Ulasan | Pertikaian Sekitar Albert Tei, Isu Lama Dan Baharu

Oleh: Team Editorial MB

ULASAN | DALAM setiap episod skandal yang menggoncang keyakinan awam, soalan paling penting bukan sekadar siapa yang dituduh tetapi bagaimana individu yang menuduh tersebut mengurus tuduhan yang dilemparkan.

Dalam kes yang mengaitkan nama Albert Tei, tumpuan masyarakat hari ini tidak lagi terhenti pada kekuatan dakwaan semata-mata, sebaliknya tertumpu kepada kelemahan penjelasan yang diberikan.

Dalam konteks ini, kredibiliti tukang tuduh turut dinilai khalayak sama ada boleh diguna pakai atau sekadar pakai buang.

Rakyat tidak lagi berada pada tahap mahu mendengar tuduhan berlapik; mereka menuntut sesuatu yang jauh lebih asas, bukti, ketelusan dan kesediaan untuk diuji secara terbuka.

Bila diselongkar kitaran sejarah 15 tahun ke belakang, nama Albert Tei bukanlah asing dalam ruang perbincangan berkaitan jenayah terancang dan eksploitasi buruh.

Maklumat yang diperoleh agak mengejutkan. Tanggal 28 Mac 2017, polis menahan seorang pemilik kilang sarang burung walit di Klang yang dikenal pasti sebagai Datuk Albert Tei, ketika itu berusia 29 tahun.

Penahanan tersebut dibuat oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman yang diketuai oleh DSP Hazwab Zulkifli.

Turut ditahan ketika itu ialah tiga lelaki warga Malaysia yang dipercayai kakitangan beliau.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta ATIPSOM, Akta Imigresen serta beberapa peruntukan undang-undang lain yang berkaitan dengan eksploitasi manusia.

Perkembangan seterusnya menambah berat kepada persepsi awam apabila laporan penyiasatan oleh Tempo dan Malaysiakini mendedahkan dakwaan bahawa Albert Tei dikaitkan dengan pengendalian lapan agensi pengambilan pekerja asing secara haram.

Mengikut laporan itu, ribuan anak muda dari Indonesia termasuk remaja, didakwa dijanjikan pekerjaan dengan gaji tinggi di Malaysia.

Namun realiti yang dilaporkan jauh menyimpang daripada janji. Mereka dikatakan dikurung, dikerah bekerja dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan dan dibayar jauh lebih rendah daripada persetujuan asal.

Wartawan yang terlibat dalam penyiasatan juga dilaporkan menerima ugutan, namun penyiasatan tetap diteruskan sehingga keseluruhan rangkaian sindiket itu mula terdedah kepada umum.

Pada tahap ini, isu yang timbul bukan lagi mengenai kes kecil tetapi dakwaan operasi berskala besar yang memberi kesan merentas sempadan.

Namun kemuncak tanda tanya terbesar dalam episod ini berlaku pada 1 Julai 2019 apabila Mahkamah Sesyen Semenyih memberikan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada Albert Tei.

Ketika itu, negara diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri untuk kedua kalinya.

Dari sudut perundangan, DNAA adalah satu keputusan yang sah dan membolehkan tertuduh didakwa semula pada masa hadapan.

Akan tetapi dalam dimensi persepsi rakyat, DNAA sering meninggalkan rasa canggung terhadap keadilan yang belum terjawab.

Sehingga hari ini, masyarakat masih tertanya-tanya mengapa kes yang begitu serius berakhir dengan keputusan tersebut dan apakah kekangan sebenar yang menyebabkan pendakwaan tidak diteruskan ketika itu.

Lebih penting, apakah nasib mangsa yang dilaporkan terlibat dalam eksploitasi tersebut?

Dalam perkembangan terbaharu yang mengaitkan semula nama Albert Tei dengan pelbagai dakwaan, corak jawapan yang ditampilkan dilihat berulang, penafian tanpa disertakan dokumen yang boleh diverifikasi.

Dalam dunia siasatan rasuah dan jenayah terancang, penyata kewangan, rekod transaksi dan audit bebas adalah asas kepada pembuktian.

Namun setakat ini, penjelasan yang diberikan lebih banyak berbentuk kenyataan media tanpa sokongan bukti konkrit.

Penafian itu mungkin berfungsi sebagai strategi komunikasi tetapi dari sudut pembuktian, ia tidak cukup untuk meredakan keraguan.

Persoalan yang terus menghantui ialah mengenai sumber kewangan. Dari manakah datangnya dana yang dikaitkan dengan pelbagai operasi yang pernah dipersoalkan? Siapakah penyumbang sebenar? Melalui saluran apa wang bergerak? Dan siapakah yang mendapat manfaat paling besar daripada aliran tersebut?

Main Persepsi

Setakat ini, soalan-soalan ini tidak dijawab secara tuntas. Dalam banyak kes tokoh awam yang pernah berdepan dakwaan, pendedahan kewangan secara sukarela dan diaudit menjadi jalan untuk membersihkan nama.

Namun pendekatan itu tidak kelihatan diambil dalam kes ini, sekali gus mengekalkan kabus keraguan dalam minda masyarakat.

