UM Diiktiraf Pusat Pendidikan Pergigian Bertaraf Global

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) terus melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai Pusat Pendidikan Pergigian oleh Royal College of Surgeons of England (RCS England), sekali gus mencatat pencapaian berprestij di peringkat global.

Kementerian Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu membuktikan program Doktor Pergigian Pakar UM memenuhi piawaian akademik dan klinikal antarabangsa yang ketat.

“Ia juga merupakan pengiktirafan pertama seumpamanya diberikan oleh Fakulti Pergigian RCS England di dunia.

“Pencapaian ini melibatkan lapan bidang kepakaran pergigian, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan UM sebagai peneraju pendidikan pergigian di rantau ini,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurut UM, kejayaan itu mencerminkan jalinan kerjasama pendidikan yang kukuh antara Malaysia dan United Kingdom, selain memperteguh kedudukan universiti berkenaan sebagai institusi terkemuka dalam bidang pendidikan pergigian di rantau ini.

Dalam masa sama, akreditasi program pascasiswazah oleh RCS England hanya diberikan kepada institusi pengajian tinggi yang menunjukkan kecemerlangan dalam penyediaan pendidikan berkaitan pembedahan.

Ia turut membuka ruang kerjasama strategik bagi memastikan standard tinggi dalam pendidikan serta latihan pembedahan dan pergigian terus dikekalkan secara konsisten.

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan keupayaan institusi pengajian tinggi negara dalam menyediakan latihan profesional berkualiti tinggi serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat