuhan kepada undang-undang dan keupayaan untuk menolak retorik yang boleh mencetuskan ketakutan tidak berasas.

Penulis juga merupakan Ahli Parlimen Gopeng


Anda Mungkin Berminat