Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | TANGGAL 16 September bukan sekadar catatan dalam kalendar tetapi sebuah detik bersejarah yang membentuk asas kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Namun, hakikatnya tarikh ini lama terpinggir daripada arus sambutan nasional. Fokus hanya diberikan kepada 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan, sedang 16 September yang mengikat Wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam satu federasi jarang diangkat sebagai acara rasmi peringkat negara.
Di sinilah kelihatan kelantangan dan visi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seawal era 2000-an, beliau sudah menyuarakan keperluan untuk mengiktiraf 16 September sebagai hari kebangsaan yang sama pentingnya dengan 31 Ogos.
Bagi Anwar, tarikh tersebut menzahirkan satu “kontrak moral” antara wilayah berbeza, yang harus diraikan untuk memastikan penyatuan tidak bersifat simbolik, sebaliknya hidup dalam jiwa rakyat.
Cadangan Anwar untuk menjadikan 16 September sebagai cuti umum pada hakikatnya melangkaui soal politik semasa. Ia adalah usaha memperbetulkan naratif sejarah negara.
Dengan mengisytiharkan cuti rasmi, kerajaan memberi isyarat bahawa penyertaan Sabah dan Sarawak tidak boleh dianggap sebagai pelengkap semata-mata, tetapi teras dalam pembentukan Malaysia.
Idea ‘tambahan cuti’ yang dibawa Anwar ketika itu berakar daripada prinsip keadilan sejarah: bahawa setiap wilayah berhak dihargai.
Pemikiran ini tidak hanya berbicara soal cuti, tetapi lebih luas sebuah strategi politik kebangsaan untuk menjembatani jurang psikologi antara Semenanjung dan Borneo.
Dari Wacana Ke Polisi
Ketika menjadi Ketua Pembangkang, Anwar berulang kali menekankan isu ini dalam ucapan dan perbahasan.
Gerakan “Projek 916” pada 2008 mungkin tidak tercapai dari segi politik, tetapi ia membangkitkan kesedaran nasional tentang nilai tarikh tersebut.
Desakan Anwar akhirnya membuka ruang untuk kerajaan pada tahun 2009 mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum bermula 2010.
Dengan itu, apa yang bermula sebagai wacana politik oposisi akhirnya bertukar menjadi dasar kerajaan.
Hari Malaysia kini disambut setiap tahun sebagai acara rasmi, lengkap dengan program kebangsaan yang menyatukan seluruh rakyat.
Kesedaran yang disuntik Anwar melalui idea 16 September sebenarnya melangkaui kepentingan politik semata-mata.
Beliau melihat bahawa negara ini tidak boleh hanya bersandar kepada struktur politik atau pentadbiran, tetapi memerlukan kesatuan jiwa.
Tarikh-tarikh penting seperti penubuhan Malaysia bukan sekadar angka dalam sejarah, tetapi perasaan bersama yang perlu dikongsi oleh setiap warganegara.
Dengan rasa perkongsian inilah akan lahir cinta tanah air yang lebih jitu sebuah patriotisme yang tidak dipaksa, tetapi datang daripada jiwa yang merasa dirinya sebahagian daripada Malaysia.
Apabila semangat ini terpupuk, negara lebih mudah digerakkan untuk mengejar kemajuan yang semakin mencabar di era globalisasi dan persaingan ekonomi yang sengit.
Pemulihan Hak
Bagi Anwar, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar retrospektif sejarah. Ia adalah medan membina masa depan.
Jika diteliti dalam banyak ucapannya, beliau menekankan soal federalisme yang adil, pemulihan hak Wilayah Sabah dan Sarawak dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta keperluan Malaysia mendirikan semula sebuah naratif nasional yang inklusif.
Pandangan ini seiring dengan renungan ulama besar Nusantara, Buya Hamka, yang pernah menulis: “Negeri yang merdeka adalah negeri yang rakyatnya berani merasa dirinya merdeka. Tiada erti bendera berkibar, jika jiwa masih terjajah.” Petikan ini memberi erti bahawa kebebasan bukan hanya soal kemerdekaan politik, tetapi juga keberanian sebuah bangsa untuk menegakkan maruah dan mengurus dirinya dengan adil.
Dengan mengangkat Hari Malaysia, Anwar menzahirkan satu visi bahawa penyatuan negara mesti berlandaskan kebebasan, keadilan, dan pengiktirafan terhadap semua wilayah.
Di bawah kepemimpinannya kini, semangat itu diperkukuh dengan pelaksanaan tuntutan MA63 serta usaha membangunkan Wilayah Sabah dan Sarawak secara setara dengan Semenanjung.
Kesimpulannya Hari Malaysia 16 September bukan sekadar cuti tambahan dalam kalendar. Ia adalah simbol perjuangan untuk menyempurnakan makna “Malaysia” itu sendiri.
Dan di balik pengiktirafan rasmi yang kita nikmati hari ini, terdapat jejak perjuangan seorang tokoh bernama Anwar Ibrahim yang berfikir jauh ke hadapan bahawa sebuah bangsa hanya akan kukuh jika ia meraikan sejarahnya dengan adil, menjiwai tarikh keramatnya dan menjunjung penyatuan dalam tindakan, bukan sekadar kata-kata.
*** Penulis pernah berkhidmat sebagai pensyarah Tamadun dan bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.