PETALING JAYA: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin, 31 Mac 2025.
Perkara itu dimaklumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan di saluran televisyen tempatan pada pukul 8.00 malam tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada Hari Isnin, 31 Mac 2025,” katanya.
Pengumuman itu dibuat setelah cerapan bagi melihat anak bulan dijalankan di 29 lokasi di seluruh negara pada petang Ahad.