Oleh: Mohd Najib Hashim, Tyah Helmi
ULASAN | KEMASUKAN rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN bukan sekadar memperluas barisan negara dalam blok serantau itu tetapi menandakan kejayaan sebuah bangsa muda yang pernah diuji dengan perjuangan panjang menuntut kemerdekaan, keadilan dan pengiktirafan antarabangsa.
Dari sebuah tanah yang pernah bergolak akibat konflik, Timor-Leste kini berdiri megah di pentas diplomasi serantau membuktikan bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara tidak semestinya diukur melalui saiz atau kekayaan sumber tetapi pada tekad, perpaduan dan daya tahan rakyatnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, menegaskan bahawa penyertaan Timor-Leste membawa makna yang mendalam kepada visi jangka panjang ASEAN sebagai komuniti yang inklusif dan berpaksikan rakyat.
Penerimaan rasmi Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN hari ini memberi makna baharu kepada visi Komuniti ASEAN 2045.
Ia memperkukuh nilai kebersamaan, perpaduan dan keinginan kita untuk memastikan keamanan serta kesejahteraan rantau ini terus terpelihara,” ujar beliau.
Anwar turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão, dua tokoh yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan Timor-Leste, sambil menegaskan bahawa setiap negara anggota akan terus memberikan dukungan padu dalam memperkukuh kestabilan dan pembangunan negara baharu itu.
“Dalam komuniti ini, kemajuan dan kesejahteraan strategik Timor-Leste akan disokong secara tuntas dan berterusan.
“Keanggotaan baharu ini menambah kekuatan kepada matlamat ASEAN untuk menjadi rantau yang makmur, adil dan mampan,” katanya.
Lebih dua dekad lalu, Timor-Leste menempuh jalan sukar menuju kemerdekaan selepas berdekad lamanya berada di bawah penjajahan dan konflik.
Hari ini, detik rasmi pengiktirafan ASEAN menjadi bukti bahawa perjuangan dan pengorbanan rakyatnya tidak sia-sia.
Kebebasan ini bukan sekadar simbol politik ia adalah nikmat kedaulatan yang suci, hasil tekad dan ketabahan sebuah bangsa muda yang belajar berdiri di atas kaki sendiri.

Seperti yang digambarkan oleh Ibn Khaldun dalam karya agungnya Al-Muqaddimah, “bangsa yang baru merdeka memiliki kekuatan asabiyyah semangat kesatuan dan kebersamaan yang menjadikan mereka tabah, kreatif dan berdaya untuk membina tamadun.”
Semangat ini jelas terpancar dalam wajah Timor-Leste sebuah negara kecil dengan semangat besar, yang kini melangkah ke dalam komuniti ASEAN dengan rasa syukur dan keyakinan baharu.
Gelombang Dari Laut Timor
Timor-Leste memiliki khazanah ekonomi yang besar di bawah permukaan lautnya.
Sektor minyak dan gas (oil & gas) kekal sebagai nadi utama pendapatan negara, dengan projek mega seperti Greater Sunrise menjadi tumpuan pelabur antarabangsa.
Dana kekayaan berdaulat, Petroleum Fund, diwujudkan sebagai langkah bijak untuk menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang serta pelaburan masa depan rakyatnya.
Namun, seperti diingatkan oleh Ibn Khaldun, “kekuatan ekonomi yang tidak diimbangi dengan struktur sosial dan ilmu akan cepat merosot.”
Justeru, kepimpinan Dili kini menekankan keperluan mempelbagaikan ekonomi, menggalakkan pelaburan serantau, serta membina kapasiti tenaga kerja mahir melalui pendidikan dan teknologi.
Dengan keanggotaan ASEAN, Timor-Leste membuka pintu kepada integrasi ekonomi yang lebih luas termasuk peluang kerjasama dalam eksplorasi tenaga, pembangunan pelabuhan, dan infrastruktur tenaga bersama Malaysia dan Indonesia.
Di luar sektor tenaga, pelancongan muncul sebagai aset baharu bagi Timor-Leste.
Negara ini memiliki pantai yang belum diteroka, biodiversiti marin yang mengagumkan, serta warisan budaya Portugis dan Melanesia yang unik.
Pulau Atauro kini dikenali sebagai antara lokasi menyelam terbaik di dunia, manakala Pulau Jaco menjadi lambang keindahan semula jadi yang masih suci.
Keunikan seni tenunan tais dan keramahan komuniti tempatan memperkukuh daya tarikan ekopelancongan negara itu.
Dengan bantuan ASEAN, sektor pelancongan Timor-Leste berpotensi berkembang melalui promosi serantau, peningkatan infrastruktur dan penglibatan komuniti setempat dalam pelancongan mampan.
Kedudukan geografi Timor-Leste yang strategik di antara Asia dan Australia menjadikannya aset geopolitik penting.
Keanggotaan dalam ASEAN bukan sahaja membuka laluan ke pasaran lebih 600 juta penduduk, malah memperkukuh kedudukan negara itu dalam kerjasama digital, hijau dan maritim.
Bagi ASEAN, kehadiran Timor-Leste melambangkan kesinambungan cita-cita bersama rantau yang inklusif, bebas daripada pengaruh luar yang menekan, dan berpaksikan prinsip kesejahteraan rakyat.
Kesimpulan dari penderitaan pascakonflik kepada kebangkitan ekonomi dan pengiktirafan antarabangsa, perjalanan Timor-Leste menjadi cerminan hakikat sejarah yang ditegaskan oleh Ibn Khaldun bahawa setiap bangsa memiliki kitaran kebangkitan dan kemerosotan dan bahawa kekuatan sebenar sesuatu negara terletak pada perpaduan dan semangat bangsanya.
Hari ini, Timor-Leste bukan lagi sekadar “permata tersembunyi” di Laut Timor.
Ia kini bersinar terang di ASEAN membawa sinar baharu kepada rantau ini tentang makna ketabahan, harapan dan erti sebenar kemerdekaan.








