KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan menunaikan umrah ke Tanah Suci berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu di beberapa kawasan Asia Barat sehingga keadaan kembali stabil dan selamat, menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Beliau berkata langkah itu selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) apabila keselamatan dianggap tidak terjamin.
“Sekiranya pihak berkuasa memutuskan keadaan perjalanan selamat dan terkawal, umat Islam boleh meneruskan ibadah umrah atau haji seperti biasa.
“Sebaliknya, penangguhan perjalanan adalah langkah yang wajar bagi menjaga keselamatan nyawa,” katanya menerusi penjelasan di laman rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada Sabtu.

Ahmad Fauwaz turut menekankan bahawa setiap keputusan pihak berkuasa mesti berpaksikan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya sentiasa merujuk maklumat rasmi daripada Kementerian Luar dan pihak berautoriti sebelum membuat sebarang keputusan perjalanan.
Beliau menambah, penilaian semula syarat istita’ah (kemampuan menunaikan ibadah) kini menjadi keperluan mendesak susulan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
“Sekiranya keadaan perjalanan tidak lagi selamat atau terdapat ancaman yang boleh memudaratkan nyawa, syarat kemampuan dianggap tidak sempurna,” katanya.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan keadaan keselamatan yang masih tidak menentu di Asia Barat.
Kerajaan juga telah memulakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara berikutan peperangan yang berterusan di rantau itu.
Baca juga:








