Ulasan | Tiada ‘cah keting’, antara faktor kemenangan BN di Nenggiri

Oleh: Dr Yusri Ibrahim

Pertama strategi memujuk pengundi teras mereka berjaya. Kali ini lebih mudah kerana mereka memujuk pengundi teras untuk undi mereka sendiri, berbanding di Sungai Bakap pujuk untuk undi parti lain.

Kedua mereka berjaya dapatkan kembali segmen pengundi etnik Orang Asal. Ini adalah deposit tetap BN sekian lama, namun sebahagiannya tidak keluar dalam PRN (pilihan raya negeri) lepas.

Ketiga strategi kempen engage secara langsung dengan pengundi sasar. Mereka tidak bazirkan masa dengan ceramah-ceramah, sebaliknya terus rumah ke rumah menyantuni pengundi sasar.

Keempat, mereka berjaya tampilkan calon yang mudah untuk dijual kepada pengundi, calon mereka Awie memiliki set keterampilan yang mencukupi untuk dijaja.

Kelima, tiada cah keting dalaman UMNO di Nenggiri kali ini, antara faktor calon-calon UMNO sering kalah di Kelantan sebelum-sebelum ini adalah sindrom cah keting sesama sendiri.

Faktor-faktor kekuatan dalaman ini semakin berjaya apabila ditambah faktor luaran contohnya sabotaj penyokong Bersatu terhadap calon hibrid Perikatan Nasional (PN).

Selain itu terlebih dos (overdose treatment) dalam kempen PN turut jadi faktor penyumbang kemenangan BN di Nenggiri.

PAS sebenarnya semakin kuat di Nenggiri, bahkan dalam pilihanraya umum ke-14 (PRU14) BN hanya menang 400 undi sahaja, sebelum PAS/PN menang 800 undi dalam PRN 2023.

Logiknya lebih mudah untuk PAS/PN menang dalam PRK ini walaupun hanya bersandar kekuatan semasa PAS.

Namun overdose kempen sedikit sebanyak mengganggu rentak kempen, majoriti dos-dos ini terlebih suntik oleh pemain import dan pemain naturalisasi dalam kempen PN seperti Anuar Musa, Ibrahim Ali dan lain-lain lagi, ramai kalau hendak disenaraikan.

Pentas Nenggiri telah melabuh tirai, sekarang waktu untuk YB Awie dan tim berkhidmat kepada rakyat seperti dijanjikan dalama kempen.

Lensa politik akan beralih ke Mahkota pula, pentas yang berbeza zon, lokaliti, demografi dan psikografi pengundi.

***Penulis adalah pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terenggu (UMT) dan juga Ketua Penyelidik Ilham Centre

Anda Mungkin Berminat