Ulasan | Politik Kebencian Memundurkan Demokrasi

Oleh: Mohd Najib Hashim

DALAM sistem demokrasi yang matang, perbezaan pandangan dan persaingan idea adalah asas kepada pembentukan dasar yang progresif dan penyertaan rakyat yang bermakna.

Namun, apabila ruang demokrasi dicemari oleh politik kebencian, sistem itu sendiri mula terhakis dari dalam.

Politik kebencian bukan sahaja mengganggu keharmonian masyarakat, malah berupaya memundurkan demokrasi ke arah autoritarianisme terselindung.

Politik kebencian merujuk kepada amalan politik yang menggunakan emosi negatif seperti kebencian, ketakutan, dan dendam sebagai strategi untuk mendapatkan sokongan atau menghapuskan lawan politik.

Ia sering dilakukan melalui penyebaran fitnah, pembohongan, manipulasi isu agama dan perkauman, serta bahasa yang melabel dan merendahkan maruah individu atau kumpulan tertentu.

Pandangan ini pernah diketengahkan oleh sejarawan Amerika, Henry Brooks Adams, yang menulis bahawa:

“Politics, as a practice, whatever its professions, has always been the systematic organization of hatreds.”
 (Henry B. Adams, The Education of Henry Adams, 1907)

Adams tidak mempromosi kebencian, tetapi mendedahkan realiti pahit bahawa politik sering dibentuk melalui mobilisasi kebencian secara sistematik terhadap pihak lawan atau kumpulan tertentu.

Dalam konteks semasa, pandangan ini kekal relevan, memperlihatkan bagaimana sentimen negatif dijadikan alat utama untuk meraih kuasa, bukannya gagasan dasar atau visi negara.

Politik Islam Menolak?

Jika ditanya adakah politik kebencian selari dengan Islam, jawapannya adalah tidak.

Malah politik kebencian bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan keadilan, adab dan kejujuran dalam perbezaan pendapat. Islam menggalakkan penyertaan dalam kepimpinan dan urus tadbir, namun pendekatan mesti menepati prinsip syarak.

Dan Al-Quran menegaskan; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka yang diperolokkan itu lebih baik daripada mereka sendiri…”
 (Surah Al-Hujurat: 11)

Islam juga menolak taktik fitnah, adu domba, dan pembohongan unsur utama dalam politik kebencian hari ini.

Seruan Islam agar berdebat dengan hikmah (al-Nahl: 125) membuktikan bahawa perbezaan dalam politik mestilah disampaikan secara beradab, bukan dengan emosi atau kebencian.

Bahana Kepada Negara

Malaysia tidak terkecuali daripada fenomena ini. Dalam pilihan raya umum, khususnya PRU14 dan PRU15, isu bangsa dan agama telah dimanipulasi untuk menimbulkan ketakutan kononnya Islam akan tergugat atau hak Melayu terancam sekiranya parti tertentu menang.

Sentimen ini dimainkan secara meluas untuk menanam kebimbangan dalam kalangan pengundi.

Pada masa yang sama, parti yang memperjuangkan kaum atau agama sering dilabel ekstremis oleh pihak lawan mewujudkan kitaran tuduh-menuduh yang semakin memecahbelahkan rakyat.

Sejarah turut mencatatkan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969, di mana retorik perkauman yang melampau dalam kempen politik mencetuskan ketegangan hingga membawa kepada keganasan dan kehilangan nyawa.

Tragedi ini menjadi peringatan yang jelas tentang bahaya politik kebencian jika dibiarkan tanpa kawalan.

Dalam era digital hari ini, penyebaran maklumat palsu dan video berbaur kebencian melalui media sosial semakin memburukkan keadaan.

Aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook digunakan untuk menyebarkan tuduhan palsu, penghinaan agama dan provokasi kaum sering kali tanpa sebarang usaha untuk menyemak kesahihan maklumat.

