PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima lima laporan berhubung kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze, yang mendesak kerajaan memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya laluan kemasukan ke universiti awam.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, kenyataan tersebut berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara dan boleh menimbulkan ketidakpuasan hati serta kegentaran awam.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jelas beliau, laporan pertama diterima pada 12 September lalu, sebelum empat lagi laporan menyusul daripada pelbagai pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan tersebut.
Kumar berkata, Seksyen 505(b) memperuntukkan kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, katanya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
PDRM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berhemah serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, sama ada di ruang awam mahupun di media sosial,” katanya.








