ULASAN | Usah simbah minyak, beri kepercayaan pihak berkuasa

Oleh: Zulkarnain Zakaria

ENAM orang meninggal dunia? (Video yang dibuat oleh beberapa penulis isi kandungan) Entahlah. 

Saya sudah lupa? Hmmm. Tapi seingat saya, dulu media massa tidak ada siarkan jumlah kematian dalam rusuhan yang berlaku di Taman Medan, Petaling Jaya, pada 2001.

Saya hanya tahu jumlah ini selepas membaca  salah satu posting di akaun Facebook, baru-baru ini. 

Memang dahulu media massa ada melaporkan berita kejadian berkenaan, tapi sangat terkawal dan minima. Sumbernya hanya daripada polis dan pihak berkuasa sahaja. Kandungannya secara umum dan bersifat memadamkan kemarahan, menyeru masyarakat jangan menyebar kebencian atau mencetuskan kekacauan.

Hasilnya, walaupun rusuhan itu berlarutan selama dua minggu, ia tidak merebak ke tempat-tempat lain. Api kemarahan dapat dipadam daripada membakar negara.

2001; Demikianlah peranan media massa dalam menangani isu-isu sensitif melibatkan kaum dan agama. Waktu itu kami warga media diwajibkan menyertai kursus undang-undang dan etika kewartawanan. Dan salah satu topik wajib ialah peri pentingnya menapis diri dalam mendepani isu-isu sebegini.

Ada pelbagai cara yang boleh digunakan. Antaranya, jangan siarkan terus. Kedua, jangan tulis secara terperinci. Tulis secara umum saja. Ketiga, sembunyikan hal yang boleh mencetuskan pertelagahan. 

Bukanlah media takut atau mahu menyembunyikan fakta, tetapi tugas media ialah mencegah mudarat daripada berlaku. Jangan simbah minyak. Sebaliknya didik masyarakat supaya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menanganinya.

2001: Syukurlah waktu itu belum ada media sosial seperti X, Instagram, WhatsApp, Facebook dan entah apa lagi. Bayangkan kalau rusuhan Taman Medan berlaku sekarang…

2025: Ada netizen yang bangga membangkitkan rusuhan 13 Mei, Selempang Merah dan parang terbang Sungai Manik.

Bagi mereka, orang yang mengambil pendirian mendiamkan diri (seperti saya) adalah bacul. Pengkhianat Melayu. Munafik. Mereka pula pejuang bangsa dan agama.

Lantaklah. Kepada netizen yang mendiamkan diri dan mengajak kepada keharmonian, salut untuk anda. Percayalah… tidak ada manfaatnya kalau rusuhan kaum berlaku di negara kita.

*** Penulis adalah bekas pengamal media dan sentiasa berkongsi mengenai pengalamannya di media sosial

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat