Oleh: Mohd Najib Hashim
SETIAP kali tular video pelajar menengking guru atau menumbuk rakan sekelas, masyarakat kita segera naik angin, bukan kerana kasihan pada guru, tapi kerana mahu mengulang satu skrip lama:
“Dulu cikgu boleh rotan, budak takut. Sekarang tak boleh rotan, sebab tu jadi begini.”
Dan begitulah cara kita menyelesaikan masalah, dengan nostalgia, bukan dengan pemikiran.
Zaman sudah berubah, tapi fikiran kita masih terkurung. Kita masih percaya rotan itu azimat sakti. Hilang rotan, maka hilang adab.
Hilang adab, maka runtuh bangsa. Tapi kalau difikirkan, sejak bila sebatang rotan menjadi penentu jatuh bangun moral manusia?
Zaman sudah jauh. Anak-anak sekarang belajar lebih banyak daripada skrin enam inci berbanding papan hitam. Dunia mereka bukan lagi bilik darjah tetapi ia alam maya, luas dan penuh godaan.
Namun yang paling ironik, ramai ibu bapa yang lantang menuntut guru diberi kuasa merotan, sendiri takut menegur anak di rumah.
Takut anak merajuk, takut diserang di media sosial. Maka segala beban diserahkan bulat-bulat kepada sekolah dan sistem.
Kalau rajin belajar teori sosiologi banyak definisi tentang ini, antaranya bila masyarakat hilang nilai bersama, mereka mula mencari kambing hitam.
Dan di Malaysia, kambing hitam itu selalunya berwajah guru atau ikut laras politik yang mudah di mangsakan kepada Menteri Pendidikan.

Pilih Salah Orang
Mengikut surah ahli psikologi sosial Kanada, Albert Bandura, dalam Social Learning Theory-nya, membuktikan bahawa manusia belajar melalui pemerhatian dan peniruan, bukan sekadar hukuman.
Dalam satu eksperimennya yang dirujuk sebagai Bobo Doll, beliau menunjukkan betapa anak-anak yang melihat orang dewasa bertindak ganas terhadap patung, akan meniru perlakuan yang sama.
Dalam erti lain, anak belajar daripada apa yang mereka lihat, bukan apa yang kita laungkan.
Jadi, bila anak-anak melihat orang dewasa asyik menyalahkan semua orang, guru, sistem, atau menteri mereka pun belajar perkara sama: apabila tersilap, salahkan orang lain dahulu.
Menyorot kembali pendapat Allahyarham Prof Diraja Ungku Aziz yang pernah menyentuh satu hakikat yang jarang disebut dalam wacana moral bahawa kemerosotan disiplin dan prestasi pelajar tidak dapat dipisahkan daripada faktor pemakanan dan kemiskinan.
Kata beliau, anak yang datang ke sekolah dengan perut kosong tidak akan mampu belajar dengan baik.
Kalau asas biologi pun tak terpenuhi, bagaimana mahu membina akhlak dan adab?
Justeru, rotan tidak akan menyelesaikan masalah struktur. Ia hanya mengalihkan pandangan daripada akar sebenar kemiskinan, tekanan sosial dan keluarga yang tidak stabil.
Begitu juga bila menjengah kembali pandangan mendiang Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pula sudah lama menegur, katanya, sistem pendidikan kita terlalu berorientasikan peperiksaan, terlalu sedikit memberi ruang kepada pembinaan sahsiah.
Kita mendidik untuk markah, bukan untuk makna. Dan disinilah masalahnya kita mengukur kecemerlangan dengan angka, bukan dengan budi.
Khoo Kay Kim menolak idea pendidikan berasaskan ketakutan. Katanya, pendidikan yang berkesan mesti membentuk pemahaman dan tanggungjawab, bukan kepatuhan buta kerana takut rotan.
Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar diberi ruang untuk terus berpegang pada prinsipnya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, menegaskan bahawa kementerian tidak akan menggunakan rotan sebagai alat mendidik murid.
Sebaliknya, fokus diberikan kepada pendidikan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter.
Kata beliau, negara maju lain tidak menggunakan rotan, tetapi mereka dapat melahirkan generasi yang beradab.
Dan kenyataan itu bukan retorik tetapi realiti yang sudah dibuktikan di banyak negara.
Ambil Jepun sebagai contoh. Negara ini tidak pernah menjadikan rotan sebahagian daripada sistem pendidikannya.
Namun, pelajar Jepun terkenal dengan disiplin, tanggungjawab dan rasa hormat.
Mengapa? Kerana enam tahun pertama pendidikan rendah mereka tumpu pada pendidikan moral, etika dan kerja berpasukan.
Mereka diajar membersihkan kelas, menjaga kebersihan sekolah, menghormati orang lain dan mengawal emosi, tanpa ancaman hukuman fizikal.
Bagi Jepun, mendidik bukan tentang menakutkan anak-anak, tetapi membentuk tabiat dan nilai. Dan hasilnya? Mereka tidak perlu polis sekolah atau CCTV setiap penjuru. Rasa malu dan tanggungjawab sudah tertanam dalam budaya.
Kesimpulannya, kita hidup di zaman di mana semua orang mahu penyelesaian segera.
Pelajar gaduh? Salah sistem. Sistem lemah? Salah menteri. Menteri letak jawatan, kononnya masalah pun selesai.
Inilah naratif malas yang kita ulang.
Padahal seperti kata Ungku Aziz, anak lapar takkan belajar; kata Khoo Kay Kim, sistem beku takkan lahirkan manusia berfikir dan kata Dr Mohd Azam, akhlak tidak tumbuh dari rotan, tetapi dari nilai.
Jepun sudah membuktikan, disiplin sejati lahir daripada budaya, bukan hukuman.
Masalah kita bukan rotan yang hilang, tetapi teladan dan keberanian untuk mendidik dengan kasih.
Selagi kita lebih percaya pada rotan daripada nilai, maka setiap masalah akhlak akan kita selesaikan dengan satu seruan sinis dan bergema seluruh alam maya “suruh menteri letak jawatan.”
Mungkin sudah sampai masa kita berhenti merindui bunyi rotan di udara dan mula mendengar semula suara nilai dalam jiwa.
Dan selamat untuk murid, untuk guru, untuk ibu bapa dan mungkin untuk menteri pendidikan juga.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