Apa yang lebih mengundang perhatian ialah pola keterlibatan Albert Tei dalam ruang media.

Beliau dilihat aktif tampil memberikan kenyataan, namun keaktifan itu lebih menyerlah sebagai usaha mengurus persepsi berbanding kesediaan untuk diuji oleh proses semakan bebas yang telus.

Perbezaan antara bercakap kepada rakyat dan membenarkan diri diperiksa secara bebas oleh pihak berkuasa adalah besar.

Yang pertama adalah komunikasi, yang kedua adalah keberanian terhadap kebenaran. Dalam hal ini, rakyat masih belum melihat isyarat yang cukup jelas bahawa segala dakwaan sedia dibuka untuk diuji tanpa bersyarat.

Ketiadaan tindakan undang-undang yang agresif terhadap pihak yang membuat dakwaan juga menimbulkan persoalan.

Dalam kebiasaan politik dan korporat, individu yang benar-benar yakin dirinya difitnah lazimnya akan mencari penyelesaian melalui mahkamah bagi membuktikan kebenaran.

Saman bukan sekadar soal maruah tetapi mekanisme untuk menguji fakta. Apabila tindakan sebegitu tidak diambil, ia membuka ruang tafsiran bahawa penafian itu mungkin lebih tertumpu kepada mempertahankan imej, bukan membuktikan kebenaran secara tuntas.

Dalam konteks ini, sikap berdiam diri tidak lagi ditafsir sebagai neutral, sebaliknya sebagai kelemahan posisi.
Kemunculan pihak tertentu yang tampil mempertahankan Albert Tei atas nama perjuangan hak asasi turut mengundang perbahasan awam.

Bagi sebahagian masyarakat, pembelaan tersebut dilihat tidak selari dengan kekalutan nasib mangsa yang dilaporkan pernah dieksploitasi.

Dalam pandangan ramai, keutamaan seharusnya diberikan kepada pencarian kebenaran untuk mangsa, bukan kepada usaha memulihkan reputasi individu yang masih dibelenggu persoalan besar.

Tindakan Kerajaan Negeri Sabah yang menolak beberapa lesen yang dikaitkan dengan rangkaian tertentu pula dilihat sebagai satu isyarat politik yang tegas bahawa negeri itu tidak mahu terheret dalam bayang-bayang rangkaian yang mencurigakan.

Ia membawa mesej bahawa kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan modal atau jaringan kartel yang berpengaruh.

Apa yang dihadapi Albert Tei hari ini sebenarnya bukan sekadar krisis imej tetapi krisis kepercayaan.

Dan kepercayaan tidak boleh dipulihkan melalui sidang media atau kenyataan satu hala. Ia hanya boleh dipulihkan melalui pendedahan yang telus, kerjasama penuh dengan siasatan bebas, konsistensi naratif serta kesediaan untuk dipertanggungjawabkan tanpa berselindung di sebalik retorik.

Label ‘ikan bilis’ yang pernah disandarkan kepada beliau juga semakin kehilangan makna. Dalam politik dan dunia kuasa, status kecil atau besar tidak diukur pada gelaran tetapi pada skala kesan tindakan.

Apabila nilai wang yang dipersoalkan besar, rangkaian meluas dan kesannya merentas sempadan, istilah bilis menjadi tidak relevan.

Yang tinggal hanyalah satu persoalan asas yang belum dijawab dengan memuaskan: jika benar tidak bersalah, mengapa begitu sukar untuk membuktikannya secara terbuka dan terperinci?

Hakikatnya, kebenaran dalam politik dan kehidupan awam jarang muncul serta-merta. Ia mungkin tertangguh, tetapi tidak pernah lupus.

Selagi penjelasan yang diberikan kekal dalam bentuk penafian tanpa bukti dokumentari, selagi itu juga persepsi kelemahan akan terus membayangi.

Dalam sebuah negara yang menjunjung keadilan, kebenaran tidak sepatutnya dirunding melalui persepsi, sebaliknya dibuktikan melalui fakta, dokumen dan proses yang telus.

Dalam cubaan mengoyahkan Kerajaan MADANI hari ini melalui dakwaan bahawa seorang bekas pegawai kanan Perdana Menteri menerima habuan kewangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil dengan pendekatan yang luar daripada kebiasaan politik negara apabila memberi kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus tanpa campur tangan politik.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pula mengambil langkah proaktif dengan membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

Tindakan sedemikian, membuka ruang siasatan dan menyerahkan diri kepada proses undang-undang secara terbuka adalah sesuatu yang jarang, malah hampir tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara.

Dan selagi hutang kebenaran itu belum dibayar melalui siasatan yang tuntas, selagi itulah persoalan tentang Albert Tei akan terus berlegar dalam ruang awam, bukan sebagai alat politik semata-mata.

Tetapi sebagai tanda tanya besar tentang siapa sebenarnya yang sedang menggerakkan naratif, siapa yang sedang diuji dan siapa pula yang akhirnya akan dipertanggungjawabkan oleh kebenaran itu sendiri.

Anda Mungkin Berminat