Ulasan | PN Sekongkol Dengan Seorang Penyokong Israel?

Oleh: Syed Ahmad Syed Abdul Rahman

ULASAN | SOKONGAN terhadap Muhammed Yusoff Rawther tunjuk wajah sebenar hipokrasi politik dan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin.

Ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan krisis geopolitik yang semakin mencengkam di mana Malaysia memerlukan kepimpinan yang stabil dan fokus.

Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif negara sedang memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan ekonomi, keselamatan makanan dan masa depan rakyat tidak tergadai.

Kita berada di tengah-tengah perang dagang global. Pelaburan dan rantaian bekalan dunia sedang diuji. Harga beras dan barang asas boleh terkesan bila-bila masa.

Dalam situasi begini, apa yang negara perlukan ialah ruang untuk pemimpin utama bekerja tanpa gangguan dan sabotaj berterusan.

Namun, dalam keadaan genting ini, muncul pula tindakan luar biasa dari Muhammed Yusoff Rawther, individu yang pernah secara terbuka menyokong Israel dan memperlekehkan perjuangan Palestin kini membawa Perdana Menteri ke mahkamah, atas kepentingan peribadi.

Siapa Yusoff Rawther dan Mengapa Ini Penting?

Ini bukan sekadar soal undang-undang peribadi. Ini soal prinsip dan integriti. Dalam surat terbukanya pada 2017 (https://www.israelnationalnews.com/news/350037), Yusoff dengan bangga menyatakan dirinya sebagai “One Malaysian, Standing with Israel”. Beliau:
• Menolak hak Palestin ke atas Baitulmaqdis;
• Menuduh solidariti dunia Islam sebagai “naratif ciptaan media”;
• Melabel perjuangan Palestin sebagai “anti-Semitik dan bodoh.”

Pandangan ini terang-terangan bertentangan dengan prinsip asas umat Islam dan pendirian Malaysia sebagai penyokong tegar perjuangan Palestin.

Diamnya PN: Antara Strategi dan Hipokrasi

Perikatan Nasional, yang sering menjaja imej mereka sebagai pejuang Islam, kini bersekongkol secara senyap dengan individu ini. Tiada penjarakan. Tiada penafian. Tiada usaha menjarakkan diri daripada Yusoff. Sekadar diam dan diam itu memberi maksud.

Adakah prinsip mereka hanya digunakan apabila berhadapan dengan musuh politik? Jika kenyataan Yusoff datang daripada individu prokerajaan, PN sudah tentu akan bertempik di jalanan dan menuntut permohonan maaf terbuka. Tetapi apabila ia datang daripada individu yang menyerang Perdana Menteri, tiba-tiba semuanya senyap.

Keutamaan Negara, Bukan Dendam Peribadi

Tindakan Yusoff membawa isu ini ke mahkamah sekarang di tengah cabaran besar negara mencerminkan satu perkara, iaitu kepentingan peribadi mengatasi kepentingan negara.

Ketika pemimpin tertinggi negara sedang merunding pelaburan, menjaga kestabilan harga barang dan memastikan rakyat tidak terbeban, tindakan ini hanya mengalihkan tumpuan dan melemahkan usaha pembaikan ekonomi.

Malaysia tidak perlukan drama tambahan. Malaysia perlukan kestabilan. Dan kestabilan itu menuntut semua pihak termasuk pembangkang untuk meletakkan kepentingan rakyat melebihi ego atau dendam politik.

Jangan Sewa Prinsip, Jangan Jual Maruah

Perikatan Nasional tidak boleh bermain dua watak dalam satu masa. Tidak boleh berkempen atas nama Islam, tetapi memberi sokongan politik kepada individu yang pernah membela Israel dan menghina umat Islam.

Ini bukan isu politik biasa. Ini soal asas akidah, maruah negara, dan kredibiliti moral.

Dan rakyat berhak bertanya:

Kenapa PN bersekongkol dengan individu yang berdiri bersama Israel, saat Palestin masih dibom dan dizalimi?

***Penulis merupakan ADUN Lembah Jaya

Anda Mungkin Berminat