Oleh: Mohd Najib Hashim
ULASAN | LUCU benar dunia hari ini. Kapal yang membawa bantuan, doa, dan kasih sayang untuk rakyat Palestin diserang bukan oleh peluru, tetapi oleh lidah-lidah yang sinis.
Global Sumud Flotilla berlayar bukan dengan senjata tetapi dengan semangat kemanusiaan.
Namun masih ada yang bertanya “Apa gunanya?” atau “Mengapa perlu tunjuk hero?”
Emmm… betapa mudahnya menjadi wira papan kekunci. Dari kerusi empuk berhawa dingin, dengan jari-jemari yang tidak pernah menyentuh pasir Gaza, mereka menulis seolah-olah merekalah pakar strategi dunia.
Sumbangan mereka? Mungkin hanya komen pedas di media sosial, cukup untuk membakar semangat sendiri bukan membantu sesiapa pun di bumi terjajah itu.
Mereka mungkin lupa, Gaza bukan baru semalam ditindas. Sejak 1948, tanah suci itu telah menjadi saksi kepada pengusiran, kepungan, dan penindasan yang tidak berkesudahan.
Generasi demi generasi lahir di bawah bayang-bayang dron, membesar tanpa bekalan air bersih, dan tidur dalam dentuman bom.
Gaza bukan sekadar wilayah, ia simbol ketabahan, tempat di mana air mata menjadi sungai, dan doa menjadi senjata terakhir.
Dunia menyaksikan sebuah penjara terbuka, di mana bayi-bayi dianggap ancaman dan sekolah-sekolah menjadi sasaran.
Namun ada pula yang lebih selesa menyoal usaha kecil daripada menyoal kezaliman besar.
Bagi mereka, penderitaan Gaza cuma bahan berita, bukan panggilan nurani.
Lebih menghairankan, ada pula yang mempersoalkan sokongan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap misi ini.
Kononnya “tidak membawa hasil”, “sekadar simbolik”. Mereka lupa simbol itulah yang menggerakkan dunia.
Dari usaha diplomatik PMX membawa isu Palestin ke pentas antarabangsa hingga kepada koordinasi bersama negara serantau dan kuasa dunia bagi menjamin keselamatan misi flotilla ini, semuanya menunjukkan Malaysia bukan sekadar pemerhati tetapi pendukung sejati.
Anwar tidak menghantar peluru, tetapi menghantar maruah.
Beliau tidak melaung slogan kosong tetapi menggerakkan solidariti Nusantara, menyatukan suara rakyat rantau ini dalam semangat sumud — keteguhan tanpa tunduk.
Namun bagi yang hatinya tertutup, semua itu tidak cukup. Mereka hanya akan percaya pada tindakan yang bersuara lantang, tapi bukan pada diplomasi yang berhemah.
Mereka sinis pada kapal, tapi bisu pada penjajahan. Mereka persoal keberangkatan flotilla, tapi tak pernah persoal kenapa anak-anak Palestin tak pernah kenal erti malam yang aman.
Ironinya, dalam dunia mereka, menghantar bantuan dianggap sia-sia, tapi menghantar kutukan dianggap bijaksana.
Mereka lupa pesan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad:
“Akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang menegakkan kebenaran, mereka tidak akan dirugikan oleh orang yang menentang mereka, sehingga datangnya perintah Allah.”
Dan sabda Baginda lagi:
“Berilah makan kepada mereka yang lapar, ubatilah mereka yang sakit, dan bantulah mereka yang lemah. Jika kamu tidak mampu mengangkat senjata, maka berilah mereka minyak zaitun untuk menerangi malam-malam gelap mereka.”
Itulah roh yang menggerakkan Global Sumud Flotilla bukan sekadar membawa bantuan, tetapi membawa nur cahaya kepada umat yang tidak pernah berputus asa.
Inilah jihad kemanusiaan yang tidak menumpahkan darah, tetapi menyuburkan harapan.
Sejarah tidak mencatat suara yang hanya mengkritik dari jauh.
Ia mencatat tindakan, walau kecil. Global Sumud Flotilla bukan sekadar pelayaran, ia simbol bahawa dunia belum mati rasa.
Bahawa masih ada insan dan pemimpin yang percaya pada nilai kemanusiaan, meskipun ditertawakan oleh mereka yang sudah kehilangan empati.
Dan buat mereka yang masih sibuk bertanya, “Apa hasilnya nanti?”
Jawapannya mudah, hasilnya ialah kita masih punya hati. Dan selagi hati itu berdegup dengan kasih dan maruah, perjuangan ini tidak sia-sia.
Yang sia-sia hanyalah sinis tanpa tindakan.
Kata Ibnu Khaldun, jika kamu tidak mampu berada di barisan hadapan, maka janganlah kamu menjadi batu di tengah jalan perjuangan.
Kerana akhirnya, mereka yang paling banyak bertanya “apa hasilnya?”, ialah mereka yang tidak pernah menyumbang apa-apa.
Mereka menyoal keberanian orang lain kerana takut melihat cermin sendiri.
Dan saat kapal berlayar dengan doa dan air mata, mereka masih sibuk menghitung ‘like’ dan ‘share’.
Mungkin, bagi mereka, lebih baik dunia terus gelap, asalkan ego mereka terus terang.
*** Penulis merupakan bekas Pensyarah Bahasa & Tamadun yang juga mantan Ketua Pengarang Suara Keadilan