Selain itu, terdapat juga ahli politik yang tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan  menghina kaum lain, merendahkan agama tertentu atau mengapi-apikan sentimen masyarakat.

Malangnya, tidak semua dibawa ke muka pengadilan. Ada yang terlepas daripada sebarang tindakan, menjadikan budaya kebencian itu seolah-olah diterima dalam gelanggang politik negara.

Isu seperti LGBT dan liberalisme juga sering dijadikan modal politik. Komuniti ini dijadikan sasaran kempen untuk menimbulkan rasa marah dalam kalangan pengundi konservatif.

Malah, lawan politik dituduh menyokong “budaya songsang” tanpa bukti yang sahih, semata-mata untuk mengukuhkan imej moral pihak yang menuduh.

Dan terkini Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, telah memuat naik satu karikatur yang menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin Kemboja dan Thailand.

Dalam karikatur tersebut, mereka disamakan dengan haiwan, dalam konteks usaha rundingan damai antara Thailand dan Kemboja.

Walaupun hantaran itu telah dipadam selepas menerima kecaman, beliau tidak berhasrat untuk memohon maaf. Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara itu kepada siasatan polis, susulan laporan yang telah dibuat.

Tindakan seperti ini adalah contoh nyata bagaimana politik kebencian wujud bukan hanya dalam bentuk ucapan, tetapi juga sindiran visual yang bersifat menghina dan merendahkan usaha perdamaian.

Sedangkan usaha diplomasi dan perdamaian adalah sesuatu yang harus dihormati  bukan dijadikan bahan ejekan.

Hasilnya kesan politik kebencian terhadap demokrasi amat membimbangkan. Ia memecahbelahkan rakyat kepada puak-puak yang saling membenci dan tidak mempercayai antara satu sama lain.

Budaya dialog yang sihat semakin lenyap, digantikan dengan caci maki, sindiran tajam dan propaganda murahan.

Lebih buruk, politik kebencian melemahkan institusi penting dalam negara seperti Parlimen, media dan sistem kehakiman.

Ia membuka ruang kepada pemimpin populis yang tidak mempunyai dasar konkrit, tetapi hanya pandai bermain emosi dan mencetuskan ketakutan untuk kekal berkuasa.

Menuju Jalan Gelap

Demokrasi yang sihat memerlukan rakyat yang celik politik dan berani menolak politik kebencian.

Pendidikan sivik di sekolah dan universiti perlu diperkukuh supaya generasi muda memahami etika perbezaan pendapat dan menghormati pandangan yang berbeza.

Media juga perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab, menjadi medan perbincangan yang rasional bukan sekadar alat untuk menyebar sensasi dan kebencian.

Dilema pula terpalit kepada Kerajaan dalam melaksanakan undang-undang. Jika menggunakan salur undang-undang yang sedia ada seperti Akta Hasutan, maka akan dilabel sebagai kerajaan yang memandulkan demokrasi.

Bagaimanapun membiarkan perkara ini membiak dalam demokrasi akan menghasilkan sistem yang lebih parah.

Jalannya cuma satu, melaksanakan undang-undang sedia ada secara telus dan adil,  termasuk Akta Hasutan dan undang-undang jenayah fitnah tanpa memilih bulu.

Ketegasan terhadap pemain politik yang melampaui batas adalah perlu agar budaya politik negara kembali kepada nilai murni dan pertarungan idea.

Akhirnya, rakyat memainkan peranan paling penting. Undi kita adalah kuasa. Pilihlah pemimpin berdasarkan integriti, keikhlasan, dan visi membina bukan berdasarkan siapa paling lantang memaki atau menyemai kebencian.

Jika politik kebencian ini terus subur dan menjadi pilihan serta santapan rakyat untuk menghadapi pilihan raya, percayalah tidak ada apa yang mampu dibina pada negara ini melainkan jalan keruntuhan kepada sistem, dan hasilnya adalah kehancuran kepada negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat